Sumber : Kearah Perlaksaan Undang-Undang Islam Di Malaysia Masalah Dan Penyelesaiannya.
Pengarang : Abu Bakar Abdullah

Penerbitan : Pustaka Damai ( 1986 )
 

PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI TRENGGANU
 

Terengganu merupakan negeri yang terbukti paling awal  mempunyai undang-undang Islam bertulis dan melaksanakannya, sebagaimana yang terdapat pada Batu Bersurat Terengganu.

Mengikut H.S. Paterson, undang-undang pada Batu Bersurat  mengandungi sembilan  atau sepuluh hukum. Anratanya mengenai kesalahan jenayah dan Sivil. Hukuman bagi kesalahan jenayah zina diperuntukkan dalam fasal yang keenam.

“ Orang yang berbuat bala cara laki-laki dan perempuan se(titah) Dewata Mulia Raya, jika merdeka bujang palu seratus rotan, jika merdeka beristeri atau perempuan bersuami ditanam hingga dihembalang dengan batu dimatikan”

Fasal diatas bermaksud, hukum bagi kesalahan orang yang berkahwin ( ghhayr al-Muhsan ) yang melakukan zina, maka di dera sewratus rotan. Dan bagi mereka yang pernah berkahwin ( ( Muhsan ) di hukum rejam dengan batu hingga mati.

Perlaksanaan undang-undang Islam jelas terbukti di Terengganu semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III ( 1881 - 1918 ) yang mana undang-undang Islam dijadikan undang-undang negeri. Baginda telah membuat beberapa pembaharuan di dalam pentadbiran undang-undang dan menyusun kedudukan mahkamah, menggubal undang-undang Mahkamah dan Perlembagaan Negeri Terengganu.

Sebagai seorang sultan yang alim, baginda telah berjaya memerintah kerajaan negeri Terenganu sebagai sebuah kerajaan Islam yang merdeka. Maxwell pernah mengakui kenyataan ini :

 “ a self governing Malay Muhammadan State “

Di zaman pemerintahan baginda ulama-ulama Islam telah memainkan peranan yang penting di dalam mencorakkan pemerintahan Negeri Terengganu berdasarkan undang-undang Islam. Kedudukan alim ulama sangat dihormati olih segenap lapisan masyarakat yang kuat berugama kalau dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain pada ketika itu. Hugh Clifford pernah mengakui hakikat ini. Beliau menggambarkan keadaan dan suasana masyarakat Islam di Terengganu dengan menyatakan ketika itu Terengganu dipenuhi dengan alim ulama dan segala teriak tangis tenggelam dalam bunyi orang bersembahyang dan zikir.

Kenyataan ini sudah cukup untuk menggambarkan keadaan masyarakat di Terengganu ketika itu kuat beragama hasil dari peranan yang dimainkan oleh para alim ulama. Lantaran itu tidaklah mustahil dikatakan bahawa perlaksanaan undang-undang Islam tidaklah sukar dan sulit di Terengganu.

Disamping itu di dalam mengendalikan pemerintahan, Sultan Zainal Abidin III telah melantik Sayid Abd. Rahman ( Tok Ku Sayyid Paloh ) sebagai penasihat khas baginda, di samping dikawal oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Kebanyakan ahli mesyuarat kerajaan negeri terdiri daripada ulama-ulama yang bertanggungjawab memberi nasihat kepada Sultan dalam pemerintahan dan membuat serta meluluskan undang-undang.

Walaupun tidak ada teks undang-undang Islam bertulis yang khas selain daripada undang-undang Mahkamah dan Perlembagaan Terengganu 1911, tetapi adalah dipercayai bahawa kitab-kitab fikah dan Perundangan Islam seperti Kitab Minhaj al-Talibin, Mughni al-Muhtaj, al-Nihayah dan al-Umm, kesemuanya dalam mazhab Shafei dijadikan teks undang-undang disamping fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti. Dengan adanya sistem yang demikian itu sudah pastilah Sultan tidak boleh membuat dan meluluskan undang-undang atau menjatuhkan sebarang hukuman yang bertentangan dengan Islam, kerana segala tindak tanduknya di atas nasihat para ulama.

