Make your own free website on Tripod.com
               TERENGGANU HANTAR 350 ATLIT KE SUKMA
 
               KUALA TERENGGANU, 3 April -- Majlis Sukan Negeri
               Terengganu (MSNT) akan menghantar kira-kira 350 orang atlit dan
               pegawai ke Sukma VIII di Pulau Pinang bulan depan.

               Pengarah MSNT Mohamad Muda berkata jumlah itu hampir
               menyamai jumlah kontinjen Terengganu ke Sukma ke VII di Shah
               Alam.

               "Kita hanya menghantar penyertaan bagi sukan yang mempunyai
               potensi sahaja," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

               Katanya MSNT terpaksa membatalkan penyertaan bagi beberapa
               jenis sukan kerana tahap pencapaian atlit tidak seperti diharapkan.

               Mohamad berkata sungguhpun kontinjen Terengganu kali ini agak
               kecil, tetapi ia dijangka mampu mempertahan 12 pingat emas, 14
               perak dan 15 gangsa yang diperolehinya pada Sukma lepas.

               Beliau berkata Terengganu turut menyandarkan harapan kepada
               sukan lumba basikal, taekwando dan kayak untuk memungut
               pingat di Sukma itu nanti.

               Mohamad berkata atlit-atlit Terengganu sekarang memasuki
               latihan peringkat terakhir daripada beberapa peringkat latihan yang
               telah bermula sejak awal tahun lepas.

               Beliau berkata MSNT akan menempatkan para atlit terbabit di
               perkampungan sukan untuk menjalani latihan pusat sebagai
               persiapan terakhir sebelum mereka bertolak ke Pulau Pinang.