AKHBAR TERLEBIH LAPUR
 
               KUALA TERENGGANU, : -- Menteri Besar Abdul
               Hadi Awang hari ini menyalahkan akhbar yang didakwanya cuba
               memutarbelitkan kenyataan pemimpin kerajaan Terengganu
               berhubung beberapa isu di negeri itu.

               Beliau berkata akhbar cuba membesarkan isu yang kecil serta
               menokok tambah kenyataan yang dibuat oleh pemimpin kerajaan
               negeri pimpinannya.

               "Saya tak mahu surat khabar buat cerita tak betul, cakap sikit tapi
               yang ditulisnya panjang...kacau aja," katanya ketika ditemui di
               rumahnya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Rusila,
               Marang hari ini.

               Beliau diminta mengulas mengenai isu beberapa pemimpin PAS
               menjadi khatib sembahyang Jumaat tanpa menggunakan teks yang
               disediakanoleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

               Pekeliling yang ditandangani oleh Pesuruhjaya JHEAT Datuk Wan
               Isa Long bertarikh 28 Mac menyebut bahawa beliau dititahkan oleh
               Sultan Terengganu supaya memastikan semua imam dan khatib
               yang bertugas membaca teks khutbah yang dikeluarkan oleh
               JHEAT.

               Dua hari lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan
               Pelaksanaan Syariah negeri, Harun Taib menafikan bahawa Sultan
               ada menitahkan kepada Pesuruhjaya JHEAT supaya mengeluarkan
               pekeliling itu.

               Abdul Hadi berkata isu tersebut cuba diperbesar-besarkan oleh
               pihak akhbar yang didakwanya dikawal dan dikuasai oleh UMNO.

               "Yang di sini (wartawan) okey tetapi yang di Kuala Lumpur
               itu...tak payah, benda sikit akan dipanjang-panjangkan," katanya.