Make your own free website on Tripod.com

ROYALTI : KAMI TETAP BERSAMA TOK GURU



TIADA JALAN SINGKAT PULIHKAN UMNO
Oleh PENULIS KHAS
 
 

Dalam pilihanraya umum ke 10 pada tahun 1999 lalu, Umno sudah tidak mendapat simpati langsung dari pengundi-pengundi Melayu. Dalam pilihanraya umum ke-9, Umno mendapat 92 kerusi tetapi pada tahun lalu parti itu hanya mendapat 72 kerusi. PAS daripada lapan kerusi kepada 27 sementara KeAdilan pula mendapat lima kerusi. Dalam pilihanraya umum itu juga Umno nyaris kehilangan negeri Kedah dengan Kelantan kekal di tangan pembangkang dan Terengganu pula jatuh.
 
 

Pendudukan Malaysia berjumlah 23.8 juta dengan jumlah orang-orang Melayu Semanjung 11.0 juta dalam daftar pemilih (1999) pula adalah 7.2 juga. Ahli Umno (2000) dianggarkan 2.4 juta. Jika benar ahli Umno berjumlah 2.4. juta, mengapa Umno tidak boleh `menang besar' atau sekurang-kurangnya berjaya mempertahankan kawasan yang dikuasai oleh Umno selama ini? Apakah ada ahli Umno yang `belot' kepada partinya sendiri?
 

Selepas mengumumkan barisan Kabinet barunya di Putra Jaya pada 10 Disember 1999, Presiden Umno sendiri, Dato Seri Dr Mahathir Muhamad sendiri mengakui memang ada ahli parti gabungan Barisan Nasional (BN) terutamanya daripada Umno yang `belut' yang menyebabkan `undi pecah' sehingga kehilangan satu lagi negeri di tangan pembangkang. Dr Mahathir berkata, ada ahli Umno yang tidak dicalonkan semula, bukan sahaja enggan membantu calon lain, malah langsung tidak bekerja sehingga beberapa bilik gerakan ditutup terus.
 
 

"Perpecahan yang berlaku tidak begitu buruk, tetapi ia lebih disebabkan jentera parti berpaling tadah dan setia kepada individu tertentu daripada parti, katanya.
 

Pergerakan Pemuda Umno Terengganu pula telah menggariskan tiga faktor kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum ke-10 lalu. Ketuanya, Abdul Rahin Mohd Said berkata, tiga faktor itu adalah:
 
 
 
 

Mengekalkan kepemimpinan yang lama.
Pengundi Luar.

Logistik parti.
 
 
 

Dia berkata, ketiga-tiga sebab itu telah mewujudkan undi protes di kalangan ahli parti dan pengundi pada pilihanraya umum tersebut.
 

Pada 14 Disember 2000, Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno telah mengesyorkan kepada Majlis Tertinggi (MT) supaya mengambil tindakan tegas termasuk memecat ahli-ahli Umno yang didapati `agak ramai' belot kepada parti dalam pilihanraya itu.
 

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob berkata, jawatankuasa itu telah menerima senarai ahli Umno yang belot bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah dan status jawatan mereka yang terlibat." Kategori pembelotan yang paling serius ialah ahli Umno sendiri menjadi calon (pilihanraya) dan bertindak sebagai penyokong, pencadang serta saksi kepada parti lawan.
 
 

Selain itu, katanya, ada yang mengambil bahagian secara aktif sebagai penceramah parti pembangkang, mengetuai jawatankuasa bertindak untuk parti mereka serta mengedar risalah dan poster (pembangkang). "Bukti mereka yang `berpaling tadah' kebanyakannya datang dari Bahagian memandangkan peringkat itu yang menggerakkan jentera pilihanraya dan paling kerap berurusan dengan parti lawan".
 

Di peringkat ini juga, Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri mengakui sudah menyerahkan surat tunjuk sebab kepada hampir 100 ahli parti yang didapati belot dengan menyokong parti pembangkang dalam pilihanraya itu.Dia sendiri percaya, jumlah ahli Umno belot yang diterima jawatankuasa berkenaan akan melebehi 100 orang memandangkan pada tarikh mesyuarat diadakan pada 20 Disember 1999 banyak lagi bahagian-bahagian Umno yang belum menghantar mereka yang terbabit.
 

