ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU
 

Cerita dari saksi demo di Kota Bharu

Saya adalah salah seorang yang turut sama menyertai perhimpunan membantah program maksiat anjuran PTN Kelantan dua hari lepas. Ia bukannya membantah majlis makan malam perayaan jubli emas PTN sebagaimana laporan akhbar. Itu kesilapan pertama wartawan yang kurang mahir.

Saya sememangnya aktivis pemuda Pas, tetapi saya tidak pernah menerima maklumat rasmi dari parti, khususnya pemuda mengenai perhimpunan ini, apatah merancangnya bersama. Saya hanya mendengar desas desus yang kurang jelas mengenainya dua tiga hari sebelumnya, mungkin sama seperti yang diperolehi pihak keselamatan yang nyata mengadakan kawalan luar biasa semenjak petang hari lagi.

Saya mengambil keputusan menjenguk ke sana, kerana memang sudah heboh di kalangan rakyat Kelantan mengenai sikap melampau batas PTN yang sering mengadakan programnya yang mengandungi agenda maksiat terbuka tanpa meminta kebenaran pihak MPKB.

Nyata, perhimpunan malam itu, yang awalnya seperti tak akan menjadi dek kawalan ketat yang mungkin menakutkan anak - anak muda daripada mendekati perkarangan hotel Diamond Puteri, berlaku tanpa perancangan rapi yang memudahkan pihak keselamatan meleraikannya di peringkat yang pertama. Saya tidak melihat kelibat pimpinan pemuda Pas, apatah pemimpin Pas negeri semasa peristiwa berlaku.

Bahkan, para pembantah kelihatan terpinga - pinga sesama sendiri selepas itu apabila arahan - arahan tanpa arah kedengaran di sana sini yang menambahkan keyakinan saya bahawa peristiwa bantahan tersebut betul - betul berlaku hasil kesedaran rakyat sendiri, khususnya golongan remaja yang mendominanasi perhimpunan tersebut. Kenyataan akhbar yang mendakwa ianya anjuran parti Pas yang memerintah adalah tersasar dan tanpa bukti yang kukuh.

Bagi saya, penangkapan dua daripada tiga yang ditangkap yang menjawat jawatan dalam Pas adalah tidak kukuh sebagai bukti kerana nyata ianya datang dari aras jawatan dan kawasan yang berbeza, sementelahan orang yang pertama ditangkap selepas dibelasah tanpa ehsan oleh pihak keselamatan adalah seorang anak muda, seorang pensyarah dan juga imam di sebuah masjid.

Ia lebih menggambarkan kemarahan rakyat daripada semua peringkat yang menyelar sikap kurang ajar PTN yang jelas menggunakan kekebalan istana untuk melindungi majlis makan malam bersama penyanyi Nora dan penaja utama, ' Syaitan Iblis' yang kelihatan agak kecut sepanjang majlis berlangsung dek laungan takbir yang menerawang gagah di tengah kota. Perhimpunan yang kelihatan mudah disuraikan itu, tiba - tiba menjadi lebih berkesan walaupun tanpa kain rentang dan pembesar suara yang telah dirampas lebih awal.

Suara - suara yang mengutuk tindakan polis membelasah teruk seorang anak muda nyata telah menyatukan semula kumpulan yang berpecah - pecah dengan laungan takbir yang menakjubkan yang menggambarkan kesungguhan mereka agar kerajaan Islam Kelantan lebih bertegas terhadap kejadian yang mencemar imej Kelantan oleh pihak pentadbir sendiri.

Seorang anak muda berserban bangun mengambil tumpuan memberikan ucapan yang jelas mencela program dan sikap PTN yang jelas memperlekehkan usaha dan keinginan rakyat Kelantan untuk melihat bandar Kota Bharu bersih dari maksiat. Ucap beliau, " Kalau nak buat maksiat, pergi KL, bukan di Kota Bharu."

Di tengah gema takbir berkumandang gagah, bangun seorang lagi anak muda tanpa kopiah membakar iman dengan peringatan keras atas perbuatan bangsat PTN yang menggunakan institusi istana. Ucapan beliau, " Ingat, Raja adalah payung rakyat, bukan payung maksiat. Betul atau tidak ?! ", telah disambut dengan begitu gagah oleh para hadirin.

Selepas itu, pemuda yang pertama mengangkat tangan berdoa ke Hadhrat Allah dengan diaminkan oleh pemuda kedua bersama seluruh para hadirin dengan penuh semangat kekhusyukan.

Di saat itulah, saat doa kudus menerawang menembus angkasa mengetuk pintu langit diiringi malaikat Allah, kedengaran siren kereta polis di sebalik bangunan - bangunan di bandar Kota Bharu mengiringi sultan tiba di majlis yang dilaknat Allah.... Serentak itu, anak - anak muda Palestin mula bertakbir sambil mengutip peluru - peluru batu di bumi al Quds, apabila mendengar siren tentera Israel datang menggempur Iman di bumi Allah.... Saya sungguh sayu. Majlis mencegah mungkar bersurai begitu lambat sekali. Anak - anak muda terus enggan kecuali majlis itu dilabuhkan jua.

Tapi apakan daya, Allah menyeru mereka membantah secara aman. Mereka bukan ektremis. Merekalah masa depan Islam di bumi Malaysia tercinta ini.

Abu Syah.