RAMADAN : KAKITANGAN KERAJAAN T'GANU
 PULANG 3 PETANG
 
 KUALA TERENGGANU, 8 Dis (Bernama) -- Kakitangan
 kerajaan Terengganu akan diberi pelepasan kerja
 pada pukul 3 petang sepanjang bulan Ramadan ini
 bagi memberi peluang kepada mereka membuat
 persiapan untuk berbuka puasa.

 Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang berkata ini
 memandangkan masyarakat Islam tidak
 menggunakan waktu makan tengah hari untuk keluar
 kerana mereka berpuasa.

 Ketika bercakap kepada pemberita di pejabatnya hari
 ini, beliau berkata bagi kakitangan kerajaan bukan
 Islam, mereka juga boleh balik awal seperti orang
 Islam dan waktu makan tengah hari mereka adalah
 seperti biasa.

 Pelepasan itu sama seperti yang dilakukan oleh
 kerajaan PAS Kelantan yang membenarkan
 kakitangan kerajaan negeri itu balik awal pada bulan
 puasa.

 Abdul Hadi juga menafikan ura-ura kononnya
 kerajaan negeri akan membeli kereta baru bagi
 menggantikan yang sedia ada.

 "Kerajaan negeri dah buat keputusan tak mahu beli
 kereta baru," katanya.