TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
 

            SULTAN MAHU KERAJAAN TERENGGANU TARIK PELABUR

             KUALA TERENGGANU, 20 Julai -- Sultan Terengganu
             meminta kerajaan negeri meneruskan usaha menarik lebih banyak
             pelabur untuk memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada
             rakyat di negeri itu.

             Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah usaha itu sangat bersesuaian
             dengan prestasi ekonomi negara yang telah kembali pulih dengan
             pertumbuhan yang lebih mantap.

             "Selain industri kecil dan sederhana yang perlu diberikan perhatian,
             sektor-sektor utama juga perlu dirangsang dengan insentif-insentif
             tertentu daripada kerajaan," titahnya pada sambutan perayaan
             ulang tahun ke 38 hari keputeraan baginda di sini Rabu.

             Bagi tujuan itu juga, baginda meminta kerajaan negeri terus
             membangunkan sumber manusia dengan menambah peluang
             pembelajaran terutamanya di institusi latihan kemahiran.

             Menurut baginda, langkah itu perlu dilaksanakan kerana hampir
             5,000 lepasan sekolah setiap tahun gagal melanjutkan pelajaran ke
             institusi pengajian awam dan swasta.

             Sultan Mizan juga bertitah agenda pembangunan kerajaan negeri
             yang berasaskan wawasan "Negeri Maju Berteraskan Islam"
             mestilah dirancang dengan baik agar hasil pembangunan di negeri
             itu dapat dinikmati oleh semua rakyat.

             "Pembangunan itu bersifat lebih menyeluruh dengan memberikan
             penekanan kepada pembangunan fizikal dan spiritual yang akan
             memastikan kemajuan yang dicapai kelak merangkumi kebahagiaan
             dunia dan akhirat.

             Sultan Mizan bertitah bagi menjayakan matlamat itu kerajaan
             negeri telah menyediakan program-program jangka panjang yang
             melibatkan kumpulan sasar dari peringkat tadika hingga ke institusi
             pengajian tinggi.

             Untuk jangka pendek pula, pendekatan dakwah dilaksanakan
             dengan penekanan kepada generasi muda serta berlandaskan
             pendekatan tazkirah.

             "Kerajaan negeri juga perlu memberi perhatian sewajarnya
             terhadap usaha mengatasi gejala kemiskinan di kalangan rakyat di
             Terengganu," titah baginda.

             Dalam hal itu baginda mencadangkan agar strategi-strategi khas
             direncanakan bagi memastikan kadar kemiskinan dan kefakiran di
             Terengganu sentiasa berkurangan pada setiap tahun.

             "Kejayaan halacara pembangunan kerajaan tidak akan bermakna
             jika masih terdapat rakyat yang terbelenggu dalam kancah
             kemiskinan," titah baginda.

             Sultan Mizan bertitah usaha kerajaan negeri menubuhkan Dana
             Ihsan Darul Iman dengan objekif untuk membantu golongan
             berpendapatan rendah adalah langkah wajar.

             Baginda turut meminta kerajaan negeri memberi perhatian kepada
             langkah-langkah untuk mengoptimumkan penggunaan tanah
             terutamanya tanah terbiar dalam usaha meningkatkan pengeluaran
             hasil pertanian dan pendapatan petani.