Make your own free website on Tripod.com
KENYATAAN MEDIA PRM
 
Dr Mahathir Mahu Bertindak Zalim Ke Atas Rakyat Terengganu
 
 
Tidak lama selepas pulang dari luar negeri baru-baru ini, Perdana Menteri
Datuk Seri Mahathir Mohamad, menyatakan bahawa Kerajaan Pusat berhasrat
hendak menyekat atau mengurangkan bayaran royalti minyak ke Negeri
Terengganu. Bermacam-macam gertakan dan ugutan cuba digunakan olehnya.
Tetapi setakat ini segalanya tidak mempunyai kesan  oleh kerana pembayaran
royalti 5 peratus daripada minyak yang dihasilkan dari  pantai Terengganu
itu adalah berdasarkan perjanjian yang telah dimetrai di antara Petronas
dengan kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 1975.
 
Jumlah royalti yang patut dibayar ke Terengganu untuk tahun ini berjumlah
sebanyak RM841 juta. Ada kemungkinannya Dr Mahathir berpendapat jikalau
Kerajaan Terengganu  menerima royalti lebih kurang sebanyak itu tiap-tiap
tahun mulai sekarang, tentu banyak pembangunan yang boleh dilaksanakan oleh
kerajaan PAS-BA yang memerintah. Jikalau wang itu dikendalikan dan digunakan
dengan baik untuk pembangunan negeri dan rakyat, tentu sekali  nama kerajaan
itu akan terus harum. Selepas itu, tidak mungkin sama sekali bagi UMNO-BN
hendak memerintah semula.
 
Oleh kerana gagal untuk menyekat atau mengurangkan bayaran, maka Dr Mahathir
cuba hendak mengawal cara pembayaran royalti itu pula. Cara membayar
langsung melalui Petronas akan diberhentikan. Dr Mahathir tidak mahu
menghormati sama sekali perjanjian di antara PETRONAS dengan Kerajaan
Terengganu itu. Sekarang bayaran akan dibuat secara tidak langsung melalui
projek-projek yang diluluskan oleh Pusat. Sebuah jawatankuasa dipengerusikan
Setiausaha Kementerian Kewangan akan mengawal pembayaran, di bawah Program
Pembiayaan  Wang Ehsan.
 
Selama kira-kira 25 tahun, semasa Terengganu diperintah di bawah Kerajaan
UMNO-BN, perjanjian telah dihormati dan royalti telah dibayar langsung
kepada negeri secara tunai. Mengapakah sekarang ini hendak ditentukan oleh
Kerajaan Pusat dengan pembayaran yang dikawal pula? Mengapakah pembayaran
itu dinamakan Pembiayaan Wang Ihsan? Nyata sekali Kerajaan Pusat hendak
menentukan apakah projek-projek yang mahu mereka luluskan. Dengan demikian,
mudahlah mereka mengisytiharkan setiap projek pembangunan  di negeri
Terengganu itu adalah hasil ihsan daripada Kerajaan Pusat, yang dikuasai
oleh UMNO-BN. Seterusnya mudahlah bagi mereka mendakwa bahawa Kerajaan
Terengganu di bawah PAS-BA, gagal menjalankan sebarang projek pembangunan.
 
Mengikut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan semalam,
“Program itu akan memastikan rakyat Terengganu mendapat pembelaan terus
daripada Kerajaan Persekutuan dan mempunyai peluang seluas-luasnya untuk
membaiki kehidupan masing-masing”. Kami ingin tahu, selama 25 tahun UMNO-BN
memerintah Terengganu, apakah pembangunan yang benar-benar telah diperolehi
rakyat negeri itu?
Apakah dia pembangunan yang telah dibuat untuk golongan petani, nelayan,
buruh, kerani dan pegawai rendah serta menengah, peniaga kecil serta
sederhana, dan sebagainya? Mengapakah sampai sekarang kadar kemiskinan di
Terengganu masih merupakan antara yang tertinggi di Malaysia?
 
Apabila Kerajaan UMNO-BN Terengganu jatuh selepas pilihanraya tahun lalu, ia
telah meninggalkan  hutang kepada kerajaan Pusat yang besar jumlahnya.
Hutang yang kini dibebankan ke atas Kerajaan PAS-BA Terengganu, ialah
sebanyak kira-kira RM700 juta. Ia merupakan jumlah hutang yang paling
tinggi, dibanding dengan hutang negeri-negeri lain. Mengapakah ini berlaku?
Apakah yang telah dibuat oleh Kerajaan Terengganu di bawah UMNO-BN dengan
wang royalti daripada minyak yang telah diterimanya daripada PETRONAS selama
25 tahun? Adakah  penyelewengan dan korupsi telah berlaku sekian lama tanpa
dikawal?
 
Pucuk pimpinan Kerajaan BN Pusat mendakwa mereka kurang yakin pimpinan
kerajaan Terengganu di bawah PAS-BA akan menggunakan wang royalti dari
minyak itu untuk kepentingan rakyat. Kami ingin bertanya, sejauh manakah
hasil yang diperolehi oleh Kerajaan Pusat melalui PETRONAS telah digunakan
untuk kepentingan rakyat? Kita mengetahui bahawa PETRONAS adalah di bawah
Jabatan Perdana Menteri. Tidak mungkinkah PETRONAS telah dikuasai oleh
Perdana Menteri untuk memenuhi segala kehendak dan nafsu beliau sendiri?
 
Selama 25 tahun yang lalu Petronas dianggarkan telah mempunyai pendapatan
sebanyak lebih daripada RM200 bilion daripada hasil minyak dan gas. Akan
tetapi, mengikut kira-kira rasmi,  jumlah nilai bersih atau simpanan sebenar
Petronas sekarang ini cuma  berjumlah RM45.6 bilion saja. Ke manakah pergi
bakinya? Berapa banyakkah yang telah digunakan untuk pembangunan rakyat yang
miskin, susah dan sederhana? Berapakah jumlah yang digunakan untuk
projek-projek membazir yang Dr Mahathir banggakan? Berapa banyak  pula yang
telah digunakan untuk menyelamatkan korporat serta syarikat-syarikat kroni
besar yang beliau  sayangi?
 
PRM menggesa supaya Parlimen mengusulkan agar dibentuk sebuah Jawatankuasa
Penyiasat Diraja bagi menyiasat bagaimana wang hasil negara yang diperolehi
melalui PETRONAS  dan wang royalti minyak yang diperolehi Kerajaan
Terengganu telah digunakan daripada tahun 1975 sehingga 1999. Kami menuntut
supaya segala penyelewengan, salah guna kuasa dan korupsi hendaklah
didedahkan.
 
 
Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
 
6hb September, 2000