Make your own free website on Tripod.com


Rakyat Terengganu sokong bawa kes royalti ke mahkamah
Oleh Kamarudin Mat Akib dan Khairul Azlam Mohmad

KUALA TERENGGANU, 12 Mac (Hrkh) - Pelbagai lapisan rakyat negeri ini menyokong tindakan Kerajaan Terengganu memfailkan saman terhadap Petronas dan Kerajaan Pusat berhubung isu penarikan balik royalti minyak.

Mereka menganggap tindakan itu paling tepat setelah Kerajaan Terengganu menemui jalan buntu bagi menyelesaikan isu tersebut yang kini menimbulkan pelbagai masalah kepada kepimpinan negeri untuk membangunkan negeri ini.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Haji Muhyidin Abdul Rashid menyifatkan langkah yang diambil itu membuktikan kerajaan negeri amat prihatin bagi membela nasib rakyat.

Ini, katanya kerana wang royalti itu digunakan untuk tujuan membangunkan negeri ini demi kesejahteraan rakyat sebagaimana tujuan ia diberikan kepada kerajaan negeri sejak 1978 lalu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Kerajaan Terengganu memfailkan sama terhadap Petronas dan Kerajaan Malaysia pada 8 Mac lalu, berhubung isu penarikan balik pembayaran royalti minyak.

Saman tersebut yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur melalui Tetuan Tommy Thomas, menuntut Petronas melaksanakan secara khusus perjanjian utama dan perjanjian tambahan yang telah ditandatangani antara Kerajaan Terengganu dan Petronas.

Nazir Unit Pembangunan Insan (UPI) Kawasan Hulu Terengganu, Ustaz Abidin Abdul Samad mengalu-alukan tindakan kerajaan negeri bagi mendapatkan semula hak yang telah dirompak oleh Kerajaan Pusat.

"Tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri itu jelas menunjukkan bahawa pemimpin Barisan Alternatif menghormati undang-undang, sebab itulah kes ini dibawa ke mahkamah," ujarnya ketika dihubungi.

Pengerusi Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) Lorong Masjid Haji Kadir, Encik Hussain Mohamad, berkata kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan itu kerana tidak ada cara lain untuk menyelesaikan masalah tesebut.

"Kerajaan negeri juga memberi tempoh yang lama kepada pemimpin Kerajaan Pusat supaya mereka menarik balik arahan agar royalti minyak tidak lagi disalurkan kepada Kerajaan Terengganu seperti amalan sebelum ini," katanya.

Seorang kakitangan agensi kerajaan, Encik Azhar Othman, 35, berkata pihak berkenaan perlu sedar bahawa isu royalti bukan hak PAS atau Umno, tetapi ia melibatkan rakyat Terengganu.

"Oleh itu, rakyat Terengganu menyokong penuh tindakan yang dilakukan kerajaan negeri dalam usaha menuntut hak rakyat negeri ini," ujarnya.

Seorang peniaga, Mat Nasir Ismail, 32, dari Kampung Pak Kancil Dalam, Setiu, berkata bukan saja rakyat Terengganu menyokong tindakan itu, tetapi setiap orang yang percaya kepada sistem demokrasi dan keadilan sejagat akan menyokong usaha tersebut.

"Sekarang ini terpulang kepada sistem kehakiman negara ini untuk menentukan siapa yang benar dalam masalah ini," katanya.

Pengerusi JSR Kampung Langkap, Mokhtar Mamat, pula berpendapat kerajaan negeri sedia menarik balik kes itu jika pemimpin Pusat bersetuju untuk memulangkan semula hak Kerajaan dan rakyat Terengganu.

"Saya percaya, pimpinan Kerajaan Terengganu sedia untuk menyelesaikan isu tersebut secara baik bagi menjaga keharmonian dan perpaduan rakyat negara ini, khususnya di kalangan bangsa Melayu," tambahnya.

Seorang kakitangan kerajaan negeri, Ismail Ahmad, 47, berkata banyak perkara dapat diselesaikan, termasuk isu perpaduan Nasional jika pemimpin Kerajaan Pusat sanggup mengembalikan semua hak rakyat Terengganu dan Kelantan yang diperintah oleh PAS.

