Make your own free website on Tripod.com
 


ROYALTI  :  KAMI BERSAMA TOK GURU


Raja Kelentong Berlakon Lagi

Persidangan khas UMNO sudah pun selesai, pada 18 November 2000. Seramai 2,016 perwakilan "daripada 165 bahagian telah hadir di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk meminda 11 daripada 12 perkara-fasal dalam perlembagaan parti yang kini terkenal sebagai UMNO Baru(a). Persidangan khas satu hari itu telah dimulakan dengan ucapan yang tidak berapa panjang oleh Presiden parti di mana dia telah menangis lagi. Kali ini, tidak ramai di kalangan perwakilan menyapu airmata mereka malahan suara laungan berbunyi "Hidup Mahathir" tidak kuat bergema lagi. Suara itu seakan-akan sumbang sahaja mengiringi mimik dan cemekan muka seorang tua yang sedang berdiri memerangi perasaan hatinya.

Saya tidak mahu merakamkan segala pindaan yang telah dilakukan itu kerana ia tidak akan membawa sebarang makna. Apakah ertinya melakukan pindaan kepada perlembagaan sebuah parti politik yang sudah pun diibaratkan (oleh badut terulung parti, Badruddin Amiruldin) "laksana rumah buruk dengan lantai yang reput, manakala bumbung pula bocor"?

Apa gunanya kita memberi penekanan kepada fasal dan pindaan yang dilaksanakan itu sedangkan perlembagaan negara yang diolah begitu rapi satu ketika dulu telah dirobek-robek, dan hukum undang-undang negara telah mudah sekali dilenyek-lenyek? Saya fikir, UMNO boleh bersidang khas setiap bulan selepas ini dan si Raja Kelentong sebagai presiden parti boleh menangis lagi setiap kali persidangan itu dimulakan, UMNO akan berada di tahap itu juga - semakin reput lantainya dan semakin bocor pula bumbungnya. UMNO sudah tidak berdaya untuk menjadi sebuah parti politik Melayu yang pragmatik lagi, kerana semangat juang Melayu yang satu ketika dulu menjadi teras penubuhan parti telah dinodai oleh para pemimpinnya sendiri. Itulah yang berlaku ketika UMNO asal pecah hingga mencetuskan penubuhan Parti Semangat 46. Itulah juga yang berlaku kepada parti UMNO (Baru) yang ditubuhkan dengan berlakunya kemelut yang sungguh bersejarah itu.
 

Lakonan Yang Dirancang
Semangat perjuangan Melayu dalam UMNO memang sudah lama pergi. Ia kini beralih tempat dalam parti politik lain yang kini di kenal sebagai komponen Barisan Alternatif. Presiden parti yang juga merangkap Perdana Menteri Malaysia dan juga Raja Kelentong memang sedar akan perkara ini. Kerana itu, dia pun tidak berapa peduli lagi apakah yang mahu dipinda oleh parti. Yang penting kepadanya dia mampu berkuasa dan terus bertakhta selagi dia masih lagi bernyawa. Sayangnya, para perwakilan tidak menyedari segala taktik jijik yang direcananya selama ini sehingga satu tahap yang sudah terlambat.
 
 
 
 

Hanya kini, barulah ada bibit kesedaran di kalangan perwakilan betapa kuasa presiden parti itu telah menjerumuskan parti mereka dan juga maruah bangsa ke dalam sungai Gombak yang mengalir di tepi PWTC itu. Dengan demikian, segala pindaaan yang mereka luluskan itu tidak akan membawa banyak makna kerana esok ataupun lusa dan mungkin juga satu ketika di tahun mendatang ada saja peraturan baru yang akan diperkenalkan untuk meminda apa yang baru sahaja dipinda itu. Bukankah itu yang terjadi selama ini sehinggakan jawatan presiden parti dan timbalannya dibolehkan dipegang oleh orang yang sama tanpa dipertandingkan?
 