Bagi melicinkan perjalanan dan perlaksanaan undang-undang Islam, baginda telah mengadakan Jabatan Mahkamah dan melantik Tengku Musa menjadi ketua dan dibantu oleh Tuan Hitam dan Encik Abdul Rahim Endut serta baginda juga mengadakan sistem isytihar. Sistem ini dikuatkuasakan oleh Budak Raja. Budak Raja ditugaskan untuk menyiasat kepastian benar-benar titah Sultan dipatuhi oleh rakyat. Mereka juga diberi kuasa untuk menangkap sesiapa sahaja yang bersalah. Biasanya di dalam menjalankan tugas ini walaupun seringkali mendapat tentangan dari orang salah, tetapi mereka sentiasa mencapai kemenangan. Lantaran itu perlaksanaan undang-undang Islam berjalan dengan baik dan berkesan.

Selain diadakan sistem kehakiman, sultan juga mengadakan penjara untuk di jalankan hukuman keatas pesalah-pesalah. Penjara ini diletakkan dibawah jagaan seorang ketua dinamakan Petanda dan enam orang pengawalnya. Petanda ini pula diletakkan dibawah perintah Datuk Panglima Dalam dan kerjanya ialah tukang potong kaki atau tangan pencuri atau memukul orang salah.

Di penjara tersebut disediakan seorang doktor bagi menjaga kesihatan banduan-banduan. Boleh dikatakan jarang sekali berlakunya jenayah di Terengganu semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Cuma terdapat beberapa kes jenayah sahaja yang berlaku. Seramai lebih kurang lima puluh orang sahaja menjalani hukuman penjara berbanding dengan jumlah penduduk pada ketika itu yang dianggarkan seramai 154,093 orang.

Perlaksanaan undang-undang Islam bukan sahaja di kenakan ketas orang Islam, tetapi juga ketasa orang bukan Islam. Seramai 4,702 orang bukan Islam tinggal di Terengganu ketika itu. Umpamanya terdapat satu kes pembunuhan yang dilakukan oleh Su seorang Cina keatas seorang wanita Cina kerana berebut harta. Apabila Su disabitkan kesalahannya, ianya dihukum bunuh. Sebelum dijalankan hukuman terlebih dahulu diarak dikhalayak ramai supaya menjadi pengajaran kepada mereka.

Penentangan Perlaksanaan Undang-Undang Inggeris Di Terengganu

Penentangan umat Islam di Terengganu terhadap perlaksanaan undang-undang Inggeris dan pengenepian Undang-Undang Islam begitu jelas sekali. Gerakan ini bersifat menyeluruh dan dikendalikan oleh sebuah pertubuhan Islam yang dinamakan “Syarikat Islam“ kerana ianya melibatkan kebanyakan daerah di Terengganu.

Gerakan penentangan ini pada mulanya dilakukan oleh Sultan dan pembesar-pembesarnya, tetapi kemudiannya dipimpin oleh ulama dan rakyat biasa, seperti Hj Abdul Rahman Limbong, Haji Musa Bin Abdul Ghani Minangkabau, Syed Saggof dan  Tok Janggut (Lebai Deraman). Pemimpin-peminpin lain termasuklahEncik Ismail Kuala Por, Haji Tahir Kampung Gunung, Mamat Pitas Pasir Nyior, Bedollah Jukaka, Mat Zain, Mat Min Telemong, Haji Zakaria, Abu Bakat Cetting, Salleh Bin Hj. Abd. Rahman Limbong, Penghulu Salleh Tersat, Engku Mat Kuala Pueh dan Encik Isa Paloh.

Hubungan ulama dengan masyarakat Terengganu begitu kukuh, terutamanya di kawasan pendalaman, ulama dianggap sebagai pemimpin mereka dan mempunyai keperibadian yang boleh dicontohi. Tambahan pula di kalangan mereka terdapat tanda-tanda keramat. Arahan mereka mudak dipatuhi.

