"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN" tinta_hijau@hotmail.com |
HARI INI AKU BERSEDIH ....
(Sempena hukuman ke atas Anwar 8/8/2000)
Tapi hari ini aku bersedih duka
mengenangkan hamba-hamba yang tak berdosa
ditelanjang dimalu sedunia
dengan tuduhan diubah kali ketiga
demi hukuman yang sudah tersedia.
Nabiku pernah bersabda,
“Bila umatku gerun untuk berkata
kepada si zalim “wahai penzalim durjana!”
maka ucapkanlah selamat tinggal pada
mereka.
Aku bersedih hari ini
bila umatku sendiri
tidak menoleh kezaliman yang tak terperi
cuma menganggap itu persoalan peribadi
tak perlu memikir menyusahkan diri
apa itu alibi-alibi
persetankan saksi-saksi
yang nyata hukuman telah diberi
untuk pesalah yang “beragenda peribadi”.
Mereka mendakwa umat nabi
sedang Nabi tak akui lagi
bagaimana mereka ketawa happy
dalam saudaranya menangis sendiri.
Pada mereka yang memberi cemeti
dan pedang lewat peti undi
kepada al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi
yang bermaharajalela di zaman ini.
Kalian semua adalah pengkhianat
amanah Tuhan yang melaknat
sesiapa yang cenderung untuk si bangsat
Firman-Nya jelas teramat
“Jangan kamu cenderung kepada orang-orang zalim
nanti neraka membakarmu kelak”.
Pada hamba-hamba yang tak berdosa
korban mangsa undang-undang purba
kutujukan puisi hiba
bahawa kalian pejuang perkasa
yang bertarung di persada dunia
umpama lilin membakar dirinya
demi menerangi anak bangsa
yang mentah untuk mengenal haknya dinoda.
Kalian adalah pewaris mereka
yang digergaji dibelah dua
yang dicampak ke dalam api menyala
yang menyembunyi di dalam gua
yang diburu merentas benua
yang dihempap batu di dada
yang terbunuh kejam disula
yang dipanggang sehingga menitis air dagingnya
yang terbeliak meratap dalam penjara
disebat dan didera
Kalian meniti jalan mereka
demi tuntutan agama semata
membawa obor rahmat untuk semua
walau tiada habuan diterima.
Pada para pejuang seangkatan
jihad ini mesti diteruskan
biar bermandi darah berpatah tulang
namun demi sebuah keadilan
itu cuma cebisan ujian
onak dan duri mereka yang silam.
Pantang undur sekali melangkah
hanya pejuang merasa nikmah
betapa indah hidup susah
sebagai penolong agama Allah
kerna hidup ini akan sudah
yang kekal hanyalah hidup Akhirah
labalah siapa yang pasrah.
Aku tak akan bersedih lagi
para pejuang perlu bersiri
yang bekerja penat tak dimengerti
hingga datang panggilan pergi
bertemu Tuhan Rabbul Izzati.
Penyair Muda
Teratak Jempol,
9 Ogos 2000