Petronas 'simpati' nasib Terengganu
'Ein Azmi

: Petronas melahirkan "rasa simpati" terhadap kerajaan PAS Terengganu apabila negeri itu tidak lagi menerima wang royalti minyak sejak Kementerian Kewangan memutuskan untuk menyalurkan wang ehsan sebagai kaedah pembayaran baru.

Pengerusi syarikat petroleum itu, Tan Sri Hassan Merican memberitahu demikian dalam satu pertemuan dengan rombongan wakil kerajaan negeri baru-baru ini, kata Ketua Jawatankuasa Pembangunan Petroleum Terengganu, Mustafa Ali.

Mustafa hari ini juga mendedahkan, Petronas bercadang membayar royalti sebanyak lima peratus setiap tahun seperti dalam perjanjian dan perkara itu telah ditegaskan kembali oleh Hassan pada Jun lalu.

"Bagaimanapun, kerajaan pusat mengarahkan Petronas agar tidak meneruskan bayaran (seperti biasa) kepada Terengganu," kata Mustafa kepada lebih kurang 1,000 peserta seminar khas anjuran Barisan Alternatif bertajuk "Royalti minyak: Politik khianat dan balas dendam BN" di Ulu Klang pagi ini.

"Kita faham Petronas dan kita jangan salah mereka."

Turut menyampaikan ucapan dalam sesi awal majlis itu termasuklah Menteri Besar Abdul Hadi Awang dan Presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Noor.

Mustafa turut mendedahkan langkah kerajaan pusat itu akan menimbulkan masalah kewangan yang besar kepada negeri itu kerana kira-kira 75 hingga 80 peratus pendapatan datangnya daripada minyak.

Terengganu sepatutnya menerima RM810 juta daripada hasil royalti untuk tahun ini dan Petronas telah membayar RM432 juta pada Februari lepas. Bagaimanapun, bakinya dipercayai disalurkan melalui kaedah wang ehsan.

Kementerian Kewangan awal bulan ini mengeluarkan kenyataan bahawa kaedah baru itu bertujuan menggantikan royalti dan akan diuruskan oleh sebuah Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) yang ditubuhkan khusus bagi merangka pelaksanaan program pembangunan di Terengganu.

Mahathir 'berbohong'

Dalam belanjawan tahun ini, Terengganu memperuntukkan sejumlah dana yang besar untuk pembangunan dan kegagalan mendapatkan wang royalti itu akan mengganggu pentadbiran negeri itu, tambah exco kanan itu lagi.

Peruntukan itu termasuklah, dana-dana untuk rakyat miskin sebanyak RM21 juta, pinjaman perumahan kakitangan kerajaan negeri (RM20 juta), perumahan rakyat (RM10 juta), pinjaman usahawan kecil (RM10 juta), imbuhan imam dan bilal (RMRM7 juta), jawatankuasa syura rakyat (RM6.5 juta) dan pinjaman pendidikan (RM2.8 juta).

Mustafa juga mendedahkan kerajaan pusat gagal membuat pembayaran geran sejumlah RM11.2 juta kepada negeri itu.

"Setakat ini, baru dapat RM3 juta sahaja. Selebihnya tidak tahu (bila akan diberikan)," katanya, sambil berhujah kerajaan pusat sewajarnya membuat pembayaran separuh daripada jumlah itu pada Februari dan Oktober setiap tahun.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Hisbah negeri, Tun Mohamad Salleh Abas mempertikaikan Perdana Menteri yang membuat kenyataan pada 15 September lalu kononnya royalti diberikan kepada Terengganu dengan alasan negeri itu paling miskin pada waktu itu.

Bekas Ketua Hakim Negara itu berkata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad "berbohong," sambil menjelaskan asal-usul penggubalan undang-undang petroleum 1974 dan perjanjian antara syarikat minyak itu dengan kerajaan negeri.

Sementara itu dalam sesi forum, pengerusi panel Profesor K S Jomo menuduh kerajaan pusat di bawah pimpinan Dr Mahathir mengikis hasil Petronas melalui pelbagai projek sejak awal 1980-an.

Beliau mendakwa Petronas sepatutnya memperolehi sejumlah RM300 bilion sejak beroperasi tetapi syarikat itu kini hanya mendapat RM50 bilion.

Jomo menyebutkan beberapa bantuan kewangan syarikat minyak itu kepada Bank Bumiputra dalam skandal kewangan BMF, menyelamat konsortium perkapalan MISC, dan juga membina beberapa projek mewah seperti Dayabumi, Putrajaya dan menara berkembara KLCC.

Turut menyampaikan ucapan dalam seminar tersebut termasuklah Presiden PRM, Dr Syed Husin Ali, Naib Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw dan Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Zainur Zakaria.

Pusat