KERAJAAN PAS TERENGGANU TIDAK HALANG
 KUTIPAN TOL
 
 KUALA TERENGGANU, 20 Dis  -- Kerajaan Pas
 Terengganu tidak akan menghalang kutipan tol di Lebuh raya
 Pantai Timur sekiranya kerajaan persekutuan ingin meneruskan
 projek itu sehingga ke Cendering, di sini, kata Pengerusi
 Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan
 Komunikasi negeri Yahaya Ali.

 Beliau berkata dasar kerajaan negeri adalah jelas iaitu tidak
 menghalang sebarang projek keperluan asas yang memberi
 kemudahan kepada rakyat.

 "Pada dasarnya, kita tidak menghalang pembinaan projek
 berkenaan dan kajian oleh Unit Perancang Ekonomi menunjukkan ia
 adalah satu keperluan untuk pengguna di negeri ini," katanya
 ketika ditemui selepas persidangan Dewan Undangan Negeri di sini
 hari ini.

 Yahaya berkata kajian itu juga mendapati pengguna bersetuju
 untuk menggunakan lebuh raya berkenaan walaupun kutipan tol
 dikenakan ke atas mereka.

 Akhbar semalam melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
 Mahathir Mohamad sebagai berkata bahawa projek lebuh raya itu
 terutama yang membabitkan dari Cendering, Terengganu ke Karak
 di Pahang akan dilaksanakan jika kerajaan Pas Terengganu
 bersetuju membenarkan tol dikutip di laluan berkenaan.

 Dr Mahathir berkata jika kerajaan Terengganu tidak mahu kutipan
 tol dilaksanakan ia boleh membiayai keseluruhan projek yang
 membabitkan bahagian yang melibatkan negeri itu atau membiayai
 pembayaran tol untuk rakyatnya yang menggunakan lebuh raya
 itu.

 "Kalau dia (kerajaan Terengganu) tidak mahu tol, maka projek itu
 terpaksa dimansuhkan (bahagian Terengganu ke Pahang)," kata
 Perdana Menteri.

 Lebuh raya sepanjang 338 km itu yang berharga RM2.8 bilion
 dirancang dibina mengikut beberapa fasa dari Karak ke Kuantan di
 Pahang dan Jabur, Bukit Besi, Ajil dan Cendering di sini. Kerja
 pecah tanah di kedua-dua buah negeri itu dilakukan pada bulan
 lepas.

 Yahaya berkata tidak timbul soal bantahan kerajaan pimpinan Pas
 terhadap isu tol berkenaan kerana kerja pecah tanah projek itu
 dilakukan bulan lepas.

 "Kita terima (kutipan tol) kerana ia melibatkan projek kerajaan
 persekutuan dan penghapusan tol di Jambatan Sultan Mahmud di
 sini baru-baru ini tidak ada kena mengena dengan lebuh raya
 berkenaan," katanya.

 Menurutnya isu yang dibangkitkan itu adalah berlainan kerana
 kutipan tol di jambatan itu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan
 negeri manakala pembinaan lebuh raya pula di bawah kerajaan
 pusat.

 "Malah projek itu dijalankan secara penswastaan dan ada pelabur
 yang melabur untuk projek (lebuh raya) berkenaan," katanya.

 Yahaya berkata semua projek yang diluluskan oleh kerajaan negeri
 pimpinan Barisan Nasional (BN) dahulu akan diteruskan cuma ia
 akan dikemaskini bersesuaian dengan dasar kerajaan Pas.

 Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi,
 Petroleum dan Perindustrian negeri Mustafa Ali berkata sehingga
 kini tiada tanda-tanda projek berkenaan akan dihentikan
 memandangkan kerja awal pembinaannya telah dimulakan.

 Mustafa berkata satu lagi projek yang melibatkan kerajaan pusat
 iaitu pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Seberang
 Takir juga akan diteruskan.

 "Tak kan nak tarik balik sebab upacara pecah tanah (lapangan
 terbang) telah dibuat dan berdasarkan setakat ini tak ada
 tanda-tanda tak akan diteruskan," katanya.

 Upacara pecah tanah lapangan terbang berkenaan disempurnakan
 oleh Perdana Menteri pada 27 Nov lepas. Pembesaran lapangan
 terbang itu yang bernilai kira-kira RM200 juta itu melibatkan
 pembinaan terminal baru dan pemanjangan landasan yang sedia
 ada dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.