TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
Taring Tajam Ku Li Berjaya Dipatahkan!
Komentar: TARMIZI MOHD JAM

Hasrat Ku Li untuk hanya menjadi “gurkha” dalam Umno, sekembalinya kepangkuan parti itu sejurus membubarkan Semangat 46, makin menjadi kenyataan. Anak raja berjiwa rakyat itu, akan meneruskan hayatnya sebagai “gurkha” dalam Umno selagi parti itu diterajui oleh Mahathir. Ku Li bukanlah penting lagi bagi Mahathir di Kelantan. Kemunculan Mustapha Mohamad di Jeli dapat menggantikan dan sekaligus membenamkan pengaruh Ku Li yang kian lusuh itu.

Kegagalan Ku Li membenamkan PAS di Kelantan menjadi faktor langsung mengapa beliau dipinggirkan terus dalam Umno, biarpun peringkat awalnya terlalu “optimis” untuk mengambil-alih semula Kota Darul Naim. Akhirnya, Ku Li kecundang dengan labu-labunya. Kekecewaan anak raja itu tidak dapat disembunyikan. Taringnya yang “tajam” nampaknya sudah mudah dipatahkan oleh Mahathir. Kelicikkan Mahathir “membodek” Ku Li membubarkan Semangat 46 yang banyak “menyusahkan” Mahathir dalam mewarnakan politik Melaysia, sudah berlangsung dalam fenomena aman.

Ku Li bersama rakan taulannya, membubarkan Semangat 46 dan menyertai Umno semula secara berjamaah. Ku Li tentunya mencaturkan politik masa depan yang lebih gemilang bersama Umno. Niatnya, untuk merebut kembali kerusi idamannya yang sedang dihenyak-henyak oleh Mahathir sekarang. Laluan menggunakan Umno adalah lebih mudah dan lebih cepat ke kerusi itu. Berbanding dengan kapal Semangat 46 yang “artodok” dan “manual”.

“Penyahan” Anwar oleh Mahathir, membuka demensi baru buat Ku Li. Laluannya menjadi PM sudah hampir ke garisan penamat. Beliau sedar, Pak Lah tidak menjadi batu penghalang yang sukar ditumbangkan. Namun begitu, taring tajamnya yang sudah dipatahkan oleh Mahathir itu, “memukau” beliau tentang tiadanya sambutan lagi dari kalangan perwakilan terhadap “tawarannya” untuk menentang  Mahathir. Ku Li terkepung dalam delimma yang amat mencengkammnya. Hendak berpatang balik, tentunya “jambatan” yang dibina sudah terbakar dengan sendirinya. Mahu tidak mahu, Ku Li terus menghabiskan hayatnya dalam Umno yang ditubuhkan oleh Mahathir, iaitu Umno (Baru).

Nawaitu Ku Li untuk menghidupkan Umno 1946 tidak kesampaian. Mahathir menyekatnya melalui undang-undang. Mahathir tentu berasa bersalah yang amat sangat, apabila “Semangat 46” ditubuhkan. Dengan penubuhan itu, Mahathir sudah menggaru-garu kepala tanda kesal. Akibatnya, Mahathir dituduh sebagai bapa “pemecahbelah masyarakat”. Rentetan perpecahan dalaman Umno inilah, maka ahli-ahli Umno asal berpecah dan membentuk Semangat 46. Kekuatan Umno terbelah dua. Umno berpecah pada zaman Mahathir. Yang paling penting, catatan sejarah akan mencatatkan darihal itu, dan mahu tidak mahu, Mahathir adalah penyebab penting dalam perpecahan ini.

Mahathir berfikir, bagaimana untuk menebus kesalahan dan kebiadapannya pada masa lalu. Dalam kepalanya, berputar-putar pelbagai pertanyaan. Macam mana nak mengajak balik Ku Li menyertai Umno? Kalau Ku Li masuk Umno semula, apakah Semangat 46 akan diteruskan? Mengikut sumber, Mahathir sendiri tidak yakin dengan Ku Li untuk menyertai semula Umno apabila dipelawa. Beberapa pertemuan dikatakan diadakan bagi membincangkan hal ini. Niat Mahathir ialah untuk menebus “perpecahan” Umno 1988 hingga Umno terpaksa diharamkan dan Semangat 46 pula dibuka. Mahathir amat mahu Ku Li menyertai semula Umno dan membubarkan Semangat 46. Dengan itu, segala catatan sejarah hitam dalam hidup Mahathir dan Umno terpadam terus. Tiada batu nensan dan tiada kubur yang ditinggalkan.

Sudah tentulah niat Mahathir itu sarat dengan pelbagai agenda politik. Jika Ku Li mempercayai niat Mahathir itu bulat-bulat atau bujur-bujur sekalipun, adalah silap dan salah besar beliau membubarkan Semangat 46. Saya tidak tahu, sama Ku Li juga seperti Mahathir, untuk menghapuskan tanda dan kesan “kesilapannya” dalam membentuk parti saingan Umno itu. Agenda Mahathir yang berlipat-lipat dalam menyeret Ki Li ke dalam tempurung Umno dan meruntuhkan rumah Semangat 46 itu, tentunya sudah tercapai.