 
 

Mahathir sendiri pun tidak berapa kisah lagi dengan segala pindaan yang dilakukan itu kerana dia tahu apa yang dia mahu akan dapat diperlakukannya. Sebelum persidangan itu dilangsungkan, sudah ada beberapa persidangan kecil lagi yang telah diatur dan dikendalikan oleh pucuk pimpinan parti. Di antara pindaan yang telah dirancang dulu ada satu cadangan agar tempoh pemilihan kepimpinan dilanjutkan daripada tiga tahun kepada lima tahun dan mengikut tempoh penggal Dewan Rakyat. Cadangan ini telah diluluskan oleh Majlis Tertinggi UMNO pada 30 Oktober untuk dibentangkan pada persidangan khas itu. Inilah cadangan yang ditentang dengan hebatnya oleh akar umbi parti sehinggakan Majlis Tertinggi (MT) Umno terpaksa bersidang pada November 16 untuk menarik balik cadangan itu. Disebabkan kelulusan MT itu ditarik balik dan tidak dikemukakan pada persidangan khas, barulah segala pindaan yang kecil-kecil itu dapat diterima oleh para perwakilan. Ini bererti sudah ada satu pergerakan 'bawah tanah' di kalangan akar umbi yang berjaya menyanggah cadangan pindaan yang telah diluluskan terlebih dulu oleh MT. Ini juga membawa erti bahawa perwakilan telah datang ke persidangan khas itu untuk melihatkan keadaan sebenar apakah yang akan berlaku seterusnya dengan penolakan utama itu.
 
 

Kita dapat menjangkakan, kalaulah tempoh jawatan mereka yang di atas itu dilanjutkan sehingga lima tahun dan mengikut tempoh penggal Dewan Rakyat ini membawa erti si Raja Kelentong mampu berkuasa sehingga 2005. Kalaulah pindaan itu dibenarkan oleh perwakilan berapakah agaknya bilangan timbalan perdana menteri yang akan muncul nanti, silih berganti? Rakyat Malaysia tentu masih ingat lagi betapa Mahathir telah memberitahu seorang pemberita di Hong Kong sebab utama dia terus 'bekerja keras untuk UMNO' ialah kerana Paklah masih belum cekap lagi. Apakah kalau Paklah terus majal, dia akan dijatuhkan melalui satu konspirasi lagi? Betulkah proses merencana konspirasi ini sudah pun lama bermula?
 
 
 

Ramai veteran UMNO telah memberitahu betapa kecewanya Raja Kelentong apabila cadangan lanjut tempoh itu telah ditolak oleh akar umbi. Sebenarnya satu rencana untuk memutar minda orang Melayu sudah dirancang dengan teliti oleh hampir semua akhbar perdana yang menjilat parti itu. Contohnya ketika Mahathir menghadiri persidangan OIC di Doha, Qatar, ada satu lapuran daripada Utusan Meloya yang memberitahu bahawa Mahathir telah berjumpa dengan Sheikh Yusuf Qardawi, seorang ulama terkenal di sana. Apakah tujuan sebenar lapuran itu, kalau bukan untuk mengabui pemikiran orang Melayu? Mujur, Azmin Ali "telah menghubungi Sheikh itu secara utusan dan kemudian menerima jawapan darinya yang mengejutkan. Rupa-rupanya, Raja Kelentong tidak pun pernah mengadakan pertemuan itu. Sheikh Qardawi telah membalas utusan Azmin Ali dengan menyatakan kesanggupannya untuk datang ke Malaysia memberikan penjelasannya secara terus."
 
 

Kemudian, kita telah membaca laporan betapa Hamid Albar telah menganjurkan penjualan buku dalam Bahasa Arab yang merupakan buku terjemahan "A New Deal for Asia' yang ditulis oleh Raja Kelentong. Tentu kita masih ingat betapa beliau telah menulis akan peranannya sebagai pengasas penubuhan UMNO satu ketika dulu. Pembohongannya ini boleh dibaca dalam buku itu di muka surat 18 yang menyebut perkara berikut:

Quote:

"I organised the first Kedah Malay Youth Union, and later the Kedah Malay Union, a political party which evolved into what is today the ruling party of Malaysia, the United Malays National Organisation (UMNO)."
 

Jika diterjemahkan ia bermakna begini:
 
 

"Saya merupakan orang yang pertama mengusahakan penubuhan Persatuan Pemuda Kedah yang kemudiannya dikenali sebagai Persatuan Melayu Kedah. Inilah satu parti politik yang akhirnya bertukar wajah menjadi satu parti yang memerintah Malaysia yang bernama UMNO."
 
 

Di Doha, memang ramai anak muda Melayu dan rakyat Malaysia yang bertugas di beberapa bidang industri dan mereka sentiasa berhubungan rapat dengan masyarakat Melayu yang bertugas di Kuwait, Iraq, Bahrain, dan negara Arab yang lain. Apabila mereka tahu akan cerita penjualan buku dalam Bahasa Arab itu mereka telah sama-sama menerangkan perkara sebenarnya kepada rakan Arab mereka bahawa kenyataan Mahathir itu sememangnya satu kerja kelentong juga.
 
 
 
 
 
 
 

Kita juga telah melihat betapa Persidangan OIC kali itu telah dipergunakan secukupnya untuk menonjolkan ketokohan Raja Kelentong. Laksana masuk bakul untuk mengangkatnya sendiri, begitulah gelagat yang dilakukannya. Malaysia telah sanggup menyumbang Satu Juta Dollar untuk membantu OIC yang sentiasa tidak berduit itu. Soalnya, dari manakah wang itu diambil kalau bukan daripada khazanah negara. Adakah sesiapa di kalangan parti pembangkang yang mengungkit perkara ini kerana terlalu mudah Mahathir membelanjakan wang rakyat kepada tabung pilihannya. Apakah pembayaran wang sebanyak itu menjadi satu pra-syarat untuk OIC menyetujui Malaysia sebagai tuan rumah yang terbaru nanti?
 
 
 
 

Mungkin tidak ramai para perwakilan parti di kampung-kampung yang sedar bahawa salah satu taktik mengabui orang bandar untuk setuju melanjutkan tempoh kuasa Raja kelentong secara perlembagaan ialah dengan tersiarnya cerita adik beradik Raja kelentong itu di Harian Metro. Pada 12 dan 13 November, 2000 ada cerita mengenai adik beradik Raja Kelentong yang masih hidup lagi dan bagaimana ketika masih berusia lebih daripada 85 tahun, mereka mampu hidup segar bugar lagi. Secara liciknya cerita itu memberi kiasan bahawa Perdana Menteri dan Presiden parti yang masih lagi berusia 76 tahun itu tentu masih bertenaga untuk memimpin sebuah negara, walaupun usianya akan menjangkau 80 tahun. Inilah taktik yang kerap dilakukan di Amerika setiap kali pihak agensi pengiklanan mahu menonjolkan kewibawaan seseorang calon politik yang bertanding di sana.
 
 
 
 

Taktik menonjolkan kewibawaan Raja Kelentong ini bukan sahaja dilakukan oleh akhbar perdana. Akhbar picisan seperti yang dikelolakan oleh Idris Tulis dan juga Yahaya Ismail merupakan tabloid yang sungguh kuat mengampu Raja Kelentong. Setiap aksi dan atktibiti yang dilakukan oleh Raja Kelentong tidak pernah ada cacat-celanya. Semuanya baik-baik belaka kerana semuanya dikatakan untuk kebaikan orang Melayu semata-mata. Sayangnya tidak pernah pun akhbar dan tabloid pengampu ini memikirkan dan menyoal Mahathir kenapakah selepas UMNO berkuasa lebih 43 tahun di mana hampir setengah usia itu dipimpin oleh Raja Kelentong sendiri, masih ramai lagi orang Melayu dan rakyat Malaysia yang berhak, tidak pun berkeupayaan untuk memilikki rumah sendiri? Malahan terlalu banyak soalan yang patut dikemukan kepada Raja Kelentong ini kerana soalan itu semua ada kena mengena dengan keadaan hidup rakyat marhaen yang semakin tertekan. Sekarang ini kita lihat Idris Tulis terlalu giat menulis mengampu Raja Kelentong kerana tidak ramai pembaca tulisannya yang kenal siapakah Idris Tulis itu di zaman Tengku Abdul Rahman Putra. Hanya orang-orang lama Kuala Lumpur yang mungkin akan teringat nama Idris Tulis itu sebagai insan yang pernah satu ketika mahu memutar minda para penjaja Melayu ibukota terutama mereka yang berniaga di Bukit Bintang.
 
