RIBUAN RAKYAT TERENGGANU BERSESAK DI STADIUM NEGERI
`
Assalamualaikum dan Salam persaudaraan Islam.

Malam tadi, Khamis 23 Dis 99, jam 10.00 malam, puluhan ribu rakyat Terengganu bersesak-sesak di Stadium Negeri untuk
buat pertama kalinya mendengar taklimat dari YAB Menteri Besar, Tuan Hj. Guru Abdul Hadi Awang.

Saya sampai lebih kurang jam 8.45 malam, tapi agak terperanjat kerana begitu banyak kereta memenuhi tepi jalan walaupun
sebahagian besar rakyat masih sibuk dengan solat terawikh di mesjid-mesjid. Kalau tidak kerana musim tengkujuh dan bulan
Ramadhan, yang mana ramai yang agak keberatan untuk pergi kerana tidak mahu melepaskan peluang bertarawikh, saya
percaya lebih ramai yang bersesak-sesak ke majlis tersebut.

Masuk sahaja ke dalam stadium tertutup tersebut, perasaan sayu berbaur semacam tidak percaya mula mengganggu fikiran.
Apa tidaknya, baru sebulan lalu kami penyokong dan pejuang PAS di negeri ini saban waktu terpaksa berlantaikan rumput dan
beratapkan langit untuk mendengar
ceramah, malah kekadang terpaksa berhujan, basah kuyup demi menagih sedikit perkhabaran dari tokoh-tokoh PAS,  tapi
malam tadi di dalam dewan tersebut, kerusi-kerusi tersusun rapi, siap dengan pentas khas untuk dif-dif kehormat, dilengkapi
pula dengan sistem PA yang canggih. (Malangnya kualiti PA agak tidak memuaskan kerana pantulan bunyi menyebabkan suara
Tuan Guru tidak jelas). Laluan Tuan Guru MB pula siap dengan hamparan permaidani merah kerana majlis tersebut adalah
majlis resmi kerajaan negeri bertemu rakyat, anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama
Terengganu (JHEAT).

Lebih kurang jam 9.30 malam, orang ramai mula berpusu-pusu masuk ke dalam dewan memenuhi setiap biji kerusi-kerusi yang
ada disekeling dewan dan kerusi tambahan  yang diletakkan di tengah-tengah dewan. Mana yang tiada kerusi, terpaksa duduk
di atas lantai di mana-mana sahaja yang kosong. Semua pintu-pintu masuk di setiap penjuru jelas kelihatan rakyat
bersesak-sesak sambil berdiri kerana tiada lagi ruang kosong di bahagian dalam. Begitulah senario yang dapat saya gambarkan
tentang sambutan hangat yang ditunjukkan oleh segenap lapisan rakyat negeri Darul Iman
ini. Tiada lagi rasa takut, segan atau malu-malu lagi untuk menunjukkan sokongan terbuka mereka terhadap perjuangan PAS.

Apabila Tuan Guru masuk ke dalam dewan, laungan takbir bergema menyambut ketibaan beliau. Majlis dimulakan dengan
ucapan aluan oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu yang baru dilantik. Selepas itu Tuan Guru memulakan ucapan
dan amanat beliau dengan mengingatkan kita dengan ucapan-ucapan pertama Khalifah Abu Bakar dan Omar sebaik sahaja
mereka dilantik menjadi khalifah. Selepas itu beliau juga meminta kerjasama dan kepatuhan dari semua pihak terhadap
kerajaan yang baru dipilih oleh rakyat bagi menjalankan kewajiban untuk melaksanakan pemerintahan Islam sebagaimana yang
diperjuangkan oleh PAS. Banyak lagi amanat dan nasihat
yang diucapkan..........tapi saya tak ingat.

Majlis berakhir lebih kurang jam 11.00 malam. Dalam perjalanan keluar Tuan Guru dan semua EXC-EXCO yang baru dilantik
telah dikerumuni oleh orang ramai untuk bersalam-salaman sehingga laluan jalan keluar bersesak-sesak macam ikan sardin.
Allahuakbar........Maha Besar Allah yang mengurniakan kemenangan dan kebahagian ini kepada kami rakyat Terengganu.
Alangkah damai dan tenangnya hidup ini berada di bawah naungan pemerintah yang hanya takutkan Allah......bekerja hanya
kerana Allah dan rakyat jelata. Kalau disuruh pilih diantara kebendaan dan duniawi......kami tetap memilih kebahagian ini.

Abu Ihsan
Terengganu Darul Iman............Datanglah ke Terengganu menyaksikan
kedamaian dan ketenangan hidup kami.