Tabika Kemas di Balairaya

Latarbelakang
Isu yang diperbesarkan ialah apabila Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) kelolaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Kampung Sura Hujung, Dungun gagal meneruskan monopolinya atas penggunaan balairaya kampung berkenaan. Lalu ditohmahkanlah kononnya pihak Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) kampung berkenaan telah bertindak mengusir mereka dari balairaya berkenaan. Sedangkan mereka memperakui pernah menerima surat arahan daripada JSR berkenaan lama sebelum penggal persekolahan bermula. Pihak JSR telah memaklumkan bahawa ia berhasrat menggunakan balairaya berkenaan untuk Kelas Fardhu Ain Khairun Najah dan meminta Kemas secara bertanggungjawab berpindah dari situ. Bermula 7 Januari lalu, sekitar 40 orang kanak-kanak Tahun Satu, Dua dan Tiga telah mendapat bimbingan iqra’, musyafahah, tajwid, tauhid, adab, sirah dan feqah di kelas berkenaan.

Penjelasan 1: Kemas Tidak Tahu Peraturan
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar, Wan Abdul Muttalib Embong memberitahu pemberita (3 Januari 2001) bahawa pihak Kemas tidak memperbaharui permohonan menggunakan bangunan milik kerajaan negeri bagi tahun ini. Menurut beliau lagi, tindakan tidak diambil sebelum ini kerana kerajaan negeri hanya membenarkan Kemas beroperasi di bangunan itu untuk tahun lalu. Pihak Kemas juga memperakui bahawa telah menerima surat bertarikh 17 Januari 2000 (tahun lalu) memberi kebenaran “sementara” untuk meneruskan operasi tabika di balairaya sebelum mendapat premis gantian.

“Untuk membolehkan Kemas terus beroperasi di bangunan itu, Kemas sepatutnya mengemukakan permohonan baru bagi menggunakan bangunan itu tahun ini. Itu adalah prosedur biasa, sebelum menggunakan bangunan perlu mendapatkan kebenaran pemiliknya terlebih dahulu”, Wan Abdul Muttalib dipetik sebagai berkata.

Tepat sebagaimana disifatkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia, Haji Mustafa Ali dalam majlis ceramah di Rusila, “berkira (berunding) lah macam orang. Kita bukan plastik!”.

Penjelasan 2: Kemas Tidak Tahu Berterimakasih
Perangkaan sebenar jumlah balairaya di seluruh negeri, dan jumlah yang masih digunakan oleh Kemas sehingga Disember 2000 yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Terengganu ialah seperti berikut:
 
 
 
Daerah
Jumlah
Jumlah digunakan oleh Kemas
Jumlah digunakan oleh Jabatan Perpaduan
Tidak dapat digunakan oleh JSR
K.Terengganu
210
139
3
50
H.Terengganu
96
48
-
1
Besut
78
51
-
27
Marang
72
48
-
8
Setiu
70
15
2
44
Kemaman
63
34
3
27
Dungun
47
20
1
14
Jumlah
636
355
9
171

Sumber: Pejabat Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu

Ertinya, sehingga Disember 2000, terdapat 355 buah Tabika Kemas yang beroperasi dengan selesa tanpa sebarang gangguan di balairaya-balairaya milik kerajaan di seluruh negeri. Kemurahan hati pihak kerajaan negeri membenarkan Kemas terus beroperasi di lebih 300 balairaya sementara mendapat tempat gantian itu, sepatutnya dihargai. Sebaliknya, sikap pihak Kemas dengan pertolongan media massa membesar-besarkan isu di satu-dua buah balairaya yang berlaku perselisihan faham itu jelas menggambarkan tabiat Kemas yang tidak tahu berterimakasih.

Penjelasan 3: PAS Tidak Amal Dendam Politik
Langkah kerajaan negeri  membenarkan Kemas untuk terus menggunapakai lebih 300 balairaya di seluruh negeri sepatutnya menjadi bukti bahawa PAS tahu menilai kepentingan pendidikan terhadap anak-anak. Tambahan pula, di masa yang sama institusi pra-sekolah anjuran PAS, iaitu Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI) tidak digalakkan memanfaatkan kemudahan balairaya milik kerajaan negeri. Terdapat lebih 200 buah PASTI di seluruh negeri ini, dan sebahagian besar mereka hanya menumpang operasi di surau/balaisaf persendirian atau bangunan-bangunan yang sangat dhaif. Jika sungguh PAS mengamalkan sikap balas dendam dan diskriminasi politik, sudah tentu PASTI milik PAS diberikan keutamaan menggunapakai balairaya-balairaya milik kerajaan negeri itu.