Royalti sekat bantuan untuk rakyat

 Ahli Parlimen Kemaman, Haji Abdul Rahman Yusuf menyifatkan tindakan kerajaan persekutuan memberhentikan pembayaran wajib royalti kepada Terengganu tidak wajar.
Katanya, pelbagai perancangan kerajaan negeri bagi kebaikan rakyat tergugat akibat tindakan kerajaan pusat menafikan hak royalti.
"Bila royalti disekat banyak perancangan kerajaan untuk rakyat terjejas," ujarnya ketika merasmikan majlis Pelancaran Tabung Surau Desa Permai, di Bukit Kuang, Chukai, baru-baru ini.
Menurutnya, kerajaan menghadapi masalah kewangan yang agak ketara serta menyebabkan perbelanjaan pembangunan negeri terjejas.
Namun begitu katanya, rakyat mula sedar masalah yang sedang dihadapi oleh kerajaan negeri akibat sekatan terhadap royalti.
Sebagai contoh katanya, penduduk di Taman Perumahan Desa Permai ini bertindak menubuhkan tabung sendiri bagi pembinaan sebuah surau tanpa bantuan kerajaan.
"Saya amat terharu dan berbangga dengan sikap penduduk yang boleh berdikari tanpa mengharapkan bantuan kerajaan negeri," ujarnya.
Katanya, akibat tindakan dendam politik pemimpin Umno yang kecewa dalam pilihan raya umum lalu rakyat Terengganu menghadapi masalah.
Menurutnya, penderaan terhadap rakyat tidak wajar berlaku terutama dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.
Turut serta di majlis tersebut, Adun Kijal, Haji Muhamad Sulong dan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHAIT) daerah Kemaman, Haji Awang Busu.

sumber harakahdaily