Make your own free website on Tripod.com
 
TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM

OSA Tingkatkan Kekebalan Mahathir?
Komentar:  TARMIZI MOHD JAM

Sehingga kini, pihak polis sedang menyiasat dakwaan Ketua Pemuda KeADILan, Ezam Mohd Noor kononnya terdapat lima enam kotak dokumen rasmi kerajaan yang disimpan di luar negara. Bagaimanapun, para pemimpin Umno terus memanipulasikan isu ini sebagai isu keselamatan negara dan mengaitkan dokumen berkenaan sebagai terlindung di bawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA). Ezam sudah didakwa atas isu ini. Perbicaraan sedang berlangsung. Sekali lagi OSA menjadi “alat” untuk memerangkap Ezam dan apa yang didakwa “enam kotak dokumen rasmi kerajaan” itu. OSA dipasungkan kepada Ezam bagi menamatkan “ancaman” anak muda itu

Kebimbangan ini makin ketara apabila Anwar membuat dua laporan polis sebelum  ini terhadap Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan Rafidah Aziz berhubung penyalahgunaan kuasa dalam isu pemberian saham kepada menantu dan kerugian yang dialami oleh Perwaja Steel di Terengganu. Tokoh lain yang terbabit termasuklah Abdul Ghani Patail, Mohtar Abdullah dan Eric Chia. Setakat ini langkah politik yang diambil oleh Anwar dengan melaporkan dua kes kepada polis telah dianggap menguntungkan rakyat. Sekaligus ianya juga mengejutkan Mahathir dan kroni-kroninya. Tidak siapa menyangka Anwar yang sudah dipenjarakan di Sungai Buluh, masih berupaya menggugat kepimpinan Mahathir.

Satu lagi, laporan polis dibuat oleh Anwar terhadap Mahathir minggu ini. Anwar meminta BPR, Polis dan Peguam Negara menyeret Mahathir ke muka pengadilan ekoran pendedahan bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Shafie Yahya pada 12 Jun lalu. Mahathir menurut Datuk Shafie telah menghalang beliau dari menyiasat kes rasuah Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi JPM, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman. Mahathir mengarahkan Datuk Shafie menutup kes itu dan menuduh “siasatan” itu dilakukan oleh Datuk Shefie atas arahan Anwar Ibrahim untuk memerangkap “orang-orangnya”.

Kekuatan semangat dan  tindakan berani Anwar membongkar penyelewengan berhemah pemimpin tertinggi negara dalam menyalahgunakan kuasa bukan sahaja mendapat perhatian antarabangsa tetapi, menimbulkan lagi kesedaran baru rakyat terhadap kepincangan kepimpinan Umno dan BN selama ini. Arus perdana yang cuba dibentuk oleh Mahathir untuk mengabui mata rakyat kononnya “menyimpan” dokumen-dokumen sokongan seperti yang dikepilkan dalam laporan-laporan polis Anwar setakat ini; akan mendedahkan negara kepada pengaruh kuasa  asing dan menggugat keselamatan negara; dipandang sepi oleh rakyat.

Kesedaran  politik yang tinggi di kalangan rakyat negara ini, nampaknya tidak terpedaya dengan hujah dan arus berkenaan sekalipun media kroni memutarkan isu ini secara berat sebelah dan amat meloyakan. Rakyat mahu, penyelewengan ini disiasat segera dan menteri-menteri terbabit jika didapati bersalah, patut diberi hukuman yang setimpal dengan kesalahannya tanpa mengira ianya menteri kecil, menteri kanan atau Perdana Menteri sendiri.

Cadangan Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor supaya sebuah Jawatankuasa Siasatan ditubuhkan bagi menyiasat segala bentuk penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan jika dokumen tersebut ada menyatakan perkara demikian. Jika ia berkaitan dengan penyelewengan dan salah guna kuasa pemimpin tertinggi BN, ia tidak boleh dianggap sebagai rahsia kerana ia amat bertentangan dengan peraturan negara ini.

Pendedahan Ezam dalam ceramahnya di Teluk Intan menjelang pilihanraya lalu,  telah menarik perhatian media massa dan para pemimpin tertinggi BN mengenai apa yang dikatakan sebagai “dokomen-dokumen rahsia kerajaan” yang disimpan di luar negara dan Anwar akan mendedahkannya satu persatu kepada pengetahuan rakyat secara berperingkat-peringkat.  Ekoran dari ini, maka ramailah juak-juak Umno dan BN menggesa pihak kerajaan supaya menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap Anwar kerana menyeludup keluar dokumen rahsia kerajaan. Akhirnya, selepas Umno hampir-hampir ditolak oleh oleh orang Melayu dan merasa terancam, Ezam diseret juga ke mahkamah. Menurut puak-puak Umno ini, perbuatan menyeludup dokumen rahsia kerajaan adalah satu “pengkhianatan” yang tidak boleh dimaafkan oleh negara dan rakyat. Tindakan itu melanggar Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA) 1973.

Soalnya, apakah benar dokomen-dokumen yang disimpan di luar negara ini rahsia kerajaan dalam ertikata undang-undang negara atau sekadar beberapa dokumen mengenai penyelewengan dan rasuah pemimpin teratas negara kita? Timbalan Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang berpendapat OSA yang bejalan sekarang tidak lagi memelihara rahsia kerajaan untuk keselamatan negara tetapi sebaliknya, cuba untuk melindungi kepentingan pemimpin yang tidak telus.

