KELAINAN DIRUMAH SEORANG MB 
    Penulis Tamu  

       Mencari Kelainan di Rumah MB Terengganu 

       Oleh DINSMAN 

       Jumaat 3 Disember 1999, itulah pertama kali saya menjejakkan kaki di salah satu laman atau dataran atau
       kampus yang paling ramai dan kerap dikunjungi orang di Malaysia, sejak beberapa tahun lalu.  

       Sudah lama saya mendengar cerita bahawa setiap pagi Jumaat ribuan orang berkumpul di laman Masjid Rusila
       di Terengganu itu. Mereka berkumpul kerana hendak mendengar ceramah Tuan Guru Haji Abdul Hadi
       Awang. Ada yang datang dari luar Terengganu, dari Kedah atau dari Kuala Lumpur, semata-mata untuk
       mendengar kuliah Tuan Guru tokoh PAS yang terkenal itu.  

       Setiap Jumaat, pukul 9.00 pagi, Abdul Hadi Awang menyampaikan kuliah agamanya. Tetap. Sejak beberapa
       tahun lalu. Begitulah. Tetapi saya belum pernah ke sana hinggalah pagi Jumaat pertama selepas Abdul Hadi
       Awang mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, berjanji akan menjalankan pemerintahan yang adil
       sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru. 

       Pagi itu saya tiba lewat. Terpaksa meletakkan kereta kira-kira 800 meter dari masjid tersebut, dan berjalan
       kaki. Suara Hadi Awang sedang menyampaikan kuliahnya dapat didengar dari jarak yang jauh, cuma agak
       kurang jelas.  

       Kawan saya Abdul Latif dari Kuala Terengganu yang biasa ke situ, mengajak saya terus ke rumah Hadi.
       Memang saya beritahu dia saya hendak tengok rumah Hadi Awang, menteri besar yang kedua daripada parti
       PAS sejak 1990, iaitu selepas Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di Kelantan.  

       Kalau Nik Aziz terus tinggal di rumah dia sendiri walaupun setelah menjadi menteri besar, besar
       kemungkinannya Hadi Awang juga akan buat demikian. Itulah yang menyebabkan saya ingin tengok
       rumahnya. 

       Orang memang ramai. Beribu-ribu. Tetapi mereka tidaklah duduk berasak-asak hingga sukar kita hendak
       berjalan. Mereka duduk merata-rata, dan duduk secara selesa, khusyuk mendengar kuliah. Saya dan
       kawan-kawan pun tidak sukar berjalan terus hingga ke hadapan tangga rumah Hadi, Menteri Besar di negeri
       yang terkenal dengan kekayaan hasil minyak dan gas itu.  

       Sebelum pilihan raya 29 November 1999 Abdul Hadi Awang sudah dua penggal menjadi Ahli Parlimen
       Malaysia. Tetapi rumahnya tak ada beza apa-apa dengan rumah kebanyakan orang kampung yang sederhana.
       Bukan macam kebiasaan rumah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN). Rumah kayu biasa, yang sudah lama
       dibina. Tak ada apa-apa keistimewaan. Tangga pun tangga kayu.  

       Ada beberapa orang sedang duduk di beranda rumah itu. Duduk mendengar kuliah, kerana di bahagian atas
       beranda itu ada dipasang sebuah pembesar suara. Jadi memang jelas mendengar kuliah dari situ. Saya pun
       turut naik ke beranda rumah Menteri Besar itu untuk meletakkan kaset rakaman, apabila diumumkan bahawa
       Menteri Besar akan menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Menteri Besar, sebaik-baik sahaja selesai
       kuliah agama mingguannya. 

       Selepas meletakkan kaset perakam di tepi pembesar suara, saya pun duduk di atas tangga. Sebelum itu tadi
       saya melihat memang ada orang duduk di atas tangga itu, sambil mendengar kuliah. Saya sengaja duduk di
       situ, untuk merasakan satu pengalaman unik: "duduk di atas tangga rumah seorang Menteri Besar sambil
       mendengar ucapan sulungnya yang disampaikan di masjid yang terletak bersebelahan rumah itu." 

       Apakah ini bukan satu pengalaman yang unik? Bagi saya ia sungguh unik. Anda tidak mungkin menemui
       pengalaman yang sebegini dengan menteri-menteri atau menteri besar yang lain. Anda seperti sedang duduk di
       atas tangga sebuah rumah rakyat biasa di kampung, sambil mendengar orang berceramah. Padahal hakikatnya
       anda sedang duduk di atas tangga rumah seorang Menteri Besar bagi sebuah negeri yang terkenal dengan
       kekayaan hasil minyaknya.  

