Royalti Minyak: Hj Abdul Hadi Awang menyerlah sebagai pemimpin
       negarawan.
 

       Assalamualaikum,
       Sesungguhnya segala puji-pujian itu hanya untuk Allah SWT, dan Rasulullah
       SAW pernah bersabda supaya dilempar debu kepada mereka yang memuji sesama
       makhluk. Yang ingin saya sebutkan bukan puji-pujian tetapi perkara-perkara
       yang nyata, iaitu reaksi Tok Guru Hj Abdul Hadi Awang terhadap isu terbaru
       sekitar kontroversi royalti minyak telah memperlihatkan Menteri Besar
       Terengganu itu mempunyai sifat-sifat pemimpin negarawan (statesman) yang
       berpengalaman (walau pun baru setahun sebagai MB), berkaliber, bijaksana dan
       tinggi keupayaannya berfikir secara waras dan matang dalam keadaan tertekan.
       Sememangnya beliau layak menjadi Perdana Menteri seperti yang disarankan
       oleh Asiaweek.
       Tok Guru Hj Abdul Hadi Awang tidak melenting apabila tersiar kenyataan dalam
       media arus perdana bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan mematuhi
       perjanjian dan akan menyalurkan wang royalti minyak kepada Terengganu
       melalui "Program Pembiayaan Wang Ehsan" dan bukan lagi secara terus kepada
       Kerajaan Negeri . Dengan sabar lagi bijaksana, Hj Abdul Hadi Awang
       menyatakan bahawa beliau akan tunggu maklumat rasmi daripada Kerajaan Pusat.

       Dengan tepatnya Tok Guru Hj Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa kenyataan
       yang disiar dalam akhbar tidak jelas samada ianya benar-benar dari Kerajaan
       Pusat kerana tidak mempunyai tanda tangan dan boleh dianggap macam surat
       layang. Menteri Besar Terengganu itu juga berkata kenyataan tersebut mungkin
       muslihat orang-orang tertentu yang cuba mengeruhkan hubungan dua hala yang
       baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.
       Disamping itu juga beliau dengan tepat menegaskan kenyataan tersebut boleh
       ditafsirkan macam-macam kerana perkataan 'royalti' itu tidak boleh    diterjemahkan
        dengan 'ehsan', dan dengan demikian adakah ianya bermakna
       Kerajaan Pusat berhajat untuk memberikan tambahan wang ehsan kepada Kerajaan
       Negeri Terengganu selain dari royalti minyak.
       Kewibawaan serta kebijaksanaan Tok Guru Hj Abdul Hadi A wang sebagai
       pemimpin    yang berprinsip serta bertaraf negarawan begitu menyerlah apabila
       beliau   secara kiasan menegaskan bahawa tidaklah betul kalau Kerajaan Pusat mahu  
     berurusan dengan Kerajaan Negeri Terengganu melalui media massa. Dengan erti
       kata yang lain beliau tidak akan membenarkan Kerajaan Pusat menghina
       kedaulatan negeri Terengganu dan maruah rakyat Terengganu dengan berurusan
       dengan mereka melalui media.
       Dalam keadaan tertekan beliau telah memperlihatkan sifat sabar dan kebolehan
       mengamati situasi serta berfikir dengan tenang dan waras. Dan segala apa
       yang beliau katakan itu sememangnya suatu kewarasan berfikir ditahap yang   tinggi. 
      Dengan mengatakan bahawa hubungan dengan Kerajaan Pusat adalah baik dan
       beliau percaya Kerajaan Pusat dan Petronas akan mematuhi perjanjian yang
       ditandatangani, Hj Abdul Hadi Awang telah meletakkan kerajaan Pusat dalam
       keadaan serba salah. Kini Kerajaan Pusat akan nampak sangat berniat busuk
       kalau melanggar perjanjian dan menutup segala pintu dan ruang untuk terus
       berunding.
       Dengan berkata bahawa kenyataan yang tersiar dalam akhbar itu tidak jelas
       samada benar-benar datangnya dari Kerajaan Pusat, Tok Guru telah memberi
       ruang dan opsyen kepada Kerajaan Pusat untuk tarik balik keputusan tersebut
       jika ia sememangnya dari Kerajaan Pusat. Dengan ertikata yang lain, Tok Guru
       Abdul Hadi Awang telah memberi 'face saving device" iaitu jalan keluar
       bermaruah kepada Kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat kini boleh menjaga maruah
       dan kredibilitinya dengan menafikan kesahihan lapuran akhbar tersebut, dan
       seterusnya membuat kenyataan sebagai kerajaan yang
       bertanggungjawab dan       beramanah bahawa Kerajaan Pusat akan menghormati 
       perjanjian yang telah   ditandatangani itu.
       Cara Tok Guru Hj Abdul Hadi Awang menangani isu ini dengan kebijaksanaan
       seorang negarawan yang berhemah tinggi lagi berpengalaman (walau
       pun hanya   baru setahun menerajui Kerajaan Negeri) menunjukkan bahawa
       sememangnya ada    asas kukuh bagi Asi aweek untuk membuat saranan bahawa Tok Guru
       Hj Abdul   Awang berkeupayaan menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam empat atau sepuluh
       tahun dari sekarang. Allah SWT sahaja yang menentukannya.
       Sekali lagi ditegaskan saya bukan memuji, hanya sekadar berkata apa yang
       nyata tentang Tok Guru Hj Abdul Hadi Awang. Sesungguhnya segala puji-pujian
       itu hanya untuk Allah SWT.
 

       Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
       Semata-mata kerana Allah SWT, dan takut hanya kepada Allah SWT.
       Tarabulsi
       7 Sept 2000