Make your own free website on Tripod.com
 




 

Isu pelanggaran perjanjian royalti minyak
Terengganu saman Petronas, kerajaan Pusat
Oleh Syed Putra Syed Ahmad

KUALA LUMPUR, 8 Mac  - Kerajaan negeri Terengganu hari ini menfailkan saman terhadap Petronas dan kerajaan Pusat berhubung isu pembatalan royalti minyak kepada negeri itu di Mahkamah Tinggi, di sini.

Writ saman itu difailkan oleh Tetuan Tommy Thomas bagi pihak kerajaan negeri Terengganu di Bahagian Dagang, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira jam 10.00 pagi tadi.

Langkah kerajaan negeri Terengganu itu merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh banyak pihak sejak isu pembatalan royalti minyak meletus tahun lepas apabila kerajaan Pusat mengarahkan Petronas memberhentikan pembayaran royalti kepada kerajaan negeri dan menggantikannya dengan 'wang ihsan' yang disalurkan melalui Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) yang diwujudkan oleh kerajaan pusat untuk tujuan itu.

Tindakan kerajaan pusat itu bukan sahaja mendapat tentangan kerajaan dan rakyat negeri Terengganu tetapi juga orang ramai, golongan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan yang melihatnya sebagai tindakan balas dendam politik kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri tersebut apabila PAS berjaya mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri pada pilihan raya umum Nov 1999.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Haji Mustafa Ali, yang bercakap pada sidang akhbar yang dihadiri oleh ramai wakil media dalam dan luar negara di sebuah hotel di sini berkata, tindakan berkenaan terpaksa diambil kerana sehingga kini tiada tanda-tanda jelas bahawa hak ke atas royalti itu akan dikembalikan kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata tindakan undang-undang terhadap Petronas itu dibuat kerana ia telah:

   -melanggar perjanjian,

   -melakukan diskriminasi terhadap kerajaan Terengganu,

   -menafikan hak atau pemunyaan ke atas harta benda tanpa pampasan yang wajar serta bercanggah dengan perlembagaan Persekutuan,

   -melanggar prinsip kesaksamaan dan keadilan (equitable estoppel) yang tidak membolehkan bayaran royalti yang telah   berjalan selama lebih dua puluh tahun kepada Terengganu dihentikan, dan

     -kerana mematuhi arahan kerajaan Pusat yang tidak sah

Beliau seterusnya berkata tindakan yang sama diambil terhadap kerajaan Pusat dibuat kerana ia telah:

-memberi arahan yang tidak sah kepada Petronas dan menyebabkan ia melanggar perjanjian

-mengambil pertimbangan yang tidak relevan dan mengetepikan yang relevan dalam memberi arahan kepada Petronas

-memberi arahan yang tidak wajar, tidak jelas dan tidak rasional

-berniat jahat dengan meminta Petronas memecahkan perjanjian

-melakukan diskriminasi terhadap kerajaan negeri Terengganu

-mengambil tindakan yang menindas secara melulu, tidak mengikut Perlembagaan, jelek, menghina serta tidak menghiraukan   -undang-undang dan Perlembagaan.
 

Haji Mustafa berkata, setelah menunggu selama enam bulan (Sept 2000-Mac 2001) dan setelah surat kerajaan negeri kepada Petronas serta kerajaan Pusat meminta penjelasan tentang kenapa pembayaran royalti itu dibatalkan tidak dijawab, maka pihaknya terpaksa mengambil tindakan undang-undang bagi mengatasi masalah yang dihadapi.

Menurut Hj Mustafa, kerajaan negeri akan diwakili oleh peguam Tommy Thomas dan Raja Aziz Addruse dalam kes ini.

Berdasarkan perjanjian (Perjanjian1, 2 dan 3) antara Petronas dengan kerajaan Negeri Terengganu yang dibuat pada 22 Mac 1975 dan 16 Sept 1987, Petronas hendaklah membayar sejumlah lima peratus daripada hasil petroleum yang diperolehi di negeri tersebut kepada kerajaan negeri berkenaan.

Terengganu mula menerima pembayaran royalti pada Mac 1978 sebanyak RM13,200,000.00 dan sehingga Mac 2000 ia telah menerima royalti berjumlah RM7,129,413,373.00.

Bagi tahun 2000 negeri itu sepatutnya menerima lebih RM800 juta, tetapi pembayaran tersebut telah dihentikan oleh Petronas atas arahan kerajaan pusat.

Turut hadir mewakili kerajaan negeri dalam sidang akhbar itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Hisbah Negeri Terengganu, Tun Salleh Abbas; Setiausaha Kerajaan, Dato' Senara Muda Mazlan Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar, Hj Wan Mutalib Embong.