Apabila Inggeris memperkenalkan undang-undang ketika Terenganu diperintah oleh Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan bertindak mengenepikan undang-undang Islam yang sudah sedia dilaksanakan, alim ulama dan masyarakat Islam di Terengganu bersatu menentangnya. Penentangan ini bukanlah merupakan suatu pemberontakan akibat dari kemiskinan, tetapi merupakan satu revolusi umat Islam bagi menentang penjajahan Inggeris dan pemimpin-pemimpin Melayu yang bekerjasama dengan penjajah tersebut yang melaksanakan undang-undang Inggeris dan mengenepikan undang-undang Islam.

Bagi mereka pemerintah ketika itu tidak mahu lagi kepada Islam dan menganggap pemimpin-pemimpin Melayu  yang bekerjasama dengan pemerintah  sebagai “orang Neraka” yang patut dihapuskan di bumi Terengganu.

Antara undang-undang Inggaris yang diluluskan dan dikuatkuasakan ialah undang-undang untuk mengawal rakyat dari menebang hutan dan membuka tanah. Undang tersebut menetap :
1. Apa saja tanah yang hendak diduduki mestilah terlebih dahulu mendapat permit dari Pejabat Tanah dengan bayaran lima pulih sen setahun.
2. Hutan yang belum cukup tujuh tahun tidak boleh ditebang.
Masyarakat Islam di Terengganu menganggap undang-undang ini bertentangan dengan hukum syarak dan ianya menyusahkan rakyat.

Gerakan penentangan mereka ini dimulai dengan keengganan mereka mematuhi undang-undang tersebut. Akibatnya sebahagian dari mereka didakwa dan dibicarakan di mahkamah. Haji Abd. Rahman Limbong yang mengetuai penetangan ini bertindak membela mereka. Kemenangan mereka didalam perbicaraan ini menaikkan lagi semangat mereka membuat penentangan ini selanjutnya. Barbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan bagi menyekat penentangan ini tetapi gagal. Penentangan ini terus dilakukan dengan menggunakan senjata tetapi berakhir dengan kekalahan di pihak umat Islam. Kegagalan umat Islam menetang undang-undang Inggeris dan mempertahankan undang-undang Islam tidak mematikan semangat mereka, kerana ianya diteruskan lagi, tetapi bukanlah dengan menggunakan senjata. Bahkan mereka berubah corak kepada memberi kesedaran kepada seluruh umat Islam supaya kembali kepada Islam secara amalan evolusi. Gerakan ini dikenali sebagai “Gerakan Islah”.

Penubuhan Majlis Agama Islam Dan Mahkamah Syariah

Kegagalan umat Islam menentang perlaksanaan undang-undang Inggeris dan mempertahankan undang-undang Islam, telah menunggalkan kesan yang besar ke atas kedudukan undang-undang Islam di Malaysia. Inggeris bertindak dari semasa ke semasa bagi mengekalkan undang-undangnya serta menyekat penentangan kembali dari umat Islam. Tindakan Inggeris yang paling berkesan ialah mengubah struktur pentadbiran agama Islam dan undang-undang Mahkamah Syariah yang sedia wujud dan menubuhkan Majlis Agama Islam serta membuat undang-undang untuk dilaksanakan di Mahkamah Syariah mengikut kehendaknya.

Tindakan Inggris mendapat sokongan dari Sultan yang sentiasa direstui oleh Inggeris bagi mengekalkan kekuasaan tradisional dan menguatkan susunan sosial mereka. Mereka bersatu melahirkan satu bentuk pentadbiran dan undang-undang Islam yang serasi dengan kehendak mereka dan Sultan diberi kuasa sebagai ketua Agama di dalam institusi ini untuk sekadar menyatakan bahawa Sultan tidaklah kehilangan kuasa langsung di dalam semua pentadbiran.

Satu sistem undang-undang bagi pentadbiran ugama Islam telah dikanunkan dalam Majlis Undangan Negeri bagi menubuhkan Mahkamah Syariah. Undang-Undang Mahkamah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pula membuat keputusan mengadakan Mahkamah Syariah serta dengnan penyusunan pentadbirannya. Sungguhpun daya utama dalam usaha ini dilakukan oleh Inggeris, tetapi tugas untuk mengendalikannya diberikan kepada satu jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Inggeris yang terdiri kebanyakannya dari kerabat Diraja dan golongan elite agama yang pro-kerajaan.

