Make your own free website on Tripod.com
 



Surat terbuka kepada Dr. Mahathir

Saya tidak pernah menulis kepada mana-mana surat khabar dan media massa tetapi kali ini saya rasa terpanggil untuk menyatakan pendapat dengan isu perpaduan Melayu. Isu ini dibangkitkan oleh Umno terutama daripada kalangan pemimpin tertingginya. Ia diolah dan dikupas oleh media masa elektronik dan cetak tunggangan Umno sebagai kumpulan yang benar-benar berjuang untuk perpaduan Melayu.

Benarkah Mahathir Mohamad mahukan perpaduan Melayu atau dia sekarang tersepit dan mencari jalan untuk mengekalkan kuasa pemerintahannya yang semakin meruncing? Apakah muslihat Mahathir Mohamad mengajak PAS untuk berbincang pasal perpaduan Melayu? Perlukan perbincangan Umno-PAS atau Barisan Alternatif pasal perpaduan ini? Apa yang saya nampak sekarang ini ialah Mahathir mahu lagu perpaduan ini didendangkan semula seperti pernah didendangkan kepada Musa Hitam dan Razaleigh Hamzah.

Musa dan Razaleigh sekarang bersatu dan berpadu di bawah Mahathir. Mereka ini sahaja yang menjilat balik apa yang pernah diludahkan terlebih dahulu, tetapi tidak bagi pengikut atau penyokongnya. Sedikit sahaja penyokong mereka ini bersama-sama menyertainya. Penyokong-penyokong akar umbi tidak ada kepentingan. Mereka menyokong pemimpin yang mempunyai prinsip dan bersih bukan hanya pada slogan sahaja.

Bukan pemimpin yang nampak bersih tetapi mengamalkan budaya songsang, tersasar dari landasan ugama. Rakyat mengubah sokongan dari Umno kepada pembangkang kerana menilai tidak tanduk pemimpin yang memerintah membuat banyak kerosakan dan kemungkaran. Kepentingan rakyat dibaikan. Kepentingan sendiri dan juak-juak diberi keutamaan. Orang Melayu tidak berpecah tetapi berhijrah dari BN ke BA. Kerosakan yang dibuat Mahathir terlalu banyak. Ia dilakukan selama 20 tahun menerajui UMNO. Sudah banyak kali rakyat tertipu dan slogan retoriknya. Mereka mahukan perubahan.

Reformasi. Akhir sekali kesalahan Mahathir yang jelas sehinggakan membuka mata orang Melayu dari dibuainya dengan berbagai dendangan ialah isu Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahir dianiayanya sebegitu rupa sehinggakan saya rasa orang yang berfahaman komunis atau Atheis tidak akan membuat kerja keji begitu terhadap kawannya. Saya tidak pelik. Pada saya, orang yang boleh menghina rasul dan agama Allah...boleh bertindak kejam kepada sesiapa sahaja. Menghina Rasul dan agama Allah ia tidak berasa bersalah, inikan pula kepada kawannya.

Rakyat tidak lagi mahu ditipu, diperbodohkan lagi maka tidak perlulah Mahathir berbincang pasal perpaduan Melayu. Letak jawatan sahaja. Sesungguhnya Allah yang Maha Berkuasa. Berjuanglah kita demi keadilan hanya kerana Allah.

Hamzah Sahmad