PELBAGAI SEKATAN BN KE ATAS TERENGGANU
29 Januari - Para pelabur merungut menghadapi kesukaran terutamanya dalam membawa masuk dana asing ke negeri-negeri yang di bawah pentadbiran PAS, merupakan satu senario yang perlu dihapuskan dan dibanteras.

Bank Negara di bawah pengawasan Ali Abul Hassan mempunyai strategi sendiri menegakkan pendirian UMNO dan kerajaan BN bahawa apa sahaja pelaburan dari dana asing mestilah disekat dengan apa jua cara untuk memberikan imej 'kemunduran' dan 'kegagalan' di pihak Barisan Alternatif mentadbir negeri.

Dengan yang demikian, sebebas dan sewenang-wenangnya pemimpin BN boleh mempengaruhi rakyat bahawa kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu tidak mampu mentadbir. Walhalnya ramai para pelabur dari luar negara ingin melabur di kedua-dua negeri yang kini berada di bawah lindungan tadbir PAS.

Di antara syarat lain yang dikenakan semua pelabur dimestikan bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri-negeri dengan pegangan saham pelaburan dipegang oleh kerajaan Pusat melalui 'proxy'nya itu. Justeru itu soal jaminan menjadi pertikaian para pelaburan dan ini adalah satu kezaliman dalam dunia perdagangan dan ekonomi rakyat.

Semalam, Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang berkata pelabur dari luar Terengganu masih tetap melabur di Terengganu walaupun negeri itu sekarang ditadbir oleh Pas.

Beliau berkata walaupun jumlah kedatangan pelabur itu menggalakkan, bagaimanapun kerajaan negeri tetap meminta kerjasama Kerajaan Pusat terutamanya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri supaya membuka jalan pelaburan ke negeri itu. Ini melambangkan sekatan yang wujud amat jelas dan mampu 'menyiksa' rakyat marhain di Terengganu dari menikmati kemajuan setanding dengan negeri-negeri di bawah pentadbiran BN.

Menurut Haji Hadi lagi, kerajaan negeri juga sedang meningkatkan kemudahan asas dan infrastruktur di kawasan-kawasan perindustrian di negeri ini dalam usaha menarik pelabur ke sini.

Beliau berkata kerajaan PAS Terengganu akan mengkaji projek-projek pelaburan yang telah dipersetujui oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu untuk memastikan perlunya ia dilaksanakan. Antara keperluan itu ialah projek yang bakal dijalankan mampu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, di samping mengikuti syarat-syarat lain yang dikemukakan oleh kerajaan Pas.

Terengganu kaya dengan minyak dan gas yang merupakan penyumbang utama ekonomi negeri, selain kegiatan pembalakan dan kuari. Bagaimana pun sekatan yang wujud di peringkat kerajaan Pusat amat jelas boleh meranapkan impian rakyat Terengganu dari menerima kemajuan yang setanding dengan negeri-negeri lain.

Demikianlah satu lagi siri kezaliman kerajaan BN Pusat yang memaksa rakyat mesti menentukan pemerintahan Pusat yang baru, seandainya mereka mahukan kemajuan yang berterusan.