TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN" 
tinta_hijau@hotmail.com

TRAGEDI SAUK: TUBUHKAN SEGERA SURUHANJAYA BEBAS
Laporan TARMIZI MOHD JAM

Kuala Lumpur, Isnin 31 Julai: PAS dan Barisan Alternatif mendesak pihak kerajaan agar menubuhkan segera satu Suruhanjaya Bebas bagi menyiasat Tragedi Sauk yang dikatakan melibatkan isu keselamatan negara. Penubuhan Suruhanjaya Bebas ini, berupaya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat tehadap hasil siasatan berkenaan isu kontroversi yang sudah dijadikan isu politik dan tuduh-menuduh antara Umno dan PAS.

Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor menegaskan, Suruhanjaya Bebas ini amat penting bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap keselamatan negara disamping mereka dapat mengetahui cerita sebenar dari sumbernya tidak boleh dipertikaikan berkenaan Tragedi Sauk itu. Dengan ini, tiada siapa yang boleh mempolitikkannya demi rasa tanggungjawab terhadap keselamatan negara.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang, kurang yakin dengan Jawatankuasa Siasatan yang ditubuhkan oleh pasukan tentera kerana siasatan tidak akan berjalan dengan licin seperti yang diharap-harapkan. Sambil merujuk kepada kes yang menimpa Datuk Sri Anwar Ibrahim, Jawatan Siasatan yang ditubuhkan oleh pasukan polis jelas gagal berfungsi untuk menyiasat orang yang lebih atas dan lebih kanan dalam kejadian “mata lebam” yang diterima oleh Anwar.

Katanya, sehinggalah desakan pembangkang diterima oleh pihak kerajaan untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Bebas bagi menyiasat siapakah yang telah menumbuk mata kiri Anwar sehingga lebam dan berlakunya pendarahan, maka barulah terbongkar angkara siapa yang melakukannya.

“Kalau nak ikut cakap Mahathir, itu Anwar pukul sendiri. Bukan ditumbuk oleh sesiapa,” sindir Datuk Fadhil terhadap sendiwara Mahathir dalam kes “mata lebam” Anwar itu. Beliau yakin, dengan penubuhan Suruanjaya Bebas ini, banyak persoalan yang berligar-ligar dalam kepala rakyat dapat dijelaskan dan kepercayaan rakyat terhadap keselamatan negara boleh dikembalikan.

Beliau juga turut kesal dengan tindakan Mahathir yang langsung sehingga hari ini enggan bertemu dan bermuzakarah dengan pimpinan BA berkenaan isu Tragedi Sauk ini. Katanya, beliau telah menghantar sepucuk surat undangan kepada Mahathir bagi tujuan perbincangan serius demi keselamatan dan keamanan negara. “Masalah Sauk adalah masalah bersama. Kerana ia melibatkan soal keselamatan negara. Jadi mengapa kami dari BA yang diangkat rakyat, tidak dibenarkan membincangkan hal ini,” tegas beliau yang juga MP Pendang, Kedah kepada lebih 20,000 hadirin di Markaz PAS Taman Melewar semalam.

Datuk Fadhil masih menunggu kesediaan Mahathir untuk duduk semeja dalam membincangkan perkara penting ini. Turut berceramah ialah Sdra. Salehuddin Ayub, Naib Ketua Pemuda PAS dan Sdra. Mahfuz Omar, Ketua Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah.