SHAHNON CADANG KOSONGKAN SIK
 
                Anggota Parlimen Sik Datuk
                Shahnon Ahmad dari PAS pada Khamis berkata beliau berhasrat
                melepaskan jawatannya itu dalam tempoh terdekat ini kerana
                masalah kesihatan.

                Katanya keadaan kesihatannya tidak mengizinkan beliau untuk
                menjadi wakil rakyat dan pakar perubatan juga menasihatkan
                beliau berehat.

                "Saya cadang untuk lepaskan jawatan anggota Parlimen dan akan
                bawakan perkara ini kepada pihak parti untuk dibincangkan," kata
                beliau kepada Bernama ketika dihubungi di rumahnya, di sini.

                Katanya kesihatan adalah punca utama beliau ingin melepaskan
                jawatan dan akan memberi laluan kepada calon lain pada pilihan
                raya kecil kelak. "Tak ada makna jika saya pegang jawatan tapi
                tak boleh nak buat kerja dan saya rasa berat ...ni bila
                bercakappun sekarang tak boleh lama...penat", kata beliau.

                Shahnon yang juga Sasterawan Negara, berkata beliau kini sering
                masuk hospital kerana mengalami pelbagai sakit yang berpunca
                dari penyakit lelahnya dan disebabkan itu keadaan fizikalnya
                lemah.

                "Saya tahu ada orang menghebohkan kononnya saya dah tak ada
                (meninggal dunia) tetapi sememangnya sakit saya baru-baru ini
                seolah-olah saya telah hampir meninggal," kata beliau.

                Katanya keadaan fizikal yang lemah menyebabkan beliau tidak lagi
                mampu untuk melawat kawasan di Sik dan menghadiri sidang
                Parlimen baru-baru ini. "Saya juga belum tentu dapat hadir pada
                sidang Parlimen akan datang dan disebabkan itu, eloklah saya
                diganti oleh orang lain," kata beliau.

                Shahnon bagaimanapun berkata kesihatan mentalnya masih baik
                dan beliau telah menyiapkan satu lagi novel berjudul "Muntah" dan
                akan dilancar pada30 Jun ini manakala sebuah lagi novel politiknya
                berjudul "Ziodir", sedang disiapkan.

                "Walaupun saya sakit, saya tidak boleh berhenti dari mengarang
                dan itu mungkin satu daripada punca saya selalu sakit kerana saya
                bangun pada pukul 3 pagi untuk mengarang," katanya.

                Shahnon, 68, anak kelahiran Sik dan anggota seumur hidup PAS,
                membuat kejutan besar mengalahkan menteri di Jabatan Perdana
                Menteri ketika ituDatuk Dr Abdul Hamid Othman bagi kerusi
                Parlimen Sik pada pilihan raya umum 29 Nov lepas dengan
                kelebihan 478 undi. Shahnon mendapat 13,504 undi manakala Dr
                Abdul Hamid 13,036 undi.

                Shahnon lebih dikenali sebelum pilihan raya itu dengan novel
                kontroversinya "Shit" yang berbentuk satira mengecam dan
                menghina pemimpin negara.

                Sejurus selepas beliau diumumkan memenangi kerusi Parlimen Sik,
                Shahnon berkata:"kemenangan bukan matlamat utama tetapi
                dapat melakukan sesuatu adalah paling utama".

                Dan hari ini Shahnon, ketika ditanya sama ada beliau sanggup
                tunggu untuk melepaskan jawatannya sehingga pilihan raya akan
                datang, berkata: "Tak kot (mungin tidak), saya tak boleh buat
                kerja dah, saya cadang lepaskan jawatan secepat mungkin"