Atasi projek sakit secara profesional 

KEMAMAN, 6 Sept (Hrkh)-Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi negeri, Yahaya Ali meminta pihak berkenaan supaya mengatasi masalah `projek sakit' secara lebih profesional. 

Sehubungan itu, katanya, tawaran harga terendah daripada kontraktor terhadap sesuatu projek tidak semestinya terpilih. 

Ini, katanya kerana kadang-kadang tawaran harga yang terendah yang dipilih daripada sesuatu kontraktor itu menyebabkan timbul masalah terhadap sesuatu projek seperti lambat disiapkan, terbengkalai dan sebagainya. 

"Tidak mesti pilih harga terendah, kadang-kadang mengundang masalah," ujarnya pada majlis dialog dengan kakitangan Jabatan Kerja Raya daerah di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, masalah juga timbul berikutan pemberian sesuatu projek kepada kontraktor tertentu dibuat secara tidak profesional. 

Jelasnya, di bawah kerajaan negeri sekarang, tender tidak diberi di bawah harga yang telah ditetapkan oleh jabatan.