Make your own free website on Tripod.com
 



Pemimpin gerakan Islam berhimpun di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 21 Mac (Hrkh)-Para pemimpin gerakan Islam serantau kini tertumpu ke Kuala Terengganu untuk menyertai Dialog Gerakan Islam Serantau yang akan bermula 23 hingga 24 Mac ini di sebuah hotel dekat sini.

Turut serta bersama mereka bagi membincangkan pelbagai permasalah umat Islam serantau adalah dua tokoh gerakan Islam antarabangsa iaitu Dr Fathi Yakan dari Lubnan dan Saudara Dr Azzam Tarmimi, tokoh gerakan Islam Palestin yang kini menetap di United Kingdom.

Dialog itu dijangka akan dimulakan dengan ucaputama dari Presiden PAS, Dato' Fadzil Noor yang boleh dikatakan pemimpin gerakan utama dan paling berjaya di rantau ini.

Pada 24 Mac, tiga kertas kerja akan dibentang dan dibahaskan oleh tiga penal utama dialog ini.

Selain Dr Fathi Yakan dan Dr Azzam Tarmimi, pemimpin parti Islam Indonesia, PPP, Bapak Hamzah Has juga akan membentangkan kertas kerjanya.

Kertas Fathi Yakan akan diulas oleh dua pengulas iaitu dari Malaysia, Dr Ridhuan Osman manakala seorang lagi dari Turki, Ahmet Okumus. Kertas Bapak Hamzah pula akan diulas oleh Profesor Madya Muhamad Abu Bakar serta Dato' Sheikh Azmi Haji Ahmad manakala kertas Dr Azzam akan diulas oleh Dr Syed Azman Syed Ahmad dan Dr Mohd Nur Manuty.

Pada sebelah petangnya pula, satu perbincangan penal akan diadakan dengan membariskan lapan penal dari lapan buah negara Asia iaitu Malaysia (Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang), Indonesia (Bapak Hamzah Has), Thailand (Dr Ismail Lutfi), Fililipina, Singapura, Kampuchea, Bangladesh dan Brunei.

Pada malamnya, satu ceramah umum akan diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah Kuala Terengganu.