 
 
 
 

Oleh kerana Idris Tulis kerap galak mengampu Raja Kelentong, kita nampak Yahaya Ismail pun terikut-ikut untuk melimau-sintuk ceritanya agar tidak basi-basi dalam cara mengampu Raja Kelentong yang dianggapnya tidak akan mati-mati. Yahaya akan menuduh sesiapa sahaja yang dia suka untuk mengaibkan maruah politik mereka. Tetapi, sebagaimana yang disebut oleh seorang veteran UMNO kepada saya; "orang semacam Yahaya itu memang ramai cuma mereka menggunakan Yahaya sebagai pencacau rasmi mereka". Sekali lagi taktik yang licik untuk memutar minda itu bolehlah dikatakan tidak berjaya. Sebenarnya memang ramai penulis ternama lain yang hidup mewah dengan taktik yang baru dicuba oleh Yahaya Ismail itu. Mereka adalah Kadir Jassin, Abdullah Ahmad dan Zainuddin Maidin. Mereka bertiga ini adalah daripada kelompok tembaga yang berkilau laksana kencana, sedangkan Yahaya Ismail masih di tahap haprak lagi.
 
 
 

Pujuk Sudah Rayu Pun Sudah
 
 
 

Ketika membuka Persidangan Khas Umno kali ini Raja Kelentong ada menyebut: "Saya telah pujuk, saya telah rayu, saya telah menangis dan saya telah berdoa. Sekarang kita cuba pula pinda perlembagaan." Dalam hal ini ada beberapa perbuatannya yang tidak diserlahkan. Cuba kita lihat perkara itu:
 
 
 

Sebelum dia berdoa dulu dia kerap menjelirkan lidahnya,
 

Dia telah tunggang-balikkan hukum undang-undang negara dengan menolak sapina mahkamah sedangkan sapina itu adalah berkaitan dengan segala tuduhannya terhadap Anwar Ibrahim.
 

Dia telah robek-robekkan perlembagaan untuk memberikan keselesaan kepadanya dan para kroni. Kerana itu dilantiknya Eusoffe Chin sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan Mohtar Abdullah sebagai Ketua Peguam Negara. Inilah pasangan manusia berkelulusan undang-undang yang telah bersekongkol dengan Raja Kelentong untuk menjatuhkan kuasa raja-raja dan kuasa ketuanan Melayu secara putar belit dan hidup penuh rasuah.
 

Sejak beliau mengambil tampuk kuasa, Mahathir telah menganjurkan konsep pemerintah yang "Bersih, Cekap dan Amanah." Kemudian dipindanya slogan itu kepada banyak 'lagu' lagi termasuklah "Kepimpinan Melalui Tauladan". Lihat sendirilah, apa jadinya kini? Apakah segala slogan yang dicetuskannya itu membawa sebarang makna? Kenapakah baru kini dia meminta tolong agar perwakilan UMNO membantunya?
 
 

"Kita masih anggap rasuah sebagai jenayah yang kita berasa malu jika kita lakukannya. Keadaan masih boleh dipulih, insya Allah. Tetapi, jika sesuatu keburukan hendak ditangkis, ia mestilah dibuat sebelum ia merebak dan menjadi sebahagian daripada budaya kita.
 
