Make your own free website on Tripod.com
 
 
TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM

HAMPIR seminggu ini, negara digemparkan dengan berita Ahli Parlimen Sik, SN Dato’ Shahnon Ahmad yang berhasrat meletakkan jawatannya.

Bagaimanapun, SN Shahnon juga menyerahkan keputusan itu kepada parti PAS kerana beliau adalah ahli parti itu dan bertanding mewakili PAS.

Ura-ura yang dihasratkan SN Shahnon diambil kesempatan media massa pro pemerintah untuk melaga-lagakan SN Shahnon dengan PAS, seolah-olah Shahnon ditekan supaya jangan melepaskan jawatan itu.

Ketua Umno Bahagian Sik, Dato’ Paduka Dr. Abdul Hamid Othman yang dikalahkan oleh SN Shahnon dalam pilihan raya umum lalu turut mengeluarkan kenyataan, dia sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kawasan itu.

Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Shahidan Kassim yang baru tewas sebagai Ahli MT Umno turut menyatakan sokongan kepada SN Shahnon supaya hasrat SN Shahnon dihurmati.

Seperti biasa, Utusan Malaysia menjalankan ‘jarumnya’ meninjau pendapat seorang dua penduduk Sik yang tentunya menyokong hasrat mereka (Utusan Malaysia).

Dr. Abdul Hamid usah terlalu ghairah. Dia adalah Senator. Kedudukannya sebagai menteri akan tamat jika dia kalah sekali lagi. Kerusi Senator hanya lantikan sekali. Jika dia bertanding semula, dia mesti melepaskan kerusi Senator. Dalam satu masa dia tidak boleh mewakili dua Dewan. Kalau dia menang, dia mungkin jadi menteri semula. Tetapi jika dia kalah, Umno kehilangan seorang lagi ‘pelawak’ terkemuka. Dia tidak boleh dilantik semula sebagai Senator. Maka jadilah dia seperti Mustapa Mohamed, Annuar Musa, Ibrahim Ali dan seorang dua lagi.

Dr. Abdul Hamid dikenali sebagai ‘ulama’ dalam Umno. Malangnya, seperti yang ditulis Megat Junid Megat Ayub dalam buku ‘getek’, dia kempunan nak tengok Dr. Abdul Hamid pakai macam ulama PAS berpakaian.

Tugas Dr. Abdul Hamid dalam Umno ialah membersihkan kekotoran yang Dr. Mahathir Mohamad lakukan. Dia sendiri tidak ada idea apa-apa untuk pembangunan Islam. Selama ini kerja mengiakan apa sahaja tindakan, ucapan dan saranan Dr. Mahathir mengenai Islam. Jika salah sekali pun, termasuk komen Dr. Mahathir mengenai janggut nabi, Dr. Abdul Hamid akan pertahankan. Dia tidak akan berani menegur. Itulah sebabnya, dia dikekalkan sebagai menteri walaupun tewas. Sedangkan Dr. Mahathir lebih sayangkan Megat Junid jika hendak dibandingkan dengan Dr. Abdul Hamid.

Utusan Malaysia sewajarnya mendesak Tun Ghafar Baba melepaskan kerusi Parlimen Batu Berendam. Pertamanya, Tun Ghafar benar-benar tidak sihat. Keduanya, Tun Ghafar bukan Timbalan Perdana Menteri lagi. Dengan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen, Tun Ghafar tentunya tidak mampu memberikan perkhidmatan kepada pengundi-pengundinya di Batu Berendam. Dia sakit-sakit dan sering keluar masuk hospital.

Apakah di Melaka, tiada seorang pun layak menggantikan Tun Ghafar sebagai Ahli Parlimen?

SN Dato’ Shahnon seorang yang ikhlas. Wajar baginya melahirkan hasrat untuk berundur jika beliau tidak mampu menjalankan tugasnya kepada rakyat. Tetapi, sebagai Ahli Parlimen, Dato’ Shahnon boleh mewakilkan sesiapa yang dipilihnya untuk menjalankan tugas itu. PAS tentunya mempunyai formula untuk menyelesaikan masalah ini.

Dr. Mahathir sebagai wakil rakyat Kubang Pasu sekali pun melantik wakilnya, Tan Sri Osman Aroff untuk menjalankan tugasnya di situ. Dia hanya berada di kawasan sekali sekala, terutamanya jika dia ke Kedah.

Ramai wakil-wakil rakyat BN yang tidak kerap berada di kawasan pilihan rayanya. Itulah sebabnya, Dr. Mahathir berkali-kali menyarankan supaya wakil rakyat BN mesti turun padang. Ini bermakna, mereka sendiri tidak menumpukan perkhidmatan kepada rakyat walaupun tidak sakit.

Pengundi dan rakyat Sik tahu bahawa Dato’ Shahnon tidak sihat. Mereka tentunya faham bahawa soal kesihatan bukan kehendak Dato’ Shahnon. Cerita kononnya ada yang mendakwa Dato’ Shahnon sudah tidak ada lagi (meninggal dunia) hanya ditimbulkan seorang dua yang akhirnya terhebah dengan cakap mulut ke mulut. Ini biasa.

Dulu, ketika Kondominium Highland Tower runtuh, ada yang menuduh seorang menteri terperangkap dalam runtuhan itu. Tetapi ia tidak benar. Biarlah apa orang nak kata. Kebenaran akan muncul dan kebatilan akan hilang.

Mohd Ihsan
Sungai Besi
21 Jun 2000