Make your own free website on Tripod.com
 
KERAJAAN TIDAK AKAN DEDAHKAN NAMA  YANG TERLIBAT PENYELEWENGAN
   
 MARANG, 6 Mac  -- Kerajaan Pas
 Terengganu tidak akan mendedahkan nama mereka
 yang didakwa terlibat dalam sebarang bentuk
 penyelewengan semasa pemerintahan kerajaan
 Barisan Nasional (BN), kata Menteri Besar Haji Abdul
 Hadi Awang, hari ini. 

 Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab
 kerajaan negeri untuk menyelesaikan apa yang
 didakwa Pas sebagai penyelewengan itu secara
 berakhlak tanpa memalukan individu tertentu. 

 "Menjadi tanggungjawab kita (kerajaan negeri) untuk
 tidak memalukan individu berkenaan yang terlibat
 (dalam penyelewengan) kerana Islam sendiri tidak
 menggalakkan perkara sedemikian," katanya pada
 majlis dialog dengan kakitangan kerajaan di Dewan
 Sek Men Agama Marang, di sini. 

 Menjawab soalan daripada seorang peserta, Abdul
 Hadi yang juga anggota Parlimen Marang berkata
 kerajaan negeri sedang menggubal rang
 undang-undang, termasuk hukum hudud untuk
 dilaksanakan di negeri ini. 

 Menurutnya, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan,
 Dakwah dan Pelaksanaan Syariah, Harun Taib sedang
 meneliti perkara tersebut. 
 Abdul Hadi berkata kerajaan Pas negeri akan tetap
 cuba melaksanakan undang-undang itu mengikut
 bidang kuasa yang ada. 

 Beliau juga menjelaskan pelantikan wakil-wakil
 rakyat sebagai pengerusi anak-anak syarikat
 kerajaan negeri adalah buat sementara, sehingga
 operasi syarikat terbabit pulih. 

 "Bila pulih kita akan kembalikan jawatan itu kepada
 mereka yang layak dan pelantikan mereka (wakil
 rakyat) sekarang adalah di peringkat pembersihan
 syarikat," katanya. 

 Menjawab soalan seorang peserta beliau berkata
 wakil rakyat yang memegang jawatan dalam anak
 syarikat kerajaan negeri itu turut menerima elaun
 yang sewajarnya mengikut jawatannya.