Make your own free website on Tripod.com
 
Kerajaan Terengganu Menuntut Haknya.

Pandangan saudara Kamarul Baharin yang disiarkan di kolum forum Utusan Malaysia bertajuk  Pas Tidak Mahu Rakyat menikmati Wang Ihsan, hari ini,amat menarik perhatian saya. Pandangan yang beliau utarakan  menggerakkan saya untuk mengajukan sedikit ulasan untuk saudara paparkan kepada pembaca setia saudara.

Sebagai seorang rakyat Negeri Terengganu, lagipula bermastautin di sini, saya seharusnya mengutuk Kerajaan Pas Terengganu selepas membaca tajuk artikel tersebut. Dan saya percaya ada yang berreaksi sedemikian dengan spontan. Namun demikian, pembaca yang rasional akan mengkaji keseluruhan pandangan dan tidak akan terpengaruh dengan tajuk se mata-mata. Sesudah membaca keseluruhan pandangan saudara Kamarul, saya dapati, amat malang sekali, pandangan beliau hanya bersandar kepada  perasaan bahwa “ pihak kerajaan pusat telahpun mengeluarkan fakta-fakta kedudukan sebenar wang ihsan ini” tanpa sedikitpun menyelami atau membongkar fakta sebenar, justru melempar berbagai tuduhan terhadap Hj. Hadi dan Kerajaanya.

Sayugia diingat bahwa perjanjian yang dimetrai di antara Petronas dan Kerajaan Terengganu, 25 tahun lalu memperuntukkan dengan jelasnya yang Petronas akan membayar  royalti minyak kepada Kerajaan Terengganu dalam kadar 5% pengeluaran minyak setahun. Sejak perjanjian itu dimetrai Petronas telah melaksanakan komitmennya dengan baik dan  tanpa gangguan daripada  mana-mana pihak waima Kerajaan Persekutuan sekali pun. Petronas pula tidak pernah memungkiri janjinya. Tiba-tiba Kerajaan yang telah menerima royalti selama lebih 20 tahun, mengikut  perjanjian yang tersebut tadi, tidak lagi dipilih rakyat untuk kekal memerintah Negeri Terengganu. Kini apabila teraju pemerintahan negeri dipegang Pas/BA, tiba-tiba royalti minyak bertukar menjadi “ Wang Ihsan” dan akan dibayar melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), kononnya supaya rakyat dapat menikmatinya secara terus. Tahukah atau pekakah saudara Kamarul bahwa satu daripada sebab-sebab yang rakyat terbanyak menolak Kerajaan yang lalu ialah kerana mereka tidak langsung merasai nikmat pemberian royalti minyak yang begitu banyak sekian selama. Mana mungkin wang yang disalurkan melalui JPP,agent daripada kumpulan yang memerintah dulu, sampai kepada rakyat terbanyak. Ini bukanlah satu andaian, sebaliknya satu hakikat yang telah disaksi rakyat sendiri. Peraturan baru yang saudara Kamarul berpendapat sebagai satu peraturan yang memanfaatkan rakyat  adalah satu penginayaan dan penafian hak rakyat. Tetapi saudara Kamarul, sebaliknya, menuduh “ Pas Terengganu kemaruk sangat wang tersebut sehinggakan rakyat Terengganu tidak menjadi keutamaan ”

Beliau juga menyatakan bahwa “ Pas tidak mempunyai sebarang hak ke atas apa jua imbuhan kerana sumber minyak berada di luar kawasan negeri ” Pas adalah suatu parti politik sama seperti UMNO, DAP, MIC dan sebagainya. Tentu sekali mereka tidak berhak. Apa yang harus kita utarakan ialah kerajaan, bukan parti. Secara kebetulan, Pas dipilih rakyat menerajui Kerajaan Negeri Terengganu. Maka sebagai sebuah kerajaan yang sah ia berhak ke atas apa yang sekian lama menjadi hak kerajaan. Lagipula hak royalti minyak telah termaktub di dalam satu perjanjian. Di sini ingin saya mengajukan soalan-soalan berikut untuk direnungi dan dijawab oleh saudara Kamarul dan pembaca budiman Kenapa Kerajaan sebelum ini berhak menerima wang royalti minyak dan tidak kerajaan yang ada sekarang?  Sudahkah Negeri Terengganu berubah lokasinya dari pantai timur ke barat dan satu negeri lain pula, seperti Perak, telah mengambil tempat yang dikosongkan oleh Terengganu?  Jika perubahan ini tidak berlaku, maka apa yang menjadi hak 25 tahun sebelum ini tetap kekal sebagai hak hari ini. Janganlah kita pertikaikan di mana letaknya telaga minyak, kononya mengikut undang-undang telaga itu berada di luar kawasan negeri. Dengan itu Kerajaan Pas hanya meminta haknya untuk manfaat rakyatnya!!

Saya hormati saranan saudara Kamarul agar Kerajaan Pas membawa kes ini ke mahkamah untuk mendapat keputusan. Perlukah perkara yang sejelas ini dibawa ke mahkamah? Namun demikian, jika usaha-usaha melalui perundingan di antara pihak-pihak yang terlibat gagal, maka saya yakin dan percaya Kerajaan Pas akan meminta mahkamah menyelesaikannya.  Rakyat Terengganu melalui Kerajaannya hanya meminta agar hak mereka tidak dinafikan.

Terima kasih,

Mat Sabut
Kemaman, Terengganu.
15 Sep 2000