Make your own free website on Tripod.com
ROYALTI KE WANG EHSAN: TINDAKAN POLITIK TIDAK BERMARUAH

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini negara kita heboh dengan ancaman kerajaan untuk menarik balik royalti minyak yang diberikan kepada kerajaan Terengganu selama ini. Ramai yang terkejut, bahkan ramai yang marah. Kalau dilihat dari segi komposisi keuntungan politik, jelas bahawa kredibiliti kerajaan semakin jatuh, namun demi mencapai objektif politik balas dendam mereka, kerajaan sanggup mengenepikan perjanjian yang telah dipatuhi selama hampir 25 tahun.

Sekali imbas, tindakan kerajaan tidak mendapat respons baik dari rakyat. Seperti isu Sauk, beberapa hari lepas, Rais Yatim terpaksa menjadi budak suruhan untuk memberi penerangan kepada rakyat. Dan seperti diketahui, hujah-hujah yang dikemukakan langsung tidak mempunyai logika dan asas ekonomi serta perundangan yang kukuh dan meyakinkan. Yang cuba diberitahu hanyalah alasan popular bahawa tindakan tersebut bukanlah sesuatu yang bermotifkan politik.

Sebenarnya tidak sukar untuk mengagak mengapa rakyat Terengganu dihukum sebegitu rupa. Sebab yang paling besar ialah kerana mereka menjadi pengundi yang bijak mengundi. Akibatnya, mereka dituduh tidak bersyukur kerana memilih sebuah kerajaan yang bertunjangkan kepimpinan ulama'. Mereka dituduh tidak bersyukur kerana memilih kerajaan yang menyatakan syukur itu hanya untuk Allah, UMNO bukan pemberi rezeki. Sebagai balasan, hak 5 peratus royalti minyak itu dinafikan. Secara mudahnya, bolehlah dianggap tindakan itu sebagai membuktikan bahawa wang royalti berjuta-juta untuk negeri Terengganu itu sebenarnya datang dari kerajaan pusat. Kalau tidak memilih UMNO, mereka akan hidup sengsara. Akibatnya, kini menjadi suatu tanda tanya, adakah dalam sebuah negara demokrasi, hak rakyat yang memilih pembangkang sebagai kerajaan boleh dinafikan sewenang-wenangnya. Sikap ini menunjukkan betapa biadap kerajaan untuk tidak menghormati perjanjian yang telah dimeterai sekian lama hanya kerana perbezaan fahaman politik. Jadi kita mahu bertanya kembali kepada UMNO, mana yang lebih penting kini, fahaman politik atau kebajikan rakyat?

Apapun, polemik in tampak akan terus berpanjangan apatah lagi dengan kenyataan terbaru Perdana Menteri bahawa pihak kerajaan sanggup untuk membawa perkara ini hingga ke mahkamah antarabangsa - satu kenyataan yang bukan sahaja angkuh tetapi menunjukkan betapa bersungguh-sungguhnya kerajaan untuk menghalalkan tindakan tidak bermaruah mereka. Namun berdasarkan rekod Perdana Menteri yang sanggup mencabul apa sahaja institusi kerajaan, maka tidak pelik untuk mendengar keputusannya yang hanya berdasarkan pemikiran amarahnya itu. Apatah lagi setiap kata yang terkeluar dari mulutnya merupakan arahan yang maha tinggi.

Apapun bagi saya, persoalan yang paling penting ialah bagaimana rakyat melihat isu ini secara lebih kritis. Amat penting bagi pihak pembangkang terutamanya kerajaan Terengganu untuk selain mempertahankan hak rakyat Terengganu, mereka juga perlu memberi penerangan kepada rakyat untuk memahami sepak terajang politik balas dendam BN. Biar rakyat tahu betapa jijiknya sifat kerajaan dan biar mereka faham betapa bobroknya hujah kerajaan. Nasihatkan mereka - jangan rasa kecewa membuat perubahan walaupun diuji sedemikian rupa.

Propaganda UMNO akan terus datang dan pergi. Kerajaan PAS Terengganu di bawah pimpinan Ustaz Hadi perlu sentiasa bersedia menerima ancaman demi ancaman. Isu royalti mungkin hanya permulaan kepada agenda yang lebih pelbagai. Namun yang pasti, akan tiba suatu masa nanti apabila rakyat semakin bosan dengan gelagat dan sikap para pemimpin UMNO yang mempertaruhkan maruah, material, hak dan survival kehidupan rakyat, mereka akan hilang sabar dan pada waktu itu, UMNO sudah semakin hampir untuk dikuburkan.

Student Life