Sepakat Usahawan anjur majlis makan malam
 bersama MB Terengganu

 

 SHAH ALAM: Sepakat Usahawan Jaya Berhad (SUJB), syarikat yang bertanggungjawab
 sebagai badan penasihat , perunding dan penyelaras kepada Direktori Usahawan Muslim Se
 Malaysia akan menganjurkan majlis makan malam bersama MB Terengganu dan Exco-exco
 Kerajaan Terengganu pada 21 April 2000 ini.

 Majlis tersebut dijangka diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Terengganu dan
 dianggarkan seribu usahawan Muslim dari seluruh Malaysia akan menghadirinya.

 Pada malam itu, majlis akan dimulakan dengan ucap perdana daripada MB Terengganu, YAB
 Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang yang juga selaku perasmi pelancaran Direktori usahawan
 Muslim Edisi 2000.

 Majlis ini, disusuli dengan persembahan multimedia mengenai pengenalan dan fungsi SUJB.

 Pada malam itu juga, pihak SUJB akan menganugerahkan Tokoh Usahawan kepada beberapa
 usahawan yang bernaung di bawah SUJB.

 Anugerah Tokoh Usahawan akan dipilih oleh sebuah jawatankuasa pemilihan yang dibentuk
 berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan dan borang permohonan untuk anugerah
 usahawan akan diiklankan tidak lama lagi.

 Sehubungan dengan itu, SUJB masih membuka pendaftaran keahlian dan penempahan ruangan
 iklan dalam Direktori Edisi 2000. Tarikh akhir ialah sebelum 13 Mac 2000. Untuk keterangan
 lanjut, sila hubungi urusetia SUJB di alamat 38M, Jalan Zirkon E7/E, 40000 Shah Alam atau talian
 03-55111040/41.