 
 

Oleh itu tolonglah. Sayanglah bangsa kita ini. Sayanglah anak cucu kita. Tolaklah rasuah. Dedahkan mereka yang menghulur rasuah. Dapatkan bukti yang cukup, dedahkan mereka. Tolak semua jenis tawaran rasuah termasuk melancong dan umrah. Tolak semua yang berbau rasuah kerana bangsa, kerana bangsa kita akan menjadi hina, akan hancur. Dan kita semua akan terus jatuh ke lembah kehinaan, daif dan tidak bermaruah.
 
 

Tiap seorang ahli UMNO bertanggungjawab dalam usaha ini. Dedah dan tolak jenayah rasuah dan utamakan bangsa, agama dan tanah air."

Aduuuuuhhhhhhh!!!!!! Memang seronok mendengar cakapan dan nasehat seorang tua dalam perkara begini. Ia seolah-olah menaikkan semangat juang di dada, apatah lagi kalau yang bercakap itu mengeluarkan airmata dan mememekkan mukanya untuk dirakamkan oleh kamera dan TV. Tetapi, inilah cakap-cakap kosong yang tidak membawa sebarang makna lagi kepada para pendengar yang sudah lali telinganya dengan retorik ini. Mahathir hanya perlu melihat sekelilingnya di pentas persidangan khas itu. Dia perlu menoleh setiap muka yang ada di situ dan tanya berapa banyak rumah mereka dan berapa banyak bidang tanah mereka semuanya. Hampir semua mereka itu pernah menyerahkan butir harta benda mereka sebelum dilantik menjadi wakil rakyat. Cuba bandingkan penyata itu dulu dengan kekayaan yang ada pada mereka kini. Apakah tidak ada unsur rasuah? Cuba Mahathir tengok dan belek barang kemas yang dipakai oleh Rafidah, Shahrizat dan isteri-isteri para menteri yang ada. Kalau untuk memudahkan lagi cuba tanya Habib Jewels berapakah wang yang dibelanjakan oleh setiap insan ini ketika mereka datang memilih intan berlian? Kenapakah mereka kerap membelek barang-barang kemas yang berharga sekitar suku juta?
 
 

Apakah Mahathir tidak pernah diberitahu bahawa salah satu cerita hangat yang dibawa pulang ke kampung daripada PWTC ialah barang kemas terbaru yang dipakai oleh si anu dan si anu dan berapa pula harganya. Inilah modal yang dibawa pulang sebagai kenangan.
 
 
 
 
 

Rasuah Mahathir Dan Rasuah Marhaen
 
 

Kalau kita teliti saranan Mahathir untuk membenteras rasuah selama ini, kita tentu mahu menyoalnya apakah yang dimaksudkannya sebagai rasuah? Cara beliau merestui Rafidah Aziz mengeluarkan permit pengimpotan kereta luar negara untuk menandingi Proton dan Produa, seolah-olah perbuatan Rafidah itu bukannya perbuatan rasuah. Begitu juga pendedahan Umi Hafilda di mahkamah (bukannya di sidang akhbar untuk cari glamor) betapa dia diberikan kontrak pengiklanan berjuta harganya dan daripada sebahagian kontrak itu diberikan pula sekitar RM35,000 setiap bulan kepada isteri seorang timbalan menteri dalam negeri. Apakah itu bukan satu bentuk rasuah?
 
 
 

Bagaimana pula dengan kisah wang hasil penggalian minyak dan gas dan penjualannya ke seluruh dunia dan dimasukkan dalam akaun Petronas? Kenapakah wang itu dikendalikan oleh Raja Kelentong sendirian, dan bukannya oleh Perbendaharaan negara? Kuasa yang ada padanya mampu membolehkan beliau mengarahkian Rais Yatim untuk terus memutar-belitkan undang-undang negara menidakkan royalti minyak kepada rakyat Terengganu. Apakah itu pun tidak dikira rasuah?
 