Majlis Undangan Negeri atas nasihat Inggeris telah meluluskan undang-undang untuk dijalankan di Mahkamah Syariah. Undang-undang yang diluluskan itu adalah terhad bidangkuasanya iaitu mengikut bidang kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Syariah. Kebanyakannya hanya menyentuh undang-undang keluarga Islam sahaja, kalau adapun undang-undang jenayah dan sivil, tetapi kebanyakannya tidak mengikut undang-undang Islam. Undang-undang ini hanya dikuatkuasakan ketasa orang Islam sahaja, tidak dilaksanakan ketas orang bukam Islam.

Undang-undang Inggeris pula dijalankan di mahkamah-mahkamah awam dan dikenakan keatas semua orang sama ada Islam atau bukam Islam. Bidang kuasanya mengatasi Mahkamah Syariah. Bukan setakat itu sahaja, malah apabila berlaku percanggahan antara undang-undang Islam dengan undang-undang Inggeris, di dalam kes yang melibatkan orang Islam, maka undang-undang Inggerislah yang digunapakai.

Pembentukan Perlembagaan Persekutuan

Kegagalan Malayan Union dan diikuti dengan rundingan antara kerajaan British dengan Raja-raja Melayu dan UMNO telah menghasilkan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Sebuah perlembagaan bertulis telah dibuat bagi menjadi dasar pentadbiran Persekutuan dan ianya berkuatkuasa mulai 1hb. Februari 1948. Mengikut perlembagaan ini undang-undang yang mesti diikuti didalam Persekutuan ialah undang-undang Inggeris.

Perjanjian Persekutuan 1948 juga telah menyatakan keinginan kerajaan British untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Hasrat Inggeris ini berkemungkinan besar dari keyakinannya kepada para pemimpin UMNO yang dididik dan diasuh dengan pendidikan Inggeris melalui institusi-institusi pendidikan yang ditubuhkan. Lebih-lebih lagi mereka telah diterapkan dengan semangat kebangsaan melayu yang dijelmakan oleh penjajah Inggeris dengan membawa masuk orang-orang Cina dan India, sudah tentu dapat diteruskan serta dikekalkan dasar pemerintahan dan undang-undang yang berteraskan sistem pemerintahan berparlimen dan undang-undang Inggeris.

Cadangan perlembagaan Persekutuan ini memberi makna konsep penubuhan negara ini hendaklah berasaskan konsep sekular iaitu penceraian antara agama dan negara. Pemerintahan  dan pentadbiran serta undang-undang negara janganlah berpandukan kepada undang-undang Islam. Mengikut Hakim Hasyim Yeop Sani bahawa ada banyak kesamaran dan kekeliruan dalam memoremdum parti tersebut untuk menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi negara, sedangkan cadangannya juga supaya ianya tidak menyentuh hak warganegara bukan Islam  mengenai kebebasan beragama, lebih-lebih lagi dicadangkan negara ini sebagai sebuah sekular; tidak berpandukan Islam.

Perlembagaan UMNO

Sebagai sebuah parti politik yang pragmatik, UMNO meletakkan dasar kebangsaan Melayu sebagai asas perjuangannya. Di dalam fasal 4 Perlembagaan parti tersebut menunjukkan bahawa UMNO berjuang mengawal , memelihara, dan mengamalkan asas-asas pemerintahan demokrasi, sedangkan ternyata sistem ini bertentangan dengan sistem pemerintahan Islam. UMNO juga berjuang untuk mendokong perlembagaan Malaysia, dan perlembagaan negeri-negeri serta mempertahankan kedaulatan undang-undang, sedangkan ternyata kebanyakan peruntukan Perlembagaan dan undang-undang Malaysia  bertentangan dengan undang-undang Islam.