Petugas di Pejabat PAS Kemaman, Alina Awi, menyokong tindakan kerajaan negeri itu walaupun dalam perjanjian sudah jelas bahawa Terengganu berhak mendapat royalti minyak setiap tahun seperti yang dilakukan sebelum ini.

Pengerusi JSR Kampung Tanah Lot, Dungun, Encik Razali Aman amat bersetuju dengan tindakan saman yang diambil oleh kerajaan negeri bagi mendapatkan semula royalti minyak yang menjadi hak kerajaan dan rakyat negeri ini.

"Langkah saman itu wajar bagi mengelakkan kerajaan negeri terus ditindas oleh kerajaan Pusat kerana menghentikan bayaran royalti minyak," katanya.

Baginya, kerajaan negeri sudah memikirkan secara mendalam kesan daripada tindakan saman itu pada masa hadapan.

Ahli lembaga pengarah Percetakan Yayasan Islam Terengganu, Ustaz Mohd. Hamdam Muhamad berpendapat tindakan kerajaan negeri menyaman Petronas dan Kerajaan Persekutuan adalah wajar.

Ini kerana katanya, kerajaan pusat menafikan hak rakyat Terengganu memilih kerajaan negeri serta melanggar perjanjian yang dibuat pada 22 Mac 1975 dan 16 September 1987.

"Perjanjian tetap perjanjian yang mesti ditunaikan oleh semua pihak," ujarnya ketika ditemui Harakah, hari ini.

Katanya, kerajaan pusat perlu menghormati perjanjian tersebut yang dibuat antara pihak petronas dengan kerajaan negeri sejak 25 tahun lalu.

Pengerusi JSR Kampung Cacar, Dungun, Encik Mohd. Zubir Salem, 49, menyokong tindakan kerajaan negeri menyaman Petronas dan Kerajaan Persekutuan.

"Saya bagi pihak penduduk di Kampung Cacar bersetuju dengan tindakan saman ke mahkamah," ujarnya.

Katanya, dengan tindakan tersebut sekaligus menghapuskan tomohan terhadap kerajaan negeri pimpinan PAS yang sengaja mempolitikkan isu royalti.

Menurutnya, isu royalti hak rakyat Terengganu yang mesti dikembalikan dan bukan isu kepartian bagi kepentingan PAS.

Pengerusi JSR Kampung Losong Kuala Terengganu, Haji Wan Ismail Ngah, 60, turut berpendapat tindakan saman ke mahkamah sudah kena pada masanya.

Katanya, pihak Petronas dan Kerajaan Persekutuan telah menyalahi peraturan serta melanggar perjanjian bertulis yang pernah dinikmati sejak 25 tahun lalu.

"Semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu 'royalti' tetapi bertukar menjadi wang 'Ihsan' di bawah kerajaan PAS," ujarnya.

Menurutnya, program wang ihsan tidak menepati perjanjian sebagai royalti sebanyak 5 peratus yang ditandatangani antara pihak petronas dan kerajaan negeri.

Imam Masjid Kampung Gemuruh, Tepoh, Ustaz Abdul Manaf Hassan, berkata tindakan kerajaan negeri membawa isu royalti ke mahkamah merupakan jalan terakhir.

Katanya, setahun kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS bersabar serta mengharapkan dikembalikan hak royalti secara baik dan rundingan.

"Isu royalti telah dipolitikkan oleh pemimpin Umno dan kerajaan BN setelah parti itu ditolak oleh majoriti rakyat dalam pilihan raya umum 1999 lalu," ujarnya.

Menurutnya, rakyat menjadi mangsa penderaan politik sempit pemimpin BN yang mahu melihat kerajaan pimpinan PAS gagal memerintah.

Mudir Sekolah Rendah Islam Darul Taqwa, Ustaz Azmi Mohd. Yasin menyokong tindakan membawa isu royalti ke mahkamah untuk diselesaikan.

"Kita (rakyat) harap mahkamah berlaku adil mengikut kes dan fakta tuntutan royalti," ujarnya ketika ditemui, di pejabatnya.

Katanya, mahkamah yang sedia ada merupakan jalan terakhir bagi kerajaan negeri menyelesaikan isu tuntutan royalti.