Make your own free website on Tripod.com

Rantau Abang akan dibangunkan semula
Oleh Khairul Azlam Mohamad

 Para pelabur disarankan agar mengambil bahagian membangunkan sektor pelancongan yang terbuka luas di negeri Terengganu.
Terengganu yang terkenal dengan slogan 'Negeri Cantik Budaya Menarik' mempunyai banyak sumber alam sebagai sebuah negeri destinasi pelancongan.Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata kerajaan akan membangunkan semula Rantau Abang yang pernah menjadi destinasi pelancongan utama di negeri ini. Katanya, Rantau Abang terletak di daerah Dungun amat terkenal pada satu ketika dahulu kerana pernah menjadi pusat pendaratan penyu.

"Aset utama tarikan pelancong ke Terengganu adalah penyu di Rantau Abang," ujarnya kepada Harakah ketika ditemui di pejabat Wisma Darul Iman, hari ini. Menurutnya, Rantau Abang amat terkenal di negeri ini di sekitar tahun 70-an kerana pendaratan penyu yang menjadi aset utama. Katanya, aset tersebut semakin berkurangan dari tahun ke tahun serta menyebabkan hilang tarikan pelancong luar. Menurutnya, kerajaan juga mengenal pasti beberapa aset penting yang terdapat di negeri ini sebagai tarikan pelancongan. "Kita mempunyai pantai yang cantik, hutan lipur semulajadi, lagun yang luas serta pulau Tenggol yang berdekatan dengan Rantau Abang," jelasnya. Menurutnya, semua aset-aset tersebut boleh dibangunkan dengan baik bagi mengembalikan semula kegemilangan Rantau Abang sebagai pusat pelancongan terkenal di negeri ini. Sehubungan itu katanya, bagi menjayakan hasrat tersebut penglibatan pihak swasta serta para pelabur amat diperlukan."Kita harap ada para pelabur yang berminat membangunkan Rantau Abang," ujarnya.

Menurutnya, kerajaan negeri terpaksa berjimat dalam keadaan wang royalti petroleum telah disekat serta dirampas oleh kerajaan pusat.Namun begitu katanya, hubungan kerjasama antara kerajaan pusat dengan negeri dalam sektor pelancongan amat baik serta berjalan lancar.
 
 

sumber : Harakah Daily