KENYATAAN AKHBAR
Kenyataan pemimpin UMNO sebagaimana yang disebut dalam berita muka 4 Utusan Malaysia 24 Ogos yang lalu bertajuk Arak: Pas Terengganu sebenar bersandiwara menunjukkan bahawa mereka jahil tentang Islam dan adalah lebih baik kalau tidak bercakap demikian kerana ia mendedahkan pekong di dada.

Kerajaan Negeri Terengganu tidak pernah bersendiwara dalam hal menjaga kepentingan rakyat dan melaksanakan pembangunan. Kerajaan juga tidak tunduk kepada kepentingan politik untuk menimbangkann kelulusan permohonan kedai arak dan pusat snuker di negeri ini.

Kerajaan akan menimbangkan permohonan menjalankan kegiatan pusat snuker dengan syarat tidak mengandungi unsur-unsur perjudian. Ini kerana perjudian memang suatu yang dilarang oleh Islam dan diharamkan oleh semua agama.

Perjudian menjadi punca kehancuran rumahtangga dan kerosakan masyarakat apabila tahi judi menghabiskan wang sepatutnya untuk membiayai keluarga, di meja judi di pusat-pusat berkenaan. Arak pula suatu yang memabukkan dan membawa kesan yang buruk kepada masyarakat tetapi agama lain seperti Budha umpamanya membenarkan ia diminum oleh penganutnya.

Kerajaan berhak membenarkan mereka meminum arak kerana menjaga hak kebebasan beragama penganut agama lain dari Islam di negeri ini. Oleh itu Kerajaan meluluskan tiga premis pemborong arak dari 41 buah premis arak yang ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lalu di negeri ini untuk menjaga kepentingan kaum bukan Islam bebas menganut agama dan adat istiadat agama mereka.

Soal yang penting di sini ialah hak kebebasan beragama dan hak menikmati kehidupan aman dan damai dalam masyarakat menjadi tanggungjawab kerajaan menjaganya dengan baik. Ini termaktub dalam Manifesto Pilihanraya umum PAS yang lalu bahawa Kerajaan yang dipilih oleh rakyat akan menjamin kebebasan orang bukan Islam mengamalkan agama dan budaya masing-masing.

Di samping itu Kerajaan akan menggalakkan interaksi, persefahaman dan perpaduan antara orang Islam dan bukan Islam. Kerajaan juga mahu menjamin orang bukan Islam menikmati hak dan keadilan yang saksama. Untuk itu kerajaan akan menunaikan hak orang bukan Islam yang ditentukan oleh agama mereka dengan mengambil kira perkara yang dizinkan oleh Islam terutama berhubung dengan perkara-perkara yang tidak menimbulkan kesan negatif kepada umat Islam melalui kawalan yang teratur.

Kerajaan bertanggungjawab mengadakan undang-undang yang menepati syariat dari semasa ke semasa bagi menghalang kegiatan maksiat di negeri ini kerana matlamat kerajaan ialah melaksanakan Islam secara syumul, tidak sebagaimana yang pernah dilakukan oleh kerajaan BN yang memerintah lebih 40 tahun yang lalu. Apa yang kerajaan laksanakan sekarang ialah memberi kelonggaran kepada orang-orang bukan Islam dalam hal berkenaan dengan syarat-syarat yang wajib dipatuhi.

Kerajaan tidak berhajat untuk mengambil pendapatan dari kegiatan yang diberi kelonggaran untuk dilaksanakan itu sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan yang lalu. Kerajaan Negeri sudah memahami bagaimana BN bekerja keras menimbulkan isu ini untuk menghentam kerajaan PAS/BA sedangkan apa yang dibuat oleh kerajaan sekarang tidak mampu dilaksanakan oleh kerajaan BN yang lalu.

Sebenarnya Keranaan Negeri terpaksa membaiki pelbagai kerosakan yang ditinggalkan oleh kerajaan yang lalu termasuk program hiburan seperti karaoke, perkhidmatan seperti unisex saloon yang mengandungi anasir-anasir pelacuran. Sepatutnya semua pihak berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana berusaha membersihkan masyarakat dari anasir-anasir yang merosakkaan moral itu.Menghapuskan pusat-pusat maksiat suatu kerja yang murni yang sepatutnya disokong oleh semua pihak.

Haji Zahari bin Mohamed
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Terengganu.