       Walaupun waktu itu Hadi Awang belum lagi mengumumkan dia akan terus tinggal di rumahnya atau berpindah
       ke rumah rasmi menteri besar, saya seperti yakin dia akan terus tinggal di rumahnya itu.  

       Dan saya cuba membayangkan bagaimanakah gaya hidup seorang menteri besar yang kerjanya mentadbir
       sebuah kerajaan negeri, dan dia tinggal di rumah kayu standard rakyat kampung biasa sahaja, yang barangkali
       juga nanti tidak ada pengawal pun yang akan mengawasi orang keluar masuk ke kawasan rumahnya.  

       Saya berfikir-fikir, kalau Hadi memang mengikut jejak Nik Aziz, terus tinggal di rumahnya ini, dan rumah ini
       pun terus kekal dalam keadaan begini sahaja, tidak diubahsuai, wah … hebat! Bukan hebat rumahnya, tetapi
       hebat orangnya. Ia pasti akan membawa satu pembaharuan kepada imej menteri di Malaysia,
       memperkukuhkan lagi imej yang telah mula dibina oleh Nik Aziz. 

       Ia akan mengubah tanggapan rakyat Malaysia terhadap menteri dan menteri besar. Bahawa menjadi menteri
       itu tidak semestinya duduk di rumah batu yang besar dan mewah, yang dipagari dengan tembok yang tebal
       bagi memisahkan mereka dengan rakyat, dan menimbulkan kesusahan kepada rakyat untuk memasuki rumah
       mereka.  

       Kenapa mesti demikian? Nik Aziz telah membuktikan bahawa walaupun tinggal di rumah rakyat biasa, dia
       tetap dapat menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar, dan rakyat Kelantan berpuas hati dengan
       pemerintahannya. Setelah tamat dua penggal sejak 1990, dalam pilihan raya umum 29 November lalu rakyat
       Kelantan sekali lagi memilihnya menjadi Menteri Besar. Dan kali ini dengan kelebihan majoriti yang lebih
       besar. 

       Rumah Hadi Awang terletak bersebelahan dengan bangunan masjid, yang sekali gus juga merupakan
       sekolahnya. Tingkat bawahnya sebagai masjid, iaitu tempat sembahyang dan tempat ceramah, manakala tiga
       tingkat di atas adalah sekolah dan asrama. 

       Ada beberapa persamaan dengan rumah Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan. Rumah Nik Aziz juga
       bersebelahan dengan masjid, lebih tepatnya di belakang masjid; dan bersebelahan juga dengan bangunan
       sekolahnya. Hanya bezanya Masjid Hadi Awang dengan sekolahnya dalam satu bangunan, sedangkan masjid
       Nik Aziz bangunan yang berasingan daripada bangunan sekolah.  

       Ada pagar kayu yang sudah uzur memagari rumah Hadi. Tetapi pintu pagar itu yang terbuka di bahagian depan       dan bahagian tepi yang menuju ke masjid, menyebabkan kita tidak terasa pun pagarnya. 

       Malam itu, selepas maghrib, Hadi Awang mengadakan sidang media di rumahnya. Anjung rumah itu memang
       sangat sempit untuk sidang media seorang Menteri Besar, yang turut dihadiri juga oleh wartawan asing. Terasa
       seolah-olah akan runtuh lantai papan anjung dan beranda rumah itu, menampung kira-kira 25 orang yang
       hadir.  

       Menjawab soalan seorang wartawan dalam sidang media itu, Hadi Awang mengesahkan dia tidak akan
       berpindah ke rumah rasmi Menteri Besar di Kuala Terengganu, sebaliknya akan terus menetap di rumahnya
       sendiri di Rusila, tempat sidang media itu diadakan. 

       Kira-kira sebulan selepas itu, pada 30 Disember saya sekali lagi singgah di rumah Menteri Besar Terengganu
       ini. Saya memang teringin hendak melihat suasana pagi di rumah Menteri Besar yang tiada bezanya dengan
       rumah-rumah orang kampung di sekitarnya itu.  

       Saya membayangkan di rumah-rumah orang kampung biasa kita boleh singgah untuk bertanya apa-apa begitu
       sahaja. Ertinya, siapa-siapa sahaja bebas untuk pergi atau singgah di rumah itu. Tak ada orang akan mengawal
       atau menyekat kita terlebih dahulu sebelum kita sampai ke tangga rumah.  

