Make your own free website on Tripod.com

ROYALTI  :  KAMI BERSAMA TOK GURU



    Guna Royalti Minyak Langgan Perempuan
     Ahmad Lotfi Othman
 

     MENTERI BESAR, Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan kerajaan pusat pimpinan Umno supaya
     cermin diri terlebih dahulu sebelum mempersoalkan bagaimana kerajaan PAS Terengganu membelanjakan
     wang royalti minyak, walaupun baru sembilan bulan memerintah.

     "Kami mempunyai bukti bertulis bil-bil tuntutan perbelanjaan di bawah anak-anak syarikat kerajaan negeri
     semasa Umno berkuasa dahulu, yang digunakan bukan untuk membela kepentingan rakyat, tetapi untuk
     melakukan maksiat," tegasnya dalam satu majlis ceramah di Kelantan baru-baru ini.

     "Kerja mereka cukup memalukan. Wang hasil royalti minyak itu digunakan untuk perempuan, minum arak
     dan melakukan maksiat. Kita ada bukti nyata tentang hal ini," katanya lagi, sambil mengingatkan bahawa
     ada 'bukti berlori-lori' tentang penyelewengan pemimpin terdahulu.Walaupun penyelewengan wang rakyat
     ini cukup memalukan, tapi, kata Haji Hadi, bukan dasar kerajaan PAS untuk mengaibkan mereka yang
     terbabit. "Kita bukan seperti pemimpin Umno yang sanggup memalukan sesama mereka, walaupun tanpa
     sandaran bukti, sepertimana berlaku kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim."

     Desas-desus bertiup kencang di sekitar Kuala Terengganu bilamana diberitakan ada pegawai tinggi anak
     syarikat kerajaan negeri mengakui mereka pernah diminta menjelaskan tuntutan bil pemimpin atasan
     kerajaan negeri di bawah BN "yang melanggan perempuan".

     Selain itu, banyak pihak mempersoalkan bagaimana anak syarikat kerajaan boleh rugi dengan begitu teruk,
     sedangkan lembaga pengarahnya senang-lenang. "Duit minyak digunakan untuk memperkayakan individu
     dalam Umno dengan menguasai syarikat tertentu sedangkan rakyat termiskin terus terabai," kata seorang
     pemerhati politik.

     "Bayangkan, syarikat yang menguruskan lombong emas di Lubuk Mandi pun boleh rugi," tambahnya.Haji
     Hadi turut mendedahkan, selain melakukan pembaziran yang berleluasa, ada pemimpin Umno Terengganu
     yang melantik kroni mereka untuk menjadi orang tengah mengutip untung secara mudah. Misalnya, premis
     anak syarikat di Kuala Lumpur yang sepatutnya boleh disewa RM6,000 sebulan tetapi terpaksa membayar
     RM 14,000 sebulan kepada pihak ketiga itu.

     "Hampir 20 tahun kerajaan Terengganu menerima royalti minyak, tetapi negeri ini tetap miskin dan rakyat
     tidak terbela, ke mana wang sebanyak itu dibelanjakan? Bagaimana kerajaan negeri boleh dibebankan
     dengan hutang RM700 juta?" tanya Haji Hadi, yang juga Timbalan Presiden PAS. Jelasnya, semasa menang
     mereka dapat menyelamatkan fail-fail tentang penyelewengan pemimpin terdahulu.

     "Kita berharap pihak BPR dapat menyiasat kes ini secara jujur, ikhlas dan telus. Pihak Hisbah Terengganu
     sedia bekerjasama dengan BPR untuk membuat penilaian siapa sebenarnya yang menyeleweng wang
     royalti minyak." Mengenai langkah kerajaan BN menyekat royalti, di samping mencemarkan semangat
     federalisme, ia umpama pemimpin Umno menggali lubang sendiri.

     "Kekuatan sesebuah kerajaan bukan dengan menyalahgunakan kuasa atau peraturan tetapi bergantung
     sejauhmana ia adil dan menunaikan perintah Allah," tambahnya. Dalam satu wawancara khas, bila ditanya
     apakah tekanan pusat itu boleh menggugat kerajaan PAS Terengganu, Haji Hadi berkata:

     "Kerajaan Kelantan boleh bertahan sehingga tiga kali pilihan raya walaupun menghadapi pelbagai tekanan,
     insyaAllah kami juga boleh bertahan." Beliau juga memberi jaminan, sekiranya timbul masalah kewangan
     ekoran tindakan kerajaan pusat melambat-lambatkan peruntukan yang sewajibnya diberikan kepada
     negeri, kepentingan umum tetap terbela.

     "Kita sedia memotong elaun Menteri Besar dan anggota Exco tetapi tidak akan memotong peruntukan
     untuk golongan miskin. Manakala elaun yang baru kita naikkan untuk para imam dan bilal tidak akan
     diturunkan," ujar Haji Hadi.