Di dalam fasal 3 Perlembagaan parti tersebut menyatakan bahawa UMNO berusaha mempertahankan, menegak dan mengembangkan Islam agama bagi negara, dan membenarkan kebebasan beragama, sedangkan agama islam yang dimaksudkan di dalam perlembagaan Malaysia dalam pengertian yang sempit, tidak menepati dengan pengertian yang sebenar ( Al-Diin ) yang merangkumi seluruh kehidupan manusia. Mengikut pengertian Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Islam tidak boleh dijadikan undang-undang negara. Oleh itu perjuangan UMNO mengenai negara Islam adalah disekitar perkara-perkara yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan sahaja.
Dasar perjuangan UMNO diperjelaskan lagi dengan ucapan-ucapan beberapa pemimpin UMNO yang pada keseluruhannya menampakkan UMNO belum berhasrat untuk melaksanakan undang-undang Islam sebagai undang-undang negara kerana mereka menganggap undang-undang Malaysia yang sediada sudah sesuai dengan masyarakat negara ini. Lagipun dikatakan bahawa perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda, kerana sudah tahan diuji dan terbukti paling sesuai dengan keperluan negara dan akan terus dikekalkan sebagai undang-undang utama Malaysia.

Dasar dan aliran perjuangan UMNO sebagai parti pemerintah, memelihara serta mempertahankan sistem pemerintahan demokrasi, Perlembagaan dan undang-undang Malaysia merupakan halangan dan masalah yang ketara dalam usaha untuk melaksanakan undang-undang Islam di Malaysia, kerana ternyata sistem pemerintahan demokrasi san sebahagian besar peruntukan Perlembagaan dan undang-undang Malaysia bertentangan dengan Islam. Tambahan pula UMNO sendiri pernah menolak cadangan supaya perlembagaan dipinda agar sesuai dengan Islam.

Tugas Dan Tanggungjawab Muslim

Mengikut Prof. Ahmad Ibrahim, langkah pertama yang harus diambil ialah mendidik akidah dan Iman di kalangan umat Islam, supaya mereka benar-benar faham serta yakin dan bersedia menerima undang-undang Islam. Kefahaman yang jelas harus diberi, supaya mereka merasa bertanggungjawab terhadap perlaksanaan undang-undang Islam serta tidak rela membiarkan dan hanya menyaksikan sahaja undang-undang  bukan Islam dilaksanakan. Di kalangan bukan Islam, harus diberi kefahaman yanng jelas mengenai kebaikan undang-undang Islam supaya mereka menerima perlaksanaan undang-undang tersebut. Penerimaan mereka lebih bermakna sekiranya terlebih dahulu diyakini dan diterima oleh umat Islam sendiri.

Setiap individu Muslim harus mengubah sikap dan mengikis kejahilan umat Islam dan bukan Islam terhadap undang-undang Islam. Bagi umat Islam pembetulan keimanan harus diutamakan supaya melahirkan kesempurnaan keyakinan kepada undang-undang Islam. Bagi masyarakat bukan Islam harus diberi kesedaran dan kefahaman mengenai kebaikan dan keadilan undang-undang Islam. Dengan itu lahirlah sebuah masyarakat majmuk yang sanggup dan bersedia menerima perlaksanaan undang-undang Islam ketasa mereka. Umat Islam dan bukan Islam disemua peringkat dan kerajaan tidak harus dibiarkan di dalam kejahilan mengenai undang-undang Islam, kerana kejahilan ini akan membuatkan mereka terus bersikap negatif terhadap undang-undang tersebut dan menganggap undang-undang Malaysia yang dilaksanakan ketika ini sesuai dan tidak bertentangan dengan undang-undang Islam.

Penutup

“Sudah tiba masanya untuk kembali semula kepada Islam, yang telah membuktikan kejayaan dalam sejarah umat ini, bukannya satu teori baru yang belum tentu berjaya atau gagalnya. Kita mengharapkan buku atau kajian yang ditulis oleh Ustaz Abu Bakar Abdullah ini bukannya sekadar untuk kajian dibidang penghajiannya sahaja, tetapi menjadi salah satu lampu yang menyinari umat Islam kearah kembali semula kepada akidah dan kaedah mereka, bukan hanya untuk memperkenalkan Islam tetapi untuk membina semula kemelesetan keyakinan terhadap Islam yang telah melanda generasi sekarang.

- Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.