Wang ihsan: Pegawai Petronas dilanda kemelut?

KOTA BHARU, 26 Sept  - Sikap hipokrit kerajaan Pusat berhubung pembayaran wang ihsan kepada kerajaan Terengganu dijangka mengundang krisis ketidakyakinan di kalangan pegawai kanan Petronas terhadap kerajaan Pusat.

Mereka dikatakan begitu terkilan dengan tindakan terbaru kerajaan Umno (Pusat) yang cuba menyekat hak rakyat Terengganu menikmati wang royalti minyak sejak 1975.

Tindakan di luar percaturan biasa kerajaan Pusat yang menidakkan hak rakyat Terengganu itu, dijangka mengundang permasalahan baru di kalangan pegawai kanan Petronas yang lebih mengutamakan nilai profesional berbanding politik murahan tajaan Umno.

Kemelut ini dijangka melanda pegawai-pegawai Petronas lebih arif terhadap hakikat sebenar permainan politik tajaan Umno, yang mengheret sama mereka ke kancah dianggap kurang bertamadun.

Ekoran itu, menurut sumber dalaman Umno pelbagai polemik sedang melanda pegawai Petronas kerana mereka sekarang diajar Umno untuk bermain politik dengan mengenepikan hak sebenar.

Katanya, agenda terbaru Umno itu membuat sesetengah di kalangan pegawai kanan Petronas menjadi serba salah dan tidak dapat ditolak ada di kalangannya mengambil jalan mudah meninggalkan badan gergasi milik kerajaan tersebut.

"Mereka yang matang dan mengutamakan etika profesional tentunya tidak mahu dibiarkan berterusan tenggelam bersama kemelut Umno.

"Kebimbangan paling dikhuatiri terhadap doa-doa mustajab rakyat Terenganu yang dianggap pihak kena aniaya, sedikit sebanyak turut membabitkan pegawai kanan Petronas," katanya.

Sehubungan itu, sebagai jalan alternatif untuk berdepan dengan situasi tersebut, sumber tersebut memberitahu ada di kalangan pegawai-pegawai kanan Petronas akan meletak jawatan dalam tempoh terdekat ini.

Hari ini akhbar melaporkan kerajaan Pusat tidak berganjak berhubung keputusannya bagi menyalurkan wang ihsan kepada Terengganu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Rais Yatim dilaporkan berkata, wang tersebut adalah hak mutlak kerajaan Pusat dan kerajaan Terengganu dan negeri-negeri lain tiada asas untuk menuntutnya.

Perjanjian mengenai pembayaran royalti minyak di antara kerajaan Terengganu dan Petronas ditandatangani pada 22 Mac 1975 di antara lain berbunyi: Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan lima peratus dari nilai petroleum yang didapati di Terengganu dan dijual oleh Petronas atau agen-agen atau kontraktor-kontraktor dalam tempoh yang diperuntukan dalam Fasa 2.

Sementara itu, Adun Kelaboran, Haji Nordin Yaakub berkata, kenyataan terbaru seorang menteri mengenai isu wang ihsan adalah menggambarkan seorang pemimpin berfikir mengikut arus semasa.

Katanya, pemimpin seperti itu sanggup melakukan apa sahaja asalkan berada di kedudukan selesa.

Menurutnya, tindakan kerajaan Pusat (Umno) yang sanggup mengandaikan prinsip kemanusiaan berhubung isu wang ihsan menyebabkan pegawai yang jujur melaksanakan tanggungjawab semakin gelisah.

"Tidak dapat ditolak kemungkinan pegawai-pegawai kanan yang lebih bermaruah akan meletak jawatan dalam tempoh terdekat ini untuk mengasingkan diri mereka dari kemelut yang dicemuh rakyat seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, tindakan kerajaan Pusat bermain sandiwara berhubung wang ihsan akan menjadi titik tolak rakyat untuk terus menolak kerajaan Umno pada pilihanraya akan datang.
 
 

Dipetik dari  : Harakahdaily