       Apakah rumah Menteri Besar PAS ini juga demikian terbuka lepas seperti rumah-rumah rakyat kampung
       biasa?  

       Kami tiba di Rusila agak awal pagi Khamis bulan Ramadan itu, belum pukul 8.00. Harap-harap Menteri Besar
       belum lagi berlepas ke pejabat. Maka sampai sahaja di hadapan Masjid Rusila kami terus membelokkan
       kereta memasuki lorong ke rumah Hadi. Kelihatan beberapa orang sedang berdiri di depan rumah Menteri
       Besar itu. Kereta Mercedes biru pekat, kereta rasmi Menteri Besar, pun sedang menunggu di depan tangga
       rumah.  

       Betul, setelah sebulan menjadi Menteri Besar, rumah Hadi Awang masih seperti dulu. Hanya pagar kayu yang
       sangat uzur itu sahaja yang sudah diganti. Yang lainnya masih kekal seperti dulu. Dan ketibaan kami pun tidak
       disekat oleh sesiapa. Memang rumah itu tidak ada pengawal keselamatan. Sama seperti rumah Nik Aziz
       Menteri Besar Kelantan itu juga.  

       Mereka yang sedang berdiri di laman depan rumah itu, selain pemandu dan dua orang pegawai khas Menteri
       Besar, ialah dua tiga orang jiran sekampung yang saja-saja duduk berbual di situ, sambil meraikan Menteri
       Besar yang akan pergi ke pejabat. Hal seperti itu adalah satu kebiasaan bagi orang-orang kampung.
       Menunjukkan kemesraan dan kebebasan hubungan mereka sebagai jiran. Ternyata Hadi tidak mengubah gaya
       dan cara hidupnya, walaupun telah menjadi Menteri Besar.  

       Sambil menunggu Hadi turun dari rumahnya, fikiran saya terlayang juga kepada kisah menteri-menteri dari
       Barisan Nasional, khasnya yang berkaitan dengan rumah kediaman. Teringat kepada heboh-heboh Menteri
       Besar Selangor apabila Datuk Abu Hassan Omar menggantikan Tan Sri Muhamad Muhd Taib. Kerajaan
       Negeri Selangor meluluskan perbelanjaan mengubahsuai kediaman Menteri Besarnya sebanyak RM5 juta. 

       RM5 juta untuk ubahsuai rumah sahaja. Dan sementara menanti rumah tersebut siap diubahsuai, Abu Hassan
       tinggal di hotel, yang belanjanya tentulah tidak kecil. Memang duit kerajaan. Tetapi duit kerajaan itu duit siapa
       kalau bukan duit rakyat? Bagi menteri-menteri Barisan Nasional hal seperti itu adalah perkara biasa. Itu
       sebahagian daripada budaya hidup membazir yang telah mereka jadikan seolah-olah satu kemestian apabila
       menjadi menteri. 

       Demikian juga dengan mahligai terbaru Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya. Lebih daripada
       RM200 juta duit rakyat dibelanjakan, bagi menyiapkan ‘istana’ mewah kebanggaannya itu. Dan Mahathir
       cuba meyakinkan (memperdaya) rakyat bahawa budaya hidup menteri dengan rumah mewah mereka itu
       adalah satu keperluan, dan bukannya membazir. 

       Bersyukurlah kita kini tampil pula seorang lagi menteri (selepas Nik Aziz) yang membuktikan bahawa menjadi
       menteri tidak semestinya mengamalkan budaya hidup membazir. 

       Tiba-tiba pintu depan rumah Hadi terbuka. Seorang perempuan bertudung litup keluar meletakkan sepasang
       kasut di beranda, dan menghilang semula ke dalam. Sebentar kemudian Hadi Awang Menteri Besar
       Terengganu pun keluar, dalam pakaian biasanya, jubah dan serban. Tiada kot dan tiada tali leher. Dia
       memakai kasut yang disediakan oleh isterinya tadi, lalu berjalan turun. 

       Selepas bersalaman dengan kami dia pun memasuki kereta, bersama pegawai-pegawai yang sedia
       menunggunya tadi. Kemudian kereta pun bergerak membawanya ke Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
       Saya dan kawan-kawan meneruskan perbualan dengan jiran-jiran tadi, yang saja-saja datang melihat Menteri
       Besar mereka pergi kerja. 
       
          Rencana ini pernah disiarkan didalam sebuah majalah terbaru terbitan Pemuda.

TERENGGANU DARUL IMAN®