Make your own free website on Tripod.com
 
MENGAPA SAYA TULIS “TIGA  ABDUL”
Reaksi Sayuti Omar

SEPERTI yang tercatat di kulit buku Hikayat Tok Guru dan Tiga Abdul (Tiga Abdul), buku saya yang ke-23 itu agak berlainan daripada buku-buku mengenai Kelantan sebelumnya. Ia dikira menentang arus dan agak kontroversi.
Kehadirannya tidak disenangi banyak pihak dalam PAS, terutama di luar Kelantan. Buku itu menyebabkan saya dinilai semula oleh ahli dan penyokong PAS. Ada yang terus prejudis dan bertanya siapakah saya sebenarnya? Seterusnya mempersoalkan nawaitu saya menulis/menerbit buku itu. Dituduh saya penulis upahan dan cuba hendak memecahkan PAS. Ada juga mendakwa isu yang saya tonjolkan itu remeh temeh dan soal titik bengik, sama dengan masalah kupiah di atas kepala pemimpin PAS.
Reaksi yang begitu "panas" tentunya datang dari tokoh-tokoh yang saya perkatakan dalam buku itu. Ada yang bercadang menyaman saya, tidak kurang pula yang melarang buku itu dijual di kaki lima pejabat PAS. Lebih menakjubkan, ada juga yang mengatakan saya telah kaya apabila sebanyak 5,000 naskhah Tiga Abdul dijual kepada Umno untuk diisikan dalam beg perwakilan Umno.
Saya tidak marah. Saya bukan sehari dua menulis. Bukan juga pertama kali saya membantai tokoh politik. Hatta mantan TPM Anwar Ibrahim pernah menjadi mangsa kritikan saya 10 tahun lalu. Insiden saya dengan Anwar dirasakan lebih serius, apabila saya hampir-hampir bertumbuk gara-gara sebuah buku saya yang diterbitkan tahun 1990.
Mengenai tuduhan penulis upahan, juga perkara biasa. Ugutan, ancaman dan mahkamah juga terlalu biasa. Ahmad Lutfi Othman, Syed Hussein Alattas dan rakan-rakan penulis lain tahu akan segala musibah dan bahana selaku penulis ini.
Setiap keluar sebuah buku kami akan berhadapan dengan situasi pro dan kontra, puja dan
keji. Pihak yang dikritik akan melenting lenting, manakala yang beruntung tidak cukup bahasa memuja dan memuji.Di Kelantan, sewaktu saya berhempas pulas berdepan dengan para penyokong istana yang kurang senang dengan buku nipis saya yang mengkritik istana dan Sultan Kelantan, kebanyakan ahli dan pemimpin PAS bertepuk tangan menyokong. Tidak ada seorang pun pemimpin PAS yang memandang jijik dan hina buku itu. .
Tetapi apabila saya alihkan pena dan curahkan dakwat menyahut cabaran rakyat, orang yang bertepuk tangan itu bertindak sebaliknya. Mereka melupai pujian sebelum ini dan melemparkan pelbagai tuduhan dan kecaman. Seolah-olah dulu saya bagai Jebat kini bertukar menjadi jahat seakan Patih Karma Wijaya.
Namun ia tidak mengikis semangat dan keazaman saya untuk terus berkata benar dan membongkarkan segala kebusukan tanpa mengira kawan dan lawan. Pun begitu saya tidak salahkan mereka yang menuduh saya. Mereka tidak dapat menyelam apa yang berada di dasar hati saya. Sebagai penyokong dan pendokong (taksub) kepada tokoh tertentu, mereka wajar bersikap demikian.
Sebagai ahli parti mereka harus menjaga PAS agar tidak diburukkan. Mereka terpaksa turut sama menarik selimut menyembunyikan keburukan untuk menampakkan parti mereka tetap putih dan bersih.
Namun begitu, puluhan panggilan telefon dan e-mail yang saya terima mengucapkan terima kasih dan tahniah di atas penerbitan Tiga Abdul. Mereka lebih mengutamakan kewarasan dan rasional dariupada sentimen melulu.
Sebenarnya buku 144 halaman itu bukan semata-mata membawa luapan amarah untuk memburukkan PAS dan beberapa pemimpinnya di Kelantan. Sebenarnya ada dua mesej di dalamnya. Pertama, campur tangan dalam pentadbiran Kelantan, yang memerlukan pindaan perlembagaan. Kedua, tindak-tanduk dua tiga kerat pemimpin Kelantan yang tidak menunjukkan sikap kerjasama dengan MB bagi menyelesai masalah yang berlarutan itu.
Tetapi bagi yang membaca "dalam gelap", maka itu tidak jelas pada mata mereka. Mereka lebih mudah mengulas pemimpin yang menceraikan isteri mudanya, ataupun soal hobi tengok blue filem.
Saya menulis buku itu bukan kerana wang tetapi untuk menegur PAS. Jika mahukan wang, saya boleh terbitkan buku itu sewaktu pilihan raya umum dan menjualnya kepada Umno Kelantan. Tetapi ia diterbitkan selepas kerajaan Kelantan dibentuk?
Kalau saya mahu wang dan populariti di kalangan ahli PAS Kelantan, saya boleh menulis
tentang campur tangan istana dalam pentadbiran kerajaan negeri. Saya dedahkan penyalahgunaan kuasa pihak tertentu sehingga MB berada terjepit. Tentu buku itu mendapat sambutan dan saya akan dipuji sampai ke langit ke lapan (kalau ada).
Saya mengutamakan tanggungjawab sebagai penulis. Saya mengambil tugas ahli PAS yang takut atau segan mengkritik pemimpin. Ilham itu tercetus apabila setiap kali saya menjejak kaki ke Kota Bharu saya didesak untuk menulis tentang problem pentadbiran kerajaan negeri.
Walaupun saya dicemuh oleh mereka yang bersedia menarik gebar untuk melindungi tahi
dalam selimut, tetapi saya puas dengan Tiga Abdul. Pandangan, kritikan dan ulasan di dalamnya mendapat perhatian PAS Kelantan. Mungkin Tok Guru yang turut sama disembur dalam buku itu sudah menilainya. Saya teringin mendengar ulasan terbuka Tok Guru kalau "kitab" terbaru saya itu pentingpadanya. Sehingga kini, pandangan PAS Kelantan cukup mengembirakan saya. Saya telah berjaya!