TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN"
tinta_hijau@hotmail.com

BA BOIKOT LAKUNAN SAUK

KUALA LUMPUR 16 Ogos 2000 (Hrkh) - Barisan Alternatif (BA) memboikot lakunan semula pemunggahan senjata dalam peristiwa rampasan senjata di Grik yang dibuat di perkarangan Kementerian Pertahanan hari ini.

Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor dalam sidang akhbarnya di Pejabat PAS Jalan Pahang sekejap tadi berkata, setelah berbincang dengan beberapa orang peguam, didapati lakunan ini akan mengganggu proses mahkamah yang akan membicarakan 29 orang yang ada kaitan dengan peristiwa tersebut.

Lagipun, apa yang hendak ditunjukkan hanyalah bagaimana lebih dari 100 pucuk M-16 dan lain-lain senjata dengan peluru dapat dimuatkan ke dalam tiga buah Pajero Tentera yang berisi 15 orang, kata Dato' Fadzil. Sebelum ini, para pemimpin BA telah menerima surat jemputan untuk menyaksikan lakunan semula tersebut.

Mereka juga telah memutuskan untuk pergi ke majlis tersebut. Tetapi, setelah didapati hanya lakunan itu sahaja yang hendak ditunjukkan dan tidak ada sebarang dialog selepas itu serta langkah tersebut boleh `subjudise' kepada proses perbicaraan yang akan berjalan, mereka memutuskan untuk memboikotnya.

Sebelum ini, 29 orang anggota Al-Ma'unah telah didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di atas tuduhan `cuba berperang dengan yang Dipertuan Agung'.

Abdul Ghani Patail bertindak sebagai pendakwa, Musa Hassan bertindak sebagai Pegawai Penyiasat manakala hakimnya adalah Augustine Paul.

Pihak tertuduh pula akan diwakili oleh beberapa peguam termasuklah Karpal Singh dan Zamani Ibarahim.