 
 

Begitu juga halnya dengan penggalian gas di Kelantan sedangkan hasil galian itu disalurkan ke Kedah dengan menggunakan kawasan kepunyaan kerajaan Thailand. Apakah itu bukannya rasuah? Dalam hal ini saya ada diberitahu oleh beberapa jurutera yang menggali minyak di perairan Terengganu: besar kemungkinannya minyak akan digerudi di Kelantan. Cuma pada waktu ini hanya gas yang disebut-sebut. Tetapi, di dasar laut, minyak sudah mula dapat dikesan dengan banyaknya di bumi Kelantan. Ini bererti, saluran paip gas yang terpasang siap masuk ke Kedah, akan satu hari nanti dijodohkan pula dengan saluran minyak daripada bumi Kelantan. Oleh kerana orang Kelantan tidak pun merasa nikmat royalti itu, siapakah yang akhirnya menikmatai segalanya kalau bukan orang Kedah dan juga para kroni si Raja Kelentong itu? Apakah ini bukan satu bentuk rasuah?
 
 
 
 

Oleh kerana cara Mahathir merayu agar rasuah dibenteraskan itu merupakan satu rayauan laksana menepuk air di dulang, rakyat marhaen hanya mampu tergelak yang bertukar sedikit demi sedikit kepada perasaan jijik dan marah yang meluap-luap. Gelagat Mahathir menjelir lidahnya, menangis, merayu dan berdoa untuk menghapuskan rasuah di negara ini adalah satu lakonan yang memang hanya Mahathir yang pintar melakonkannya. Hampir semua ahli MT di persidangan UMNO itu faham dan sedar bahawa rasuah di negara ini adalah satu kejijikan yang sudah pun menjadi budaya orang Melayu gara-gara kerakusan yang dipelopori oleh Mahathir dalam UMNO. Oleh kerana tahap rasuah dalam UMNO sudah melonjak begitu tinggi sehingga ia tidak dapat dijatuhkan lagi selagi tonggak yang digunakan untuk melonjakkan rasuah itu tidak dapat dijatuhkan.
 
 
 
 
 

Rasuah sudah lama menjadi budaya orang Melayu yang diimpot daripada budaya asing. Ia telah dibiakkan oleh Raja Kelentong dan suku-sakatnya. Laksana secebis dedalu yang tertempel di batang kayu satu ketika dulu, dedalu rasuah itu sudah lama menjalar dan mencambah daripada satu pokok hingga satu pokok yang lainnya sehinggakan pokok yang ditanam begitu rapi dulu sudah pun menjadi hutan rimba. Tuanpunya kebun yang menanam pokok buah-buahan dulu mengharapkan buah-buah yang ranum pada musimnya. Tetapi, apabila dedalu yang hidup laksana raja di pokok yang ditumpanginya pada satu ketika dulu, telah menjadikan segala pokok tanaman menjadi hutan rimba. Pokok yang paling besar dan utama itulah yang bernama UMNO yang penuh sarat dengan segala jenis dedalu sehinggakan rupa bentuk pokok yang asal sudah lama hilang dari pandangan. Sesekali terjurailah beberapa kuntum orked liar yang menumpang sama di pokok itu. Sesekali akan reputlah ranting dan dahan di pokok itu dan jatuhlah ke bumi tanpa sesiapa yang menangisinya. Begitulah jadinya dengan cawangan dan bahagian UMNO yang dikatakan berjumlah 165 bahagian itu.
 
