PEMBANGKANG MINTA SURUHANJAYA SIASAT
 KAKITANGAN K'JAAN LEPAS
 
 KUALA TERENGGANU, 23 Dis  -- Barisan Nasional yang
 bertindak sebagai pembangkang di Terengganu meminta supaya
 penyiasatan yang akan dilakukan oleh Suruhanjaya Bebas yang
 ditubuhkan Kerajaan Negeri meliputi keseluruhan kakitangan
 kerajaan lepas.

 Ketua Pembangkang Datuk Abdul Rashid Ngah berkata,
 penyiasatan yang dijalankan mestilah meliputi semua kerana
 pegawai-pegawai kerajaan juga terlibat sama dalam membuat
 keputusan dan setiap keputusan berdasarkan pandangan
 kakitangan kerajaan.

 "Penubuhan suruhanjaya itu diharap bukanlah semata-mata untuk
 mencari kesalahan kerajaan lepas sebaliknya boleh dijadikan
 panduan kepada kerajaan sekarang untuk mentadbir negeri,"
 katanya di sini, hari ini.

 Beliau berkata kerajaan PAS juga begitu ghairah untuk
 menghapuskan sumber yang berasaskan tidak halal sedangkan
 jumlah itu adalah sedikit sahaja jika dibandingkan dengan perkara
 lain yang lebih perlu diberi keutamaan.

 Menurut beliau, kenaikan elaun imam dan bilal juga disambut baik
 tetapi ia adalah di dalam kajian kerajaan BN dahulu cuma tunggu
 untuk dilaksanakan.

 Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri, Pengerusi
 Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri
 Harun Taib berkata elaun itu kemungkinandinaikkan antara RM200
 dan RM300. Kadar elaun sekarang ialah antara RM120 dan RM180.

 Seorang lagi wakil BN, Tengku Putera Tengku Awang selain
 menyiasat kelemahan kerajaan dahulu, suruhanjaya itu juga
 diminta memberitahu rakyat apa yang telah dilakukan oleh
 kerajaan selama ini.

 "Mereka mesti ikhlas dalam membuat penyiasatan dan
 perkara-perkara yang baik oleh kerajaan BN juga perlu diberitahu
 supaya rakyat mendapat penjelasan...jangan hanya yang buruk,"
 katanya.

 Beliau juga memberi jaminan semua bekas Exco Kerajaan Negeri
 akan memberi kerjasama sekiranya diminta berbuat demikian.

 "Apa kita nak selindung, selama ini pun banyak perkara yang
 dilakukan oleh kerajaan adalah untuk membantu rakyat dan mereka
 boleh meneliti setiap projek yang telah dibuat," katanya.