Tetapi niat Ku Li untuk menyertai Umno dengan tujuan mengganti Mahathir kian lusuh dari dibaca dan ditelah orang. Mahathir lebih licik dari Ku Li. Apa yang diinginkan Mahathir sudah berjaya dari segi politiknya. Ku Li sudah “berjabat tangan” semula dengan Mahathir dan  kesan-kesan pembinaan Semangat 46 berjaya dihapuskan. Kini, Mahathir bukan lagi pemecahbelah masyarakat seperti yang didakwa ketika tertubuhkan Semangat 46. Apa perlunya, Mahathir memutar-mutarkan kepala hotaknya untuk “meletakkan” Ku Li ke singgahsana yang menjanjikan beliau boleh menuju dan sampai ke Pejabat PM. Tidak ada rasanya, dalam kepala Mahathir tentang hal itu.

Apa yang penting, jika Ku Li itu ayam, tajinya sudah dipatah-patahkan. Andainya Ku Li itu Jin Beragas atau Jin Bertendang, taringnya juga sudah diseliat-seliat oleh Mahathir tanpa menghimpunkan 1001 bomoh atau peselit.
 
Seorang pemimpin Umno Bahagian Peringat, Nik Daud Mustapha menyifatkan kegagalan Ku Li itu adalah bukti terkini keupayaan sebenar kepimpinannya sekarang. Itulah “tenaga” Ku Li. Usianya yang agak lanjut juga tentunya mempengaruhi “tenaganya” tadi dalam menentukan kejayaannya merampas Kelantan dan bertanding kerusi Presiden Umno. Ku Li gagal dalam langkahnya menumpaskan PAS di Kelantan. Kemudian gagal lagi, dalam mempengaruhi perwakilan Umno seluruh Malaysia untuk menobatkan pertandingan bagi menentang Mahathir di kerusi Presiden Umno.

Nik Daud berkata, berdasarkan perkembangan itu, tempat Ku Li dalam barisan tertinggi Umno telah tertutup rapat. Rakyat sudah menolak Ku Li berdasarka pencapaiannya dalam pilihanraya umum lalu. Mahathir pula, melihat kehadiran Ku Li akan menyusahkan beliau pada masa depan. Nik Daud mengingatkan Ku Li agar merenung perjuangan politiknya dalam Umno yang sudah berakhir. Pandangan Nik Daud sebenarnya adalah intipati akar umbi Umno yang agak jenuh dan bosan mengikuti politik tanpa sempadan yang dimulai Ku Li. Melompat sana, melompat sini, seolah-olah tiada pendirian dan sempadan bermain politik. Akar umbi menolak, permainan ikut sedap ini dan Ku Li ditolak secara perlahan-lahan.
Sebelum ini, Ku Li pernah diura-urakan untuk menumpaskan Mahathir dan Pak Lah bagi kerusi Presiden dan Timbalan Presiden Umno dalam perhimpunan parti itu, Mei yang baru lalu. Ku Li juga turut disenaraikan sebagai calon bagi merebut kerusi Naib Presiden tetapi dengan penolakan Mahathir terhadap pencalonan Gua Musang sebagai suatu yang “tidak sah” dengan mendakwa tidak menuruti arahan parti, terus menghampakan Ku Li untuk mewajahkan kepimpinan tertinggi Umno selepas ini. Mahathir dapat menghidup apa yang dinginkan oleh anak raja dari Kelantan itu. Beberapa percubaan Ku Li melalui kenyataanya yang kontroversi dan percubaan Umno Bahagian Gua Musang itu, adalah bukti niat Ku Li untuk menurunkan Mahathir dalam perhimpunan itu.

Mahathir juga tahu perkembangan ini. Sebab itu, beliau menutup pintu pertandingan di jawatan Presiden parti. Namun untuk dilihat tidak dictator dan penuh demokrasi, Mahathir juga “berpakat” dengan Pak Lah untuk menutup sama jawatan Timbalan Presiden dari dipertandingkan juga. Dengan itu, ia tidak kelihatan untuk mendinding diri Mahathir seorang. Bagi menjayakan misi ini, maka Pak Lah terus diangkat sebagai Timbalan Presiden tanpa bertanding dan ditentang oleh mana-mana Naib Presiden Umno. Permainan politik Mahathir ini, sekaligus menggusarkan Ku Li untuk berpencak silat dan menari mengikut rentak ciptaan Mahathir.

Pembatalan pencalonan Gua Musang itu, secara tidak langsung menghilangkan kelayakkan Ku Li untuk mengadu pengaruh dikerusi Naib Presiden Umno. Layakkah Ku Li  terus menjadi “gurkha” dalam parti Melayu yang pernah diherdiknya itu? Persoalannya, sampai bilakah, Ku Li bersedia “tunduk” dan “patuh” kepada Mahathir?