 
 
 

Demikianlah perjalanan UMNO yang kini dimestikan membenteras rasuah mengikut acuan yang dikemukakan oleh Raja Kelentong. Rasuah jenis apakah yang dimaksudkannya? Kalau dia betul-betul serius membenteras rasuah dia perlu memulakannya dengan penubuhan satu suruhanjaya penyiasat kenapakah Projek SUKOM dulu mengalami kerugian sedangkan projek sukan yang dikendalikan negaraluar mendapat keuntungan? Cuba lihat Sukan Olimpik di Sydney 2000, mereka mendapat keuntungan yang tinggi. Tetapi, kenapakah kerajaan terpaksa menabur wang lagi dalam projek SUKOM, sedangkan banyak insfrastruktur yang terbina itu sudah pun memerlukan pembaikan dan selenggaraan yang memakan berjuta ringgit lagi? Kita tahu Raja Kelentong tidak akur dengan permintaan itu kerana dia tahu hampir semua projek besar dalam pembikinan perasarana dulu telah dibalun oleh anak-anak, para kroni dan para penjilatnya. Daripada projek angkut sampah sehingga pembikinan bendera dan tiangnya pun dibalun anak-anak dan kroninya sahaja.
 
 
 
 

Dengan hal demikian, rasuah jenis apakah yang mahu didedahkan kepada Raja Kelentong? Kalau ada pun yang berminat mendedahkan segala bentuk rasuah itu, di manakah mahu didedahkannya? Di akhbar perdana yang sentiasa diisi dengan rencana mendewakan seorang diktator tua dan para pemimpin partinya? Kalau perbuatan rasuah itu dianggap jijik, perbuatan menyekat usaha membenteras rasuah harus dianggap lebih jijik lagi. Kerana itu Raja Kelentong perlu disedarkan bahawa tindakan menyekat penyebaran maklumat seperti yang dilakukan oleh parti alternatif dan usaha membekukan permit dan lesen penerbitan yang disenangi rakyat, adalah merupakan perbuatan yang sama jijiknya dengan perbuatan rasuah itu. Begitulah juga dengan usaha menyekat hasrat rakyat marhaen berkumpul secara aman. Apatah lagi kalau himpunan rakyat secara aman itu dihambat oleh polis yang bersenjatakan belantan, air asid dan gas pemedih mata. Dosa melakukan semua kerja jijik ini adalah sama dengan dosa melakukan rasuah. Mahathir harus sedar masanya untuk undur sudah lama berlalu. Dia sudah melepasi tarikh pupusnya dan tidak akan mampu melambatkan masa itu dengan mengerahkan ratusan polis FRU menyekat himpunan rakyat. Ribuan tenaga ganas polis tidak akan mampu menyekat gelombang reformasi rakyat yang mahukan Mahathir undur dan kebebasan untuk mereka bersuara. Mahathir harus mengambil iktibar dari apa yang sedang dialami oleh sahabatnya seperti Fujimori, Mogabe dan juga Soharto.
 
 
 
 

Rasuah apakah yang perlu didedahkan kepada Mahathir kalau dia sendiri galak mengamalkannya? Bukankah perlantikan orang yang tidak disenangi rakyat seperti Aziz Shamsuddin dan Hamid Othman satu bentuk rasuah? Bagaimana pula dengan seorang menteri pendidikan yang dilantik tanpa beliau terlebih dulu menjadi ahli parti? Bukankah itu pun boleh dianggap sebagai rasuah? Bagaimana pula dengan kisah penggunaan syarikat khas untuk mengangkut para pengampu di setiap majlis pertemuan Mahathir dengan rakyatnya? Apakah itu bukan rasuah?
 
 
 

Rasuah yang cuba dibenteras dengan retorik akan terus menjadi-jadi dari segi amalannya. Laksana dedalu yang sudah lama subur di atas pokok yang satu ketika dulu kuat dan tinggi kedudukannya, dedalu itu akan terus berkembang biak sehingglah pokok tegap dan tinggi itu akan jatuh menyembah bumi. Sedikit demi sedikit; ranting, dahan dan cabang-cabang pokok itu sudah pun kering-kontang dan berada di pangkal pokok itu. Dahan-dahan yang ada dan kelihatan tegap itu pun sudah semakin kering juga, hanya menantikan hari dan waktu untuk patah riuk menyembah bumi dan berlonggok di pangkal kayu itu.
 
