PAS TUNGGU KEPUTUSAN KDN SEBELUM TERBIT
 'PURNAMA'
 
 HULU TERENGGANU, 20 Jan (Bernama) -- PAS akan menunggu
 keputusan Kementerian Dalam Negeri mengenai permohonan yang
 akan dikemukakan untuk menerbitkan sebuah akhbar harian yang
 akan diberi nama "Purnama" sebelum membuat sebarang tindakan
 lanjut.

 Naib Presiden PAS Mustafa Ali hari ini berkata permohonan itu akan
 dibuat tidak lama lagi.

 "Keputusan (untuk menerbitkan akhbar berkenaan) sudah ada dan
 kita harap tahun ini (akhbar itu dapat diterbitkan)," katanya
 kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai
 pembangunan kawasan industri kecil dan sederhana di sini.

 Taklimat disampaikan oleh Pengarah Unit Perancangan Ekonomi
 Negeri Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dan dihadiri juga oleh
 beberapa anggota exco kerajaan negeri.

 Mustafa berkata jawatankuasa teknikal mengenai penerbitan
 akhbar berkenaan, sedang mengkaji cara mana ia akan beroperasi
 nanti.

 "Jawatankuasa teknikal itu akan melihat kepada baik buruknya
 terlebih dahulu," katanya.

 Mustafa berkata demikian ketika diminta mengulas laporan
 Harakah, lidah rasmi parti itu hari ini untuk edisi Jumaatnya,
 bahasa PAS akan membuat permohonan kepada KDN untuk
 mendapatkan permit bagi menerbitkan sebuah akhbar harian.

 Menurut Harakah, permohonan itu dibuat menggunakan nama
 sebuah syarikat yang dibentuk atas nama para pemimpin PAS iaitu
 Penerbitan Mutaqin Sdn Bhd manakala ahli Jawatankuasa PAS
 pusat Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman diberi tugas untuk
 membuat permohonan itu.

 Syed Ibrahim dipetik oleh Harakah sebagai berkata akhbar harian
 itu akan dinamakan Purnama dan operasinya akan menjadi sama
 seperti akhbar-akhbar harian lain seperti yang ada di pasaran.

 Mustafa berkata akhbar harian itu juga akan membuat laporan
 yang lebih meluas lagi yang bukan sahaja melibatkan aktiviti parti
 berkenaan.

 "Fokus akhbar harian itu nanti bukan lagi bersifat inhouse lagi...
 bentuknya kita sedang bincang mungkin seperti akhbar harian
 biasa atau tabloid," katanya.