Make your own free website on Tripod.com
 
TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN"
tinta_hijau@hotmail.com

     "Terima kasih, Yang Arif"

     KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhi hukuman
     penjara 9 tahun mengucapkan terima kasih kepada Hakim Ariffin Jaka kerana menyempurnakan rancangan Perdana
     Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad.

     "Terima kasih, Yang Arif, anda telah menyempurnakan perancangan Dr Mahathir," kata Anwar dalam keadaan
     tenang kepada hakim selepas keputusan dibuat.

     "Kita akan berjumpa kembali tahun 2014 atau lebih awal," katanya seperti yang dilaporkan oleh AFP.

     Anwar akan menjalani hukuman penjara sehingga 2014 kerana hukumannya hari ini tidak dijalankan serentak dengan
     hukuman penjara enam tahun yang sedang dihadapinya.

     Isteri Anwar, Datin Ser Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu, beliau akan membuat rayuan terhadap hukuman
     itu yang memeranjatkan mereka yang hadir di mahkamah.

     Anwar, 52 mendakwa beliau adalah mangsa konspirasi politik Dr Mahathir.

     "Hukuman ini akan mengejutkan seluruh negara, seluruh dunia," komen peguam Anwar Christopher Fernando.

     Wan Azizah mengalirkan air mata apabila Anwar menghampirinya selepas mendengar keputusan hakim. Tiga anak
     perempuan mereka juga hadir di mahkamah.

     "Kami terkejut dan amat marah," kata Nurul Izzah.

     "Kami tidak menjangka ia akan menjadi sekejam ini. Perjuangan ini akan diteruskan," katanya.

     Hakim Arifin berkata hukuman itu "mestilah menunjukkan betapa seriusnya kesalahan itu".

     Wan Azizah berkata,"Meskipun saya telah menjangkakan keputusan itu, tetapi ia tidak meredakan kesakitan dan
     kekecewaan".

     "Ianya adalah satu hukuman yang zalim. Peguambela telah berjaya menimbulkan keraguan yang yang munasabah
     dan beliau sepatutnya tidak bersalah", katanya.

     "Apa yang boleh dilakukan sekarang ialah membuat rayuan, bercakap kepada anak-anak, mententeramkan mereka.
     Kami akan mencuba sebaik mungkin untuk perjuangan keadilan ini," ujarnya.