ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU

Peringatan SUK Terengganu dianggap tepat

KOTA BHARU, 12 Okt  - Kerajaan Kelantan menyokong penuh peringatan Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Dato' Senara Muda, Mazlan Hashim supaya kakitangan kerajaan negeri yang tidak setia meletakkan jawatan.

Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pentadbiran Awam, Takiyuddin Hassan berkata, peringatan tersebut tepat sekali dan wajar diterima dengan hati terbuka oleh mereka yang berkhidmat dengan mana-mana kerajaan.

Katanya, kakitangan kerajaan mesti memberi taat setia kepada kerajaan negeri tempat mereka berkhidmat (government of the day).

"Sekiranya pegawai sebagai pelaksana dasar tidak mampu memberi ketaatan kepada kerajaan, maka jalan terbaik mereka perlu berhenti," katanya di sini.

Menurutnya, sebagai pegawai mereka perlu patut kepada segala dasar yang ditetapkan kepemimpinan kerajaan negeri (pengubal dasar).

Sehubungan itu, beliau berkata, peringatan Setiausaha Kerajaan Terengganu amat tepat sekali bagi menggambarkan sebagai seorang pegawai kerajaan yang mempunyai prinsip dan bertanggungjawab.

Baru-baru ini, Dato' Senara Muda Mazlan dipetik sebagai mengingatkan kakitangan kerajaan Terengganu yang tidak setia dengan kerajaan pimpinan PAS diminta meletak jawatan dan memberi tumpuan kepada politik.

Menurutnya, kerajaan tidak mahu kakitangannya bekerja tidak sepenuh hati dan melibatkan diri dengan politik.

Takiyuddin berkata, kakitangan dan pegawai kerajaan di Kelantan tidak pernah disekat untuk berpolitik kerana ia merupakan kebebasan yang termaktub dalam perlembagaan negara.

"Malah ia sudah menjadi perkara yang diterima umum dan kerajaan Kelantan juga tidak campur tangan dalam kerja-kerja pentadbiran.

"Kerajaan negeri memberi kepercayaan penuh kepada kakitangan dan pegawainya melaksanakan tugas masing-masing," katanya.

Bagaimanapun tambahnya, keadaan adalah berlainan dengan amalan yang dilakukan di peringkat Pusat, di mana kakitangan yang tidak sebulu dengan pemerintah menjadi mangsa ditukar dan diturunkan pangkat.

Takiyuddin juga menegaskan kakitangan dan pegawai kerajaan di negeri ini perlu menerima prinsip seperti disarankan SUK Terengganu.

Pengarah Pusat Kajian Strategik Kelantan, Mohamad Hussin berkata, kakitangan dan pegawai kerajaan perlu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan hati terbuka.

Katanya, pegawai kerajaan yang merasakan diri mereka tidak boleh lagi berkhidmat di bawah kerajaan yang dipilih rakyat, perlu meletak jawatan.

Menurutnya, kerajaan Kelantan yang dipimpin PAS sejak 10 tahun lalu, memberi kebebasan dan kepercayaan penuh kepada pegawai melaksanakan tanggungjawab mereka.

Seorang kakitangan kerajaan, Masran Ali, 35 cukup bersetuju dengan peringatan dibuat SUK Terengganu kerana ia merupakan kod etika yang diterimapakai semua kakitangan kerajaan.

Katanya, peringatan itu bukan suatu kekerasan dan merupakan satu ketelusan kerajaan negeri untuk melihat jentera pentadbiran kerajaan lancar.

Seorang guru yang mahu dikenali sebagai Abang Ji berkata, peringatan yang dibuat SUK Terengganu perlu diterima dan tidak perlu disangsikan oleh mana-mana pihak.

Seorang lagi kakitangan kerajaan, Kasma Muhammad, 40 menyokong penuh peringatan Dato' Senara Mazlan bagi memberi kebaikan kepada semua pihak.