JKKK DI TERENGGANU DIGANTI JAWATANKUASA SYURA
 RAKYAT
 
 KUALA TERENGGANU, 6 Jan -- Jawatankuasa
 Keselamatan dan Kemajuan Kampung akan digantikan dengan
 Jawatankuasa Syura Rakyat berkuatkuasa Mac ini bagi
 menjayakan dasar pentadbiran Islam oleh kerajaan PAS
 Terengganu.

 Anggota exco kanan kerajaan negeri Mustafa Ali berkata
 perubahan itu membabitkan peranan dan kandungan jawatankuasa
 itu yang akan lebih menjurus ke arah pemesyuaratan.

 Mustafa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan
 Ekonomi, Petroleum, Industri dan Sumber Manusia negeri, berkata
 penubuhan Jawatankuasa Syura Rakyat itu akan menjadi
 penghubung pentadbiran antara kerajaan negeri dan rakyat.

 Ketika ditanya mengenai kedudukan ahli jawatankuasa lama di
 bawah JKKK, Mustafa berkata kajian yang dijalankan akan turut
 mengambil kira pelbagai perkara termasuk kemungkinan
 menyerapkan sebahagian daripada ahli JKKK lama dalam
 Jawatankuasa Syura Rakyat di kawasan terbabit.

 Mustafa berkata bagi kawasan-kawasan yang majoritinya bukan
 Islam, mereka akan mempunyai jawatankuasa syura rakyat sendiri
 bagi menjaga kepentingan masyarakat bukan Islam.