TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN"
tinta_hijau@hotmail.com

TIpuji kerajaan Terengganu

Kuala Lumpur, 16 Ogos (Hrkh)- Transparency International cawangan Malaysia (TI) menyambut baik keputusan kerajaan Terengganu untuk melaksanakan "ikrar integriti" sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan korupsi pengurusan kontrak kerajaan.

Menteri Besar, Abdul Hadi Awang mengumumkan perkara itu dalam ucapan pembukaan Bengkel Perdana Hisbah pada 8 Ogos lepas.

Naib Presiden TI yang juga Presiden TI Malaysia, Tunku Abdul Aziz berkata, inisiatif itu akan menjadikan kerajaan Terengganu mendahului kerajaan negeri yang lain dan juga kerajaan Persekutuan dalam usaha memerangi korupsi dalam pentadbiran kerajaan dengan cara yang praktikal.

Tunku Aziz yang memuji usaha Terengganu juga menjelaskan konsep "ikrar integriti" mulanya dibangunkan oleh TI untuk memerangi korupsi.

"Ia untuk menyempurnakan dua objektif iaitu membolehkan syarikat-syarikat mengelakkan daripada memberikan rasuah dengan menyakinkan mereka bahawa pesaing mereka juga dihalang daripada memberikannya dan agensi kerajaan akan menghalang korupsi dengan mengikut prosedur yang telus", ujarnya dalam kenyataan beliau di sini.

"Selain itu, ia juga akan membolehkan kerajaan mengurangkan kos yang tinggi dan akibat korupsi dalam kontrak kerajaan," tambahnya.

"Ikrar Integriti" adalah persetujuan antara kerajaan dengan penender atau syarikat yang terlibat dalam proses tender, untuk tidak menawarkan atau meminta rasuah semasa proses tender dan juga perlaksanaan tender itu.

TI kesal kerana terdapat kecenderungan untuk mempolitikkan usaha anti-korupsi sebagaimana yang diperlihatkan oleh tindakan media yang tidak menerbitkan kenyataan Abdul Hadi itu,kata Tunku Aziz.

"Kita sepatutnya menyambut baik usaha itu, tanpa mengira kepentingan politik, bahawa sekurang-kurangnya ada kerajaan yang berusaha untuk memerangi korupsi dengan serius." katanya.

"Sistem Hisbah dan Ikrar Integriti adalah pra syarat bagi setiap kerajaan untuk menunjukkan usaha kerasnya untuk menukarkan retorik kepada amalan kerajaan," jelasnya.

Beliau juga menyeru kerajaan terutamanya kerajaan pusat agar segera menyediakan institusi atau sistem yang boleh menjadi pengimbangtara kepada pembangunan.