Akhirnya, Umno mengakui bahawa ada ahlinya yang belot dalam pilihanraya umum lalu. Jumlah sebenar tidak berani disebut melainkan hanya `orang-orang bahagian' mahupun pemimpin tertinggi yang mengetahui dan ia tidak akan didedahkan kepada umum. Mengapa tidak berani didedahkan kepada umum? Mungkinkah jumlahnya terlalu ramai sehingga mencecah ratusan ribu?
 
 

Sebelum menunding jari kepada orang lain, Umno telah melakukan beberapa pendekatan tertentu untuk `membaik pulih' keadaan parti yang sebenar. Dr Mahathir sendiri mengakui hakikat bahawa dirinya kini memberi tumpuan penuh kepada Umno sementara tugas kerajaan lebih banyak di serahkan kepada Timbalannya. Antara beberapa tindakan yang dilakukan oleh parti itu adalah mempercepatkan penubuhan Akademi Umno yang sudah diputuskan oleh MT pada tahun 1995 lalu, aktifkan Briged Putera, penubuhan Puteri Umno di samping beberapa siri ceramah di kalangan ahli-ahli Umno.
 

Pelbagai aktiviti telah diadakan di kalangan Umno bahagian seluruh negara. Beberapa bulan yang lalu selepas Pemilihan MT Umno telah dianjurkan program ceramah Membahaskan Ucapan Dasar Presiden Umno di seluruh bahagian. Hampir semua MT yang terpilih dan terlantik diberi peranan untuk memberikan ucap utama dalam program tersebut. Ia diadakan secara tertutup di dalam Dewan Perhimpunan mahupun Ibu Pejabat Umno.
 

Para pemimpin MT akan memberi kata-kata semangat, mendedahkan kekuatan dan kelemahan parti lawan dan sebagainya. "Umno sekarang benar-benar dalam keadaan terdesak," kata seorang jawatankuasa Umno bahagian Wangsa Maju ketika program membahaskan ucapan dasar Presiden Umno di adakan di bahagian tersebut.
 

Dirinya seolah-olah mengakui kini Umno perlu memperbetulkan diri dahulu sebelum membetulkan keadaan untuk meraih sokongan mencari pengundi Melayu pula.
 

Di sesetengah bahagian di Cheras misalnya telah dianjurkan enam cawangan Umno secara bersama dengan menjemput Dato Dr Rais Yatim dan Ikhwan Nasir sebagai tetamu kehormat. Ia diadakan pada Mei lalu dengan kehadiran dianggarkan 400 orang peserta ahli Umno. Isunya berkisar kepada perpaduan Melayu dan kekuatan parti lawan yang perlu dihadapi.
 
 

Malahan beberapa cawangan di bahagian ini turut mengadakan gotong royong sesama ahli bagi merancak dan memulihkan semula aktiviti parti tersebut.Sekurang-kurangnya tiga cawangan di gabungkan menjadi satu dengan mengadakan program bersama.
 

Di Johor pula, Perhubungan Umno negeri telah membuat keputusan untuk menghidupkan semula aktiviti jawatankuasa Umno cawangan untuk 700 peti undi di seluruh negeri itu. Pemimpinnya mahukan pemimpin Umno di setiap peti undi tidak lupa untuk melibatkan diri dengan pihak-pihak dari kumpulan yang berkepentingan di setiap peti undi.
 

Di seminar pemimpin pelapis Umno 2000 yang dihadiri oleh wakil dari seluruh negara pada Mac 2000 lalu ada saranan di setiap daripada 18,007 cawangan Umno seluruh negara menggerakkan cawangan-cawangan yang lembab dan tidak aktif. Sekitar bulan September 2000 lalu telah diadakan satu siri ceramah serentak yang membabitkan seluruh bahagian Umno di Wilayah Persekutuan dan Selangor. Program itu dianjurkan oleh Penerangan Umno Malaysia yang membabitkan seluruh jawatankuasa cawangan dan bahagian dari pelbagai peringkat. Program tersebut dihadiri oleh seluruh MT Umno untuk memberikan ucapan utama. Jika ahli MT itu tidak hadir, ia akan dihantar wakil untuk memberikan ucapan utama.
 

