Tati ambil 610 pelajar baru

 

 KEMAMAN: Institut Teknikal Tinggi Terengganu (Tati) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan
 negeri akan mengambil 610 pelajar baru bagi sesi kemasukan tahun 2000 pada Jun ini.

 Menurut Pengurus Hal-Ehwal Pelajar dan Awam Tati, Yusainy Yusop, mereka akan mengikuti tiga
 program utama iaitu Diploma Kemahiran Tinggi seramai 240 orang, Ijazah Kejuruteraan UTM-Tati
 (250) dan 120 lagi Higher National Diploma (HND).

 Beliau berkata, seramai 680 pelajar sedang mengikuti tiga program tersebut pada masa ini.

 Katanya, Diploma Kemahiran Tinggi menawarkan kursus dalam bidang Diploma Kejuruteraan
 Pembuatan (Perekaan Alat dan Acuan), Diploma Kejuruteraan Pembuatan (Pembuatan Alat dan
 Acuan), Diploma Automasi Industri (Mekatronik) dan Diploma Automasi Industri (Teknologi
 Maklumat) yang menitikberatkan aspek praktikal.

 Tambahnya, Ijazah Kejuruteraan yang dijalankan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia
 (UTM) menawarkan kursus Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Ijazah Sarjana Muda
 Kejuruteraan Elektrik-Elektronik, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik-Mekatronik, Ijazah
 Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan Integrasi Sains Komputer.

 "Tati adalah satu-satunya IPT di Pantai Timur yang menawarkan kursus ijazah yang dikeluarkan oleh
 UTM," ujarnya kepada Harakah.

 Program HND pula, katanya ditawarkan dengan kerjasama Majlis Pendidikan Teknologi dan
 Perniagaan (BTEC) United Kingdom dalam bidang Kejuruteraan Pembuatan, Kejuruteraan Elektrik
 dan Kejuruteraan Teknologi Maklumat (pengkhususan dalam Kejuteraan Perisian).

 "Pihak BTEC United Kingdom telah memberi pengiktirafan kepada Tati sebagai pusat bertauliah bagi
 mengendalikan kursus-kursus di peringkat HND, satu-satunya IPT di Pantai Timur yang mendapat
 status sebagai pusat bertauliah tersebut," katanya.

 Menurutnya, dari segi pengiktirafan, pada September 1999, Tati telah mendapat akreditasi daripada
 Lembaga Akreditasi Negara (LAN) bagi kursus Diploma Kejuruteraan Pembuatan (Pembuatan Alat
 dan Acuan) dan Diploma Kejuruteraan Pembuatan (Perekaan Alat dan Acuan).
                                                                                          

TERENGGANU DARULIMAN