Make your own free website on Tripod.com
 
TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN" 
tinta_hijau@hotmail.com

JADIKAN DIRI ANDA SEBAGAI MEDIA ALTERNATIF
Laporan TARMIZI MOHD JAM

Kuala Lumpur, Isnin 31 Julai: Para penyokong PAS, KeAdilan, PRM dan DAP di seluruh negara digesa dan disarankan agar dapat menjadi media bergerak dalam negara ini bagi menyampaikan maklumat terkini kepada seluruh rakyat. Dengan cara ini, maklumat propaganda pemerintah yang disalurkan melalui media cetak dan media elektronik dapat disifarkan dari terus dipercayai oleh orang ramai.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar meminta agar para penyokong BA menjadikan diri mereka sebagai akhbar, sebagai televisyen dan sebagai internet yang “bergerak” dalam menyebarkan maklumat BA dan melebarkan hujah menangkis dakyah Mahathir serta para pemimpin Umno dan BN yang lain. Dengan mereka sendiri menjadi editor atau pengarang, mereka diminta bertindak sebagai pencetak, penerbit dan pengedar sendiri terhadap apa sahaja maklumat atau fakta yang dikira perlu dan relevan untuk ditampilkan ke tengah masyarakat ramai.

Beliau memuntahkan pandangan bernas ini ketika memberi ceramah di Markas Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar semalam (31 Julai 2000) dihadapan kira-kira 20,000 para penyokong BA dan orang-ramai, yang datang untuk mengetahui pandangan PAS terhadap isu konteroversi Tragedi Sauk.

Katanya, dengan dokongan dan sokongan padu begini, rakyat akan dapat maklumat sebenar secara dari mulut ke mulut tanpa direasapi maklumat propaganda pemerintah yang tersiar dalam media-media mereka. Pengorbanan ini katanya, pasti akan menguatkan keupayaan BA dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Mahfuz dalam ucapannya yang berapi-api dan diselang-selikan dengan lawak loghat Kedahnya, menyifatkan Tragedi Sauk sebagai suatu insiden yang patut dibincangkan diperingkat Parlimen kerana ianya bersangkutan dengan soal keselamatan negara. Tetapi, tegas beliau, isu politik telah diketengahkan dari tragedy ini hingga menenggelamkan isu asas yakni berkenaan “kelemahan” sistem keselamatan negara yang patut dibahaskan.

“Isu sebenarnya ialah isu keselamatan negara. Betapa lemahnya asas atau system keselamatan kita hingga boleh dibolos oleh perompak,” tegas beliau. Beliau kesal, apa yang dibawa oleh Mahathir dari isu ini, tidak lebih dari mempolitikkannya untuk memburuk-burukkan PAS dan cuba mengaitkan perompakan itu dengan parti berkenaan hingga isu sebenar tertimbus di sebalik kehangatan politik tuding jari ke arah parti pembangkang khususnya PAS.

Bagaimanapun, Mahfuz yakin, PAS akan menang jua akhirnya melalui sokongan rakyat yang memenuhi peti-peti undi. Sokongan tidak berbelah bahagi yang dirasai sekarang, jelas beliau, akan merangsang kekuatan baru BA untuk menghadapi kelemahan Umno dan BN dalam pilihanraya umum akan datang. Tegas beliau, jika peranan media “bergerak” ini berfungsi dengan berkesan, maka pemboikotan BA terhadap media akan menjadi lebih bermakna dan penyebaran maklumat yang tepat akan membantu kemenangan total BA pada pilihanraya umum 2004 nanti.