REVOLUSI MENTAL : SUMBANGAN AHLI JANGAN DI PERKECILKAN
  Oleh :watchdog.
 

Tiada siapa boleh menafikan pendapat Penulis Tamu dalam Revolusi
Mentalnya, bahwa kemenangan PAS adalah kerana dua kelompok pengundi yang
dinamakannya sebagai "Pengundi Senyap" dan "Pengundi Protes". Justru,
calon-calon PAS akan disokong tanpa mengira kewibawaan mereka. Kesemua
ini adalah kerana pergolakan politik negara masa kini. Dengan ringkasnya
kemenangan PAS lebih didorong oleh penolakan pengundi terhadap UMNO
daripada faktor tarikan oleh PAS. Walaupun saya bersetuju dengan
pendapat di atas, saya rasa penulis tidak berlaku adil memperlekehkan
sumbangan ahli-ahli PAS di dalam pilihan raya lalu, mengibaratkan
cawangan-cawangan PAS sebagai cawangan menampal poster.

Sebahagian besar daripada kita hanya melihat ahli-ahli PAS menampal
poster kerana kita tidak terlibat sepenuhnya dengan gerakkerja pilihan
raya. Mungkin juga penulis tamu tergolong di dalam golongan ini, justru
membuat kesimpulan yang tidak berasas. Sebagai seorang pekerja pilihan
raya cawangan, saya ingin jelaskan di sini, untuk pengtahuan umum, bahwa
ahli cawangan bukan sekadar menampal poster tetapi juga terlibat dengan
tugas-tugas yang lebih sukar dan mencabar seperti bancian pengundi,
kempen rumah-ke-rumah, menyekat penyebaran maklumat palsu dan pengagihan
wang oleh UMNO dan berbagai lagi yang saya fikir tidak perlu saya
jelaskan satu-persatu. Saya pecaya apa yang dilaksanakan oleh cawangan
saya juga dilaksanakan oleh kebanyakan cawangan lain. Oleh itu adalah
sungguh tidak adil bagi penulis memperkecilkan sumbangan ahli PAS di
peringkat cawangan, malahan, pada pendapat saya sumbangan mereka ini
adalah lebih besar daripada sumbangan se-setengah calon itu sendiri.

Sekian, terima kasih.