PERSATUAN BOLA SEPAK BERI GANJARAN
 KEPADA PEMAIN 
                
 KUALA TERENGGANU, 28 Feb -- Persatuan
 Bolasepak Melayu Terengganu (PBSMT) akan
 memberi ganjaran setimpal kepada pemain-pemain
 berikutan kejayaan Terengganu menjadi juara Piala
 Emas Raja-raja tahun ini. 

 Setiausaha PBSMT Aziz Yunus berkata ganjaran itu
 wajar diberikan kepada pemain-pemain, setelah 13
 tahun Terengganu menunggu untuk meraih kejuaraan
 itu. 

 Persatuan juga akan memohon kepada kerajaan
 negeri supaya ia dapat memberikan ganjaran
 tambahan kepada para pemain yang telah
 mengharumkan nama negeri melalui kejohanan itu,
 katanya. 

 Aziz berkata Menteri Besar Terengganu Haji Abdul
 Haji Awang semasa majlis meraikan kejayaan
 Terengganu memasuki pertandingan akhir Piala Emas
 Raja-raja pernah membayangkan perkara itu. 

 Terengganu muncul juara Piala Emas Raja-raja tahun
 ini setelah mengalahkan Selangor 3-0 di Stadium
 Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Sabtu lepas. 

 Juara kejohanan itu menerima hadiah wang tunai
 RM40,000 manakala naib juara RM20,000. 

 Aziz berkata PBSMT akan mengagih-agihkan wang
 hadiah itu kepada pemain-pemain yang bekerja keras
 untuk meningkatkan martabat bola sepak negeri
 dalam kejohanan itu. 

 Beliau berkata pasukan Terengganu sekarang sedang
 membuat persiapan untuk menghadapi Pulau Pinang
 dalam pertandingan Piala Agong di Stadium Sultan
 Ismail Nasiruddin Shah pada 8 Mac ini. 

 Aziz berharap Terengganu akan berjaya dalam
 pertandingan itu dan sebuah lagi piala (Piala Agong)
 akan berhijrah ke negeri ini tahun ini. 

 Kedua-dua pasukan itu bertemu berdasarkan
 Terengganu juara Piala Emas Raja-raja tahun ini
 manakala Pulau Pinang pula juara bertahan Piala
 Agong. 

   

TERENGGANU DARUL IMAN®