KERAJAAN  SEDIA TIMBANG RAYUAN PENGUSAHA SNUKER
 
   KUALA TERENGGANU, 22 Ogos (Bernama) -- Kerajaan PAS Terengganu bersedia menimbang semula permohonan para pengusaha pusat snuker untuk meneruskan operasi di negeri ini dengan bersyarat.

Menteri Besar Abdul Hadi Awang berkata mereka boleh membuat rayuan kepada majlis perbandaran atau majlis daerah dengan satu salinan dihantar kepada beliau.

"Kebenaran hanya akan diberi dengan syarat dilakukan kawalan supaya tidak berlaku perkara-perkara negatif seperti kegiatan perjudian di pusat-pusat itu.

"Snuker bukanlah perkara yang dilarang...yang dilarang adalah judi," katanya ketika menjawab soalan seorang penduduk Cina semasa dialog pada majlis makan malam sempena ulangtahun ke-34 DAP di sini, malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengerusi kebangsaan DAP, Lim Kit Siang dan beberapa anggota exco kerajaan negeri.

Kerajaan negeri telah mengambil langkah menutup pusat-pusat hiburan di negeri itu termasuk karaoke dan snuker serta salun uniseks dalam usaha melaksanakan pemerintahan Islam dan membanteras kejadian maksiat.

Abdul Hadi berkata kerajaan negeri mempunyai sikap yang jelas dalam memberi kebebasan dan hak kepada rakyat bukan Islam dalam melakukan perkara-perkara yang dibenarkan agama mereka dengan syarat tidak berlaku unsur-unsur maksiat.

"Pada dasarnya tindakan diambil terhadap pusat hiburan berikutan terdapat unsur negatif (iaitu) snuker ada judi, salun uniseks ada pelacuran tetapi jika pengusaha dapat hapuskan perkara yang merosakkan itu, maka boleh dirundingkan dengan pihak berkenaan," katanya.