BEKAS PENGARAH YAYASAN TERENGGANU DITUDUH
 TERIMA RASUAH
 
 KUALA TERENGGANU, 14 Dis -- Bekas Pengarah
 Yayasan Terengganu Datuk Mohamed Endut hari ini didakwa di
 Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu kerana tuduhan menerima
 rasuah berjumlah RM91,350 antara Januari 1989 hingga Mei 1991.

 Pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwaraya dari Badan
 Pencegah Rasuah (BPR) Ahmad Bache manakala tertuduh tidak
 diwakili peguam.

 Hakim Mohamad K Abdul Rahman membuat keputusan, kes itu akan
 didengar pada 13 hingga 17 Mei tahun depan, dan memerintahkan
 tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
 

 Hakim juga memerintahkan pasport antarabangsa tertuduh
 ditahan.

 Mohamed, 55, yang tidak mengaku bersalah di atas semua lima
 pertuduhan itu, didakwa melakukan perbuatan berkenaan dengan
 menggunakan jawatan awamnya untuk faedah sendiri, iaitu
 meluluskan penyambungan kontrak perkhidmatan membersih,
 mencantikkan bangunan dan asrama Yayasan Terengganu, Hulu
 Terengganu di atas nama W.M Enterprise dalam tempoh itu.

 Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di pejabatnya di Jalan
 Sultan Ismail di atas nama syarikat berkenaan, yang mana
 Mohamed mempunyai kepentingan di dalamnya.

 Kes pertama berlaku pada 14 Jan 1989, kedua - 25 Feb 1989,
 ketiga - 7 April 1990, keempat - 9 April 1991 dan kelima pada 27
 Mei 1991.

 Mohamed dituduh di bawah Seksyen 2 (1) Ordinan No. 22
 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 bagi setiap kesalahannya dan
 jika sabit kesalahan beliau boleh dijatuhkan hukuman maksimum
 penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali
 bagi setiap pertuduhan.

 Semasa pertuduhan, Ahmad berkata kesalahan yang dilakukan oleh
 tertuduh adalah satu kes yang serius dan meminta tertuduh diikat
 jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin di samping
 pasport antarabangsanya ditahan.

 Ahmad berkata pihak pendakwaan akan mengemukakan seramai
 lapan orang saksi pada perbicaraan itu nanti.

 Bagaimanapun, Mohamed semasa membuat pengakuan tidak
 bersalah meminta mahkamah mengurangkan jaminan kerana beliau
 adalah seorang pesara.

 Hakim juga memerintahkan Mohamed supaya mendapatkan khidmat
 peguam.

 Mohamed yang berasal dari kampung Pulau Rusa, Kuala
 Terengganu merupakan Pengarah Yayasan Terengganu yang
 pertama dan yang paling lama berkhidmat, sejak yayasan itu
 ditubuhkan pada Mei 1972 sehingga beliau bersara pada 30 Nov
 1998.

 Sebelum itu, Mohamed adalah seorang pegawai tadbir dengan
 kerajaan negeri Terengganu.