 
 
 

Demikianlah UMNO yang dirasuk budaya rasuah dan ampu mengampu. Mahathir sebagai Raja Kelentong di negara ini mahukan dirinya terus berkuasa di dalam sebuah parti yang dia sendiri sedar sudah menunggukan harinya untuk turut pupus juga. Tetapi, dia mahukan rakyat terutama para pemimpin parti terus menyanjunginya. Budaya ampu mengampu oleh para juak dan kroni adalah satu budaya yang sudah lama disemai dan dinikmati oleh Mahathir. Kini, budaya jilat menjilat itu sudah semakin berkurangan. Jeliran lidah, tangisan, rayuan dan doa tidak menjadi mujarrab lagi.
 
 

Dia pernah berkata di hari persidangan khas itu:
 
 

"Banyak lagi tindakan yang perlu diambil untuk menguatkan UMNO dan melengkapkannya untuk menghadapi dan mengatasi cabaran-cabaran di dekad-dekad akan datang. Jika kita meneliti sejarah, kita akan dapati banyak tamadun manusia muncul, mencapai kecermelangan buat beberapa lama tetapi akhirnya merosot dan kadang-kadang terus luput dan hilang. Hampir semua tamadun termasuk tamadun Islam telah melalui proses ini. Tetapi ada juga yang merosot dan kemudian dipulih semula."
 
 

Sebelum itu Mahathir ada membuat satu kenyataan yang sungguh bersejarah:
 
 

"Jika UMNO mengamalkan rasuah, kita akan dapat presiden dan perdana menteri yang membeli jawatan secara haram. Demikianlah juga dengan pemimpin-pemimpin lain. Apakah jenis kerajaan yang akan kita dapat di Malaysia? Apakah kita boleh percaya dengan kerajaan yang di anggotai oleh penjenayah rasuah?"
 
 
 
 

Sekarang kita mahu tanya Mahathir apakah peranan Eusoff Chin ketika menjadi Ketua Hakim Negara dan apakah pula peranan Mohtar Abdullah, Augustine Paul, Ariffin Jaka dan beberapa penyiasat polis dalam mengganyang Anwar Ibrahim dulu? Bukankah semua mereka itu telah bertungkus lumus memutar-belitkan undang-undang semata-mata untuk mengekalkan seorang diktator tua? Apakah mereka itu semunya tidak berumah tangga dan mempunyai anak-anak yang semakin membesar? Bagaimanakah mereka yang bergelar 'Yang Arif' itu sanggup bersekongkol untuk menjerumuskan seorang insan dan memisahkan anak-anaknya yang semakin membesar untuk satu tempoh yang sungguh lama? Apakah tindakan Mahathir memutar minda mereka itu semuanya bukan berupa satu rasuah? Sebenarnya inilah rasuah moral namanya, yang sama beban dosanya dengan rasuah fisikal.
 
 
 
 
 

Inilah yang menakutkan Mahathir kerana sentiasa dihambat igauan ngeri dalam tidurnya. Cuma kita mahu syorkan satu perkara untuk Mahathir sebagai jaminan akan bertambahnya rakyat yang akan menjilatnya. Dalam hal ini dia tidak perlu merasuah sesiapa lagi, tetapi akan selesa dengan adanya ratusan ribu manusia yang akan menjilat belakangnya. Arahkanlah Pos Malaysia mengeluarkan stem baru dalam pelbagai bentuk dengan menggunakan muka memek seorang diktator tua sebagai penghiasnya. Kemudian, suruh 'Malaysian Book of Records' membuat kajian berapa ramaikah manusia di Malaysia ini yang menjilat stem itu setiap hari. Yang pasti tidak ada pemimpin dunia lain yang dapat menandingi jumlah itu sampai bila-bila lagi, kerana kita yakin tentu ada rakyat yang meludah mukanya di stem itu sekali.
 
 

-Marhaintua-
20.11.2000