Bagaimanapun ada juga bahagian-bahagian Umno yang `kecewa' dengan sesetengah Ahli MT yang menjadi ucap utama. Mereka masih gagal menarik perhatian para ahli dan sesetengahnya pula tidak tahu langsung punca kemelut Umno. " Kenapa perlu hantar Azarina Osman? Siapa dia tu? Dia tahuke masalah Umno terutamanya orang-orang Melayu di kawasan luar bandar?" getus salah seorang jawatankuasa Umno bahagian yang agak `gusar' apabila Azarina menjadi tetamu untuk ucap utama di salah satu bahagian di Wilayah Persekutuan. "Bolehkah dia menarik perhatian dan memahami hasrat ahli-ahli wanita Umno yang rata-ratanya memakai tudung dan bersifat lemah lembut, katanya dengan nada yang agak kecewa. Dia seolah-olah tidak bersetuju dengan perlantikan peguam muda itu sebagai MT memandangkan ramai lagi tokoh seperti Dato Dr Rais Yatim, Datuk Seri Megat Juned, Datuk Syed Hamid Albar yang disifatkan lebih berkemampuan dan praktikal. Sesetengah perwakilan Umno bahagian juga mempersoalkan nama-mana MT lain seperti Azmi Daim, yang disifatkan juga masih terlalu baru untuk menjadi pengucap utama Umno di hadapan ratusan ahli-ahli Umno termasuk majoritinya dari kalangan golongan veteran.
 

Di kalangan perwakilan ini, mereka seolah-olah merasai kehebatan beberapa tokoh MT seperti Datuk Ibrahim Ali, Datuk Seri Sanusi Junid, Datuk Napsiah Omar, Datuk Syed Hamid Albar dan sebagainya. Sesetengah tokoh yang hebat berpidato kini tiada lagi dalam arus perdana Umno sebaliknya hanya jawatan dalam kerajaan sahaja. "Tentu kamu dapat rasakan perbezaan antara Rais atau Sanusi dengan Azarina?" soalnya sambil tersenyum. Dia juga berpendapat, jika Umno berhasrat untuk mencari golongan muda dari NGO sebagai usaha meraih sokongan dari kalangan mereka, mengapa tidak sahaja mengambil Dato Suhaimi Ibrahim mahupun Presiden MBM , saudara Shahbudin sebagai ahli MT? Mereka sudahpun menunjukkan keupayaan dan kewibawaan sebagai pemimpin pelapis Umno masa depan.
 
 

Seorang ahli Umno di Terengganu juga turut kecewa dengan pergolakan politik Umno di bahagian-bahagian tertentu. Walaupun niat Umno Pusat adalah baik untuk menggiatkan semula Umno tetapi keadaan yang berlaku sebaliknya. "Bila ada program ceramah, kebanyakkan yang datang hanyalah untuk menonjolkan diri bagi menjadi calon dalam mesyuarat bahagian Umno tahun depan," kata seorang ahli Umno bahagian Kuala Terengganu. "Bukan hendak memikirkan bagaimana mahu merampas PAS sebaliknya memikirkan kedudukan dan puak masing-masing." kata beliau dengan nada yang begitu kesal sekali.
 
 

Kebanyakan pemimpin bahagian-bahagian Umno kini lebih memikirkan kedudukan masing-masing berbanding dengan tugas bagi menghadapi parti lawan yang kini semakin berjaya mempengaruhi pengundi-pengundi Melayu terutamanya dari kalangan genarasi muda. Bukti sudah menunjukkan beberapa pemimpin Umno di peringkat bahagian sudah bersiap sedia untuk menajamkan taji bagi menghadapi persaingan pemilihan bahagian musim depan. Masing-masing sudah membina puak ataupun kumpulan agar menang dalam pertandingan tersebut.
 
 

Nampaknya yang beriya-iya untuk menangani masalah Umno hanyalah pemimpin di peringkat atasan. Dari Presiden sehingga ke pemeriksa kira-kira. Sedangkan pemimpin bahagian yang bukan ahli MT sudah mengadakan beberapa siri lawatan `sambil belajar' ke negeri-negeri tertentu dan Medan!
 

Jika pemimpin Umno di peringkat bahagian masih tidak sedar, tunggulah pilihanraya umum akan datang. Pengundi-pengundi Melayu terutamanya mereka yang berusia lebih 21 tahun yang berjumlah 8.5 juta orang akan berbuat sesuatu. Situasi sekarang bukan menunjukan keadaan Umno yang semakin kuat tetapi semakin `goyah' kerana beberapa pemimpinnya yang tidak sedarkan diri. Janganlah kelak menjadi pepatah Melayu;- `Umno terjun dengan labu-labunya' Biarkan... Biarkan...
 
 
 
 
 
 

Link Reference : Rencana Ihsan Detik Daily.