“Perkara ini sudah berkali-kali dibahaskan di Parlimen, termasuklah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menjadi pelindung dan penyelamat kepada pemimpin-pemimpin tertentu,” tegas beliau ketika berceramah di Sungai Tekali, Kuala Langat tidak hujung tahun lalu. Jika kedua-dua akta ini dihapuskan dari berkuatkuasa, kedudukan sesetengah pemimpin Umno dan BN dikhuatiri akan terjejas kerana segala fail “penyelewengan” mereka akan dibuka semula dan dibawa ke muka pengadilan.

Timbul dua persoalan akibat dari isu dokumen di luar negara ini. Pertama, keselamatan negara terancam dan keduanya, kedudukan pemimpin tertentu tidak selamat. Tetapi apa yang pelik bin ajaibnya, pernah suatu kerika dahulu ruang atau sempadan udara negara kita dicerobohi oleh pesawat Singapura (negara terancam dan tidak selamat) tetapi tiada tindakan tegas diambil dari pihak kerajaan yang ada sekarang. Mereka sekadar mengutuk dari jauh kerana ianya tidak menyentuh kedudukan politik mereka dalam negara.

OSA sebenarnya adalah akta yang boleh menafikan hak rakyat negara ini dari mendapat, memperkatakan atau membocorkan apa-apa sahaja yang disifatkan oleh kerajaan sebagai rahsia. Mereka yang bersalah melanggar akta ini akan dipenjarakan sekurang-kurangnya satu tahun. Akta ini menjadi perisai kepada orang-orang tertentu yang berkuasa dalam kerajaan. Selain dari Mahathir selaku PM, suku-sakat dan kroni-kroninya mungkin mendapat manfaat dari akta sedemikian rupa. Di sebalik perisai ini juga, segala skandal, muslihat dan matlamat mereka terlindung dari siasatan rakyat.

Tidak siapa dapat menafikan bahawa Akta OSA ini sangat mudah untuk disalahgunakan seperti juga ISA. Apakah yang boleh disenaraikan sebagai rahsia rasmi kerajaan? Pada mulanya, pindaan OSA yang dibacakan pada kali pertama di Dewan Rakyat , 27 Oktober 1986; jadual rasmi itu  telah menggariskan tujuh perkara seperti berikut:
1. Suratan, rekod kepunyaan dan pertimbangan jamaah menteri, termasuk jugalah suratan, rekod keputusan dan pertimbangan jawatankuasa jamaah-jamaah menteri.
2. Suratan, rekod keputusan dan pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, termasuk juga suratan, rekod keputusan dan pertimbangan jawatankuasa-jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
3. Suratan berkenaan dengan keselamatan negara, pertahanan negara dan perhubungan antarabangsa.
4. Suratan berkenaan perhubungan diantara Persekutuan dan Negeri.
5. Suratan dalam bentuk atau berhubungan dengan pendapat, nasihat atau syor  mengenaikuatkuasa dan fungi kerajaan dan perkhidmatan awam.
6. Suratan berkenaan dengan tender mengenai apa-apa pembelian rasmi, permintaan untuk kerja, bekalan, perkhidmatan dan projek.
7. Suratan berkenaan dengan ekonomi negara yang ada hubungan dengan matawang, cadangan belanjawan dan pelaburan.

Namun begitu, pada 2 Disember 1986, pindaan dibuat sekali lagi ke atas jadual rahsia rasmi ini dengan menggugurkan perkara 4 hingga 7 dan mengekalkan parkara 1 hingga 3.

Soal salahguna dalam mana-mana undang-undang sepatutnya tidak berbangkit kecuali undang-undang itu mempunyai kelemahan. Undang-undang mestilah lengkap, sempurna, berkesan dan adil. Sebarang undang-undang tidak harus ada ruang bagi sebarang salahguna kerana sebarang salahguna yang dilakukan sudah tentu akan menindas orang lain. Sebab itulah, undang-undang ciptaan manusia tidak boleh diluluskan dalam masa satu atau dua hari dan tidak terkecuali OSA ini bukan sahaja lemah malah ianya amat mudah untuk disalahgunakan untuk kepentingan pemimpin tertentu.

Apa yang dikatakan dokumen-dokumen rahsia kerajaan seperti yang didakwa oleh Ezam itu, tentulah amat “membimbangkan” Mahathir. Pendedahan Anwar yang berani dan dipercayai oleh rakyat tidak mungkin dapat menyelamatkan imej dan pengaruhnya. Sebagai manusia biasa, Mahathir akan tewas dan tumbang akhirnya jika pembangkang khususnya Anwar terus menyenaknya dengan isu-isu “penyelewengan” yang menyabitkan Mahathir. Lambat laun kekebalan Mahathir akan musnah dan tumpas ditangan rakyat apabila imej yang dibinanya selama ini “runtuh” akibat pendedahan demi pendedahan “perlakuan” buruknya terhadap rakyat dan negara.

Sehingga hari ini, OSA tidak ubah menjadi akta yang meningkat dan menebalkan lagi imuniti atau kekebalan Mahathir dari terus didakwa atau diheret ke laman pengadilan!

Bagaimana jika Anwar, terus membuat laporan polis dan menyeret lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin kanan Umno dan BN ke muka pengadilan atas isu penyelewengan dan rasuah? Sudah tentulah, ia akan memberi sumbangan yang besar kepada pembangkang dan melajukan lagi runtuhnya empayar Umno dan BN menguasai negara ini pada 2004 nanti!

